Pages

Selasa, 31 Ogos 2010

Duit Raya.


Salam Ramadhan untuk semua pembaca yang budiman. Nampaknya ramai kakitangan kerajaan dan swasta akan menerima duit raya yang dapat mengurangkan bebanan pada musim perayaan ini. Dengan adanya jualan murah di pasaraya-pasaraya dapat menjimatkan wang dan dapat berbelanja dengan penuh berhemah. Kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi memberi bonus raya kepada kakitangan awam dan dapat meningkatkan kualiti ekonomi negara. Di Hari Raya ini, kanak-kanakpun tidak terkecuali untuk mendapatkan duit raya untuk simpanan mereka. Jadi kita kena bersedia untuk menyediakan duit raya dan mendapatkan sampul duit raya yang begitu menarik dari bank atau pasaraya yang terkenal. (Tidak sangka akhbar kegemaran saya, Kosmo sudah menjangkau usia 6 tahun. Semoga terus sukses dengan perkembangan terbaru)

Isnin, 30 Ogos 2010

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-53.


Salam untuk semua pembaca yang dihormati. Nampaknya kita sudah masuk hari yang ke-20 kita berpuasa dan akan masuk 10 hari yang terakhir dalam bulan Ramadhan. Ditambah pula esok Hari Kemerdekaan yang jatuh dalam bulan puasa. Sememangnya nampak menarik pada tahun ini kita akan bersama-sama menantikan detik jam pukul 12 tengahmalam ini. Semoga anda dapat mengibarkan Jalur Gemilang pada malam ini. Tidak kira anda mengibarkan Jalur Gemilang di kedai, rumah atau pada kenderaan anda sendiri. Marilah kita laungkan Merdeka pada malam ini. (Merdekakan diri dari perkara-perkara yang kita tidak ingini)

Ahad, 29 Ogos 2010

Lagu Hari Raya.


Salam Ramadhan untuk para pembaca budiman. Nampaknya dihujung minggu ini kedengaran lagu-lagu raya yang berkumandang dan menusuk ke kalbu terutama lagu raya dulu-dulu. Lagu dendangan Allahyarham P. Ramlee, Dendang Perantau dan lagu dendangan Fazidah Joned menjadi kemestian untuk diputarkan di corong-corong radio semasa musim perayaan tidak lama lagi. Ditambah dengan kehadiran lagu-lagu baru dari penyampai-penyampai Hot FM dan Suria FM merancakkan lagi sambutan Hari Raya tahun ini. Ramai yang suka mendengar suara merdu Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan ramai artis baru yang mewarnai lagu-lagu Hari Raya sebelumnya. Pada masa sekarang ramai orang yang membeli nada ringtone Hari Raya berbanding membeli kaset atau CD Hari Raya. Sekurang-kurangnya dengan adanya lagu-lagu Hari Raya dapat memberi simbol dari segi mengeratkan hubungan siraturrahim sesama kita di musim perayaan ini.

Sabtu, 28 Ogos 2010

Malam Lailatul Qadar.


Salam Ramadhan kepada para pembaca yang budiman. Sesungguhnya kita tidak sabar menunggu kehadiran malam lailatulkadar yang penuh keberkatan. Kebiasaannya malam lailatulkadar akan hadir dalam 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan terutama malam bernombor ganjil. InsyaAllah doa pada malam itu akan dimakbulkan dan pahala pada malam itu lebih berlipat kali ganda. Keadaan malam tersebut dalam keadaan tenang tanpa salakan bunyi anjing, banyak pokok yang menunduk ke bawah dan langit seakan gelap tanpa bintang yang berkerdipan. Pada keesokan harinya keadaan awan agak putih salju dan cuaca nampak tenang dan redup. Pada malam lailatulkadar, ambillah kesempatan untuk melakukan banyak ibadah, bacaan Al Quran, berzikir dan banyakkan berdoa.

Jumaat, 27 Ogos 2010

Zakat Fitrah.


Sudahkah anda menunaikan zakat fitrah? Sememangnya umat Islam wajib membayar zakat fitrah dalam bulan Ramadhan ini. Kadar zakat fitrah di Johor adalah RM5 bagi yang berpendapatan rendah dan RM7.50 bagi yang berpendapatan sederhana dan tinggi. Bagi yang berkeluarga, suami perlu membayar zakat untuk tanggungannya. Biasanya kita akan membayar zakat pada amil di masjid atau di surau. Di samping itu kita boleh menyumbangkan derma kepada anak yatim dan fakir miskin yang memerlukan. Dengan membayar zakat dan memberi derma kepada golongan yang layak menerima zakat, InsyaAllah ia dapat menyucikan harta kita.

Khamis, 26 Ogos 2010

Mercun Oh Mercun!


Sejak kebelakangan ini kita banyak mendengar kes kematian disebabkan mercun. Yang terbaru kematian seorang budak lelaki yang tersangkut pada dahan pokok. Memang mengerikan sehingga otaknya tersembul keluar. Banyak juga kes kecederaan yang disebabkan mercun terpampang di muka depan media cetak. Di tempat saya, ramai juga budak-budak yang bermain mercun sehingga mengganggu orang lain bersembahyang terawih di surau dan masjid. Mungkin kita kena berbuat sesuatu untuk mengelakkan tragedi disebabkan mercun di dalam bulan yang mulia ini. Apabila sudah terkena padah disebabkan mercun, mungkin kanak-kanak ini akan menyesal seumur hidup. (Sesekali teringat lagu "Jangan Main Mercun")

Rabu, 25 Ogos 2010

Duit Palsu


Pada musim perayaan ini, kes duit palsu sering berlaku terutama ketika berurusniaga antara peniaga dengan pelanggan. Sebelum ini saya juga berdepan dengan situasi begini dimana duit palsu itu berkeadaan keras, mudah pudar dan lebih kecil berbanding yang sebenar. Tambahan pula tiada imej nilai ringgit yang timbul semasa melihat secara melintang. Jadi untuk mengelakkan perkara ini berlaku, anda perlu tahu keadaan duit palsu tersebut. Adakalanya hanya separuh nombor pada hujung duit palsu dan adakalanya tiada gambar bayang Sultan pada permukaan putih. Anda juga boleh menggunakan pengesan duit palsu semasa urusan jual beli. Sekiranya anda menerima duit lusuh dari seseorang, pastikan anda menolak duit itu dan meminta duit yang baru. Biasanya kes duit palsu melibatkan RM50 dan RM100. Jadi diharapkan anda mengambil langkah berjaga-jaga mengenai duit palsu semasa musim perayaan ini.

Adakah Hati Rakyat Malaysia Rasa Tercabar?


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita tindakan segelintir rakyat negara seberang yang begitu emosional dengan melemparkan najis di depan pejabat kedutaan kita. Malah mereka menconteng dan memijak bendera Jalur Gemilang dengan rakusnya. Sememangnya kita rakyat Malaysia berasa tercabar dengan tindakan mereka yang begitu melampau. Memandangkan kita ingin menyambut hari kemerdekaan tidak lama lagi, mereka mengambil kesempatan untuk membuat perkara yang merugikan negara mereka. Jadi saya harap rakyat Malaysia dapat membuat keputusan yang bijak dengan membatalkan percutian atau perjalanan ke negara seberang dalam tempoh terdekat ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Selasa, 24 Ogos 2010

Zaman Berubah Kad Raya Tinggal Kenangan.


Salam Ramadhan kepada semua muslimin dan muslimat. Sementara saya menunggu azan subuh, saya berbicara mengenai kad raya yang semakin hari semakin tidak popular dikalangan pengguna. Pada zaman 70-an sehingga 90-an kad raya merupakan medium yang popular untuk mengucapkan Hari Raya kepada rakan-rakan terutama yang jauh dimata tetapi dekat dihati. Pada zaman itu kad raya memberikan kesan yang begitu mendalam kepada penerima terutama pelajar-pelajar yang berada di perantauan . Dengan kewujudan laman sosial yang begitu popular seperti Facebook, Twitter dan Myspace dan SMS bergambar mengurangkan populariti kad raya yang sedia ada. Tambahan pula harga setem yang meningkat sehingga 60 sen menyebabkan orang ramai hilang minat untuk menghantar kad raya. Ramai juga pengedar kad raya yang mengeluh dengan situasi sebegini. Diharap pengedar kad raya mencari alternatif untuk menarik perhatian umum untuk mengelakkan kerugian pada masa akan datang dengan menyediakan e-kard raya dan mencari kelainan kepada pengguna.

Isnin, 23 Ogos 2010

Berbuka Puasa di Mydin Mall MITC Melaka.


Salam untuk pembaca yang budiman. Saya dan isteri sempat juga berbuka puasa di Mydin Mall, MITC, Melaka bersama anak tersayang. Memang padat dengan pengunjung untuk berbuka puasa disitu. Dengan pelbagai juadah yang enak disitu, sememangnya menjadi satu tarikan Mydin Mall pada bulan Ramadhan ini. Ditambah pula ruang solat yang begitu luas, pelbagai kemudahan yang begitu baik sekali dan tempat meletak kenderaan yang percuma dan banyak memberi keselesaan kepada pengunjung. Memang ramai pengunjung yang membeli baju raya, kueh raya dan kelengkapan lain untuk menyambut Hari Raya tidak lama lagi. Saya harap para pembaca berbelanja dengan lebih berhemah dan elakkan penggunaan kad kredit secara berlebihan semasa bulan Ramadhan ini. Selamat berpuasa!

Jumaat, 20 Ogos 2010

Sata


Pernahkah anda mencuba sata untuk berbuka puasa? Pasti orang yang tidak pernah datang ke Pantai Timur, mungkin tidak tahu apa itu sata. Jika anda singgah ke Mersing atau ke negeri Pantai Timur, anda akan jumpa gerai-gerai yang akan menyediakan sata dimana sata ini dibalut dengan daun pisang dan dibakar diatas para. Sata merupakan makanan tradisi di Pantai Timur dan merupakan campuran isi ikan, bawang, tepung dan cebisan lada hijau. Biasanya sata dicucuk dengan lidi. Sekali anda merasa sata, pasti anda ingin membelinya dan boleh makan secara bersantai ditepi pantai Air Papan, Mersing.

Khamis, 19 Ogos 2010

Akhirnya Pelanggan Aku DiKebumikan Di Perkuburan Orang Islam.

Salam untuk semua pembaca muslimin dan muslimat. Hari ini kita sudah masuk hari kesembilan kita berpuasa. Memang mengejutkan apabila saya mendengar berita semalam. Seorang pelanggan yang tinggal di Endau akhirnya dikebumikan di perkuburan orang Islam. Sebelumnya saya memang berurusan dengan pelanggan ini. Memang banyak kenangan bersama beliau yang tidak dapat saya lupakan. Sememangnya pelanggan ini mengalami penyakit kencing manis yang menyebabkan sebelah kakinya dipotong. Sebelum dia memeluk agama Islam, dia rapat dengan imam di Endau. Selepas 3 hari dia memeluk Islam, akhirnya dia menghembuskan nafas dan dikebumikan di Perkuburan Orang Islam di Endau. Alhamdulillah akhirnya dia sempat juga memeluk agama Islam.

Selasa, 17 Ogos 2010

Gengblogger


Salam untuk semua pembaca. Anda boleh klik pada banner diatas untuk mengetahui perkembangan blogger-blogger lain. Manatahu anda akan mendapat info-info yang berfaedah daripada gengblogger. Selamat berbuka puasa!

Murtabak



Murtabak memang popular semasa bulan Ramadhan. Intinya cebisan-cebisan daging lembu atau daging ayam, telur, bawang dan sayur-sayuran amat sesuai untuk berbuka puasa dan sahur. Murtabak boleh dicicah dengan kuah kari dan bawang yang diperam sehingga menjadi warna sirap merah. Sekiranya anda bersahur dengan murtabak, anda akan berasa kenyang sampai berbuka pada hari keesokkannya. Sememangnya daging didalam murtabak ini lambat dicernakan didalam perut. Jadi perut tidak akan terasa lapar.

Isnin, 16 Ogos 2010

Nasi Kerabu & Solok Lada



Hidangan berbuka puasa yang semakin mendapat tempat di hati orang Mersing ialah Nasi Kerabu. Ditambah pula dengan solok lada, ayam berempah, daging goreng, ikan goreng, ulam-ulam dan telur masin yang mengecurkan air liur pelanggan yang memerhatikannya dalam bulan puasa ini. Sememangnya warnanya yang unik iaitu kebiru-biruan dan adakalanya berwarna ungu yang pasti memberi kepuasan kepada pelanggan yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Bazaar Ramadhan di tepi Sungai Mersing. Pasti anda akan tertawan dengan menu yang menarik di Bazaar Ramadhan dalam bulan Ramadhan ini. Selamat berbuka puasa!

Sambungan Sahur di bulan Ramadhan (2)

Salam untuk semua pembaca muslimin dan muslimat. Alhamdulillah nampaknya kita sudah berpuasa pada hari yang ke-6 dalam bulan Ramadhan. Begitu pantas masa berlalu. Saya sambungkan cerita semalam. Tiba-tiba keretapi saya berhenti di suatu tempat. Sayapun menunggu di dalam koc keretapi sehingga subuh. Apabila jam menunjukkan 8 pagi, saya dan rakan keluar dari keretapi. Rupa-rupanya keretapi kami tergelincir di Kampung Sungai Kuning. Jadi kamipun bergegas untuk mendapatkan bas ke Segamat.

Ahad, 15 Ogos 2010

Sahur di bulan Ramadhan.


Salam buat semua pembaca muslimin dan muslimat. Selamat berpuasa di bulan yang mulia ini. Memang mengejutkan berita pada pagi tadi mengenai sahur yang tidak dapat dibuat dengan begitu baik sekali. Mungkin sudah takdirnya jadi begitu. Saya ingin ceritakan pengalaman sahur yang saya tidak dapat lupakan. Memang seronok jika saya imbas kembali kenangan yang dulu. Waktu itu saya menunggu keretapi di Kuala Lumpur. Setibanya keretapi yang akan menuju ke Singapura, saya dan rakan terus naik keretapi itu pada pukul 12 tengahmalam. Pada malam itu saya lena dibuai mimpi di dalam koc keretapi. Bila datang pemeriksa tiket, cepat-cepat saya hulurkan tiket kepadanya. Setiba di Seremban, saya turun ke landasan dan pergi membeli makanan di kedai yang berhampiran.
Selepas itu sayapun kembali ke tempat saya dan terus tidur di dalam koc keretapi itu. Disebelah saya ada seorang perempuan muda yang baru sampai dari Seremban. Ketika sampai di Gemas saya terus bersahur pada 4pagi. Memang agak lama keretapi berhenti di Gemas. Selepas itu ....(bersambung)

Sabtu, 14 Ogos 2010

Moreh Selepas Solat Terawih.



Salam Ramadhan untuk semua pembaca. Hari ini saya ingin menceritakan pengalaman moreh yang selalu dibuat selepas solat terawih. Moreh merupakan jamuan ringan seperti kueh, meehon, mee goreng, minuman teh, kopi dan sebagainya. Bila teringat moreh sewaktu saya tinggal di Temerloh, Pahang, memang seronok berkumpul bersama jemaah dan bercerita mengenai kebesaran ilahi dan puasa. Paling menyeronokkan dapat berjumpa teman-teman untuk bercerita mengenai pengalaman berpuasa. Ada juga jemaah yang merancang untuk membaca surah-surah yang perlu dibaca semasa tadarus. Sekurang-kurangnya dengan adanya moreh dapat merapatkan siraturrahim dengan anggota jemaah yang lain.

Jumaat, 13 Ogos 2010

Solat Terawih di Bulan Ramadhan.


Salam Ramadhan kepada semua pembaca yang beragama Islam. Tinggal sejam lagi kita akan berbuka puasa. Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, memang digalakkan mengerjakan solat terawih di masjid-masjid atau surau. Saya selalunya bersolat terawih di surau Taman Wawasan, Mersing. Kalau anda berada di negeri Johor, solat terawih biasanya sebanyak 20rakaat. Selepas sudah solat terawih dan solat witir, para jemaaah akan dihidangkan juadah moreh. Memang rasa tenang kalau dapat melakukan solat terawih dengan sepenuhnya dalam bulan Ramadhan. InsyaAllah dengan berdoa setiap malam selepas solat terawih dalam bulan Ramadhan ini,Allah akan memakbulkan doa kita.

Khamis, 12 Ogos 2010

Bazaar Ramadhan 2010


Salam Ramadhan kepada semua pembaca yng beragama Islam. Hari ini sudah masuk hari kedua kita berpuasa. Sememangnya masa berlalu begitu pantas dalam bulan Ramadhan ini. Jadi jangan sia-siakan masa untuk beribadah di dalam bulan yang penuh keberkatannya. Semalam saya pergi ke Bazaar Ramadhan yang baru dibuka di tepi Sungai Mersing, sebelum ini Bazaar Ramadhan tertumpu di Tunas Manja Mersing. Sememangnya meriah dengan kehadiran pengunjung dan pelancong untuk membeli juadah untuk berbuka puasa. Banyak menu yang menarik seperti Nasi Dagang, Pita Kebab, Bubur Lambuk, Nasi Kerabu, Lompat Tikam dan macam-macam lagi. Memang seronok kita mencuba pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Harga makanan dan minuman dijual dengan harga berpatutan. Kita sebagai pengguna hendaklah berbelanja dengan berhemah dan elak pembaziran. Berbelanjalah dengan cara bersederhana.

Ahad, 8 Ogos 2010

Selamat berpuasa di Bulan Ramadhan.


Salam untuk semua rakan terutama rakan dari Semesta Raub, rakan farmasi dari UM dan rakan sekerja Medichemie Pharmacy. Sudah 3hari saya tidak menaip pada blog ini disebabkan saya mengambil cuti kecemasan. Ada tinggal sehari dua, umat Islam ingin menyambut kedatangan bulan yang penuh berkat, bulan Ramadhan. Sememangnya malam lailatulkadar, malam yang dinantikan dimana segala doa akan termakbul. Dalam menantikan bulan Ramadhan yang penuh berkat, eloklah buat persediaan dengan merancang tadarus membaca Al Quran bersama rakan-rakan di masjid atau disurau. Saya mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan yang mulia ini kepada rakan yang mengenali saya.

Rabu, 4 Ogos 2010

Rumah Berhantu.

Bila aku dapat kerja di bandar Muar, majikan aku sediakan sebuah rumah teres yang sudah lebih 2 bulan tidak berpenghuni. Waktu itu umur aku baru 19 tahun dan ingin mencuba sesuatu yang baru dalam alam pekerjaan. Apabila aku sampai di rumah itu, lantai di ruang tamu tampak basah. Rupa-rupanya majikan aku yang berbangsa Arab baru sahaja membersihkan rumah itu. Di belakang rumah aku terdapat seekor anjing hitam yang dirantai oleh tuannya. Anjing itu sentiasa menyalak di belakang rumah aku. Pada sebelah malam, tiba-tiba aku berasa sesak nafas seolah-olah ada sesuatu yang menekan pada badanku. Lalu aku memberitahu kepada majikan aku mengenai perkara itu. Majikan aku meminta aku membuka sedikit tingkap untuk pengaliran udara di dalam rumah itu. Pada pukul 3 pagi, tiba-tiba aku terdengar ketukan kuat pada pintu utama rumah itu. Bulu romaku meremang dan aku tidak putus-putus membaca ayat Kursi dan doa. Aku tidak dapat melelapkan mataku dan terus membaca ayat Kursi sehingga bunyi ketukan pada pintu itu hilang secara tiba-tiba. Hari berikutnya aku membaca surah Yassin sebagai pendinding untuk diri sendiri.

Selasa, 3 Ogos 2010

Pukau

Sememangnya peniaga juga berdepan masalah pukau apabila berdepan dengan pelanggan yang amat mencurigakan. Peristiwa pukau ini berlaku semasa aku mula-mula menceburi bahagian retail. Aku bernasib baik kerana aku bekerja dengan staf yang begitu berpengalaman luas dalam bidang retail. Memang Hasni pernah mengalami peristiwa pukau di Kluang dan hampir sama dengan apa yang aku alami. Seorang lelaki bertubuh gempal menyamar sebagai doktor dan mengatakan keretanya rosak di jambatan. Lalu dia ingin meminta aku sedikit wang tetapi Hasni dapat menghalangnya dengan meminta nombor telefon kliniknya untuk memastikan samaada dia bekerja di klinik atau tidak. Akhirnya lelaki itu keluar dari kedai aku dengan rasa hampa. Kalau kita berjumpa pelanggan yang amat mencurigakan dan menggunakan ilmu pukau, elak pandang tepat pada matanya. Jika kita hendak keluar duit pada mesin ATM, pastikan kawasan di situ tidak sunyi. Elakkan bersentuhan dengan orang yang amat mencurigakan dimana dia menepuk pada bahu orang yang ingin dipukaunya. Sebagai seorang peniaga, digalakkan mengamalkan solat dhuha sebelum memulakan perniagaan.

Isnin, 2 Ogos 2010

Sihir

Tak sangka dunia semakin canggih & moden, masih ada juga orang yang suka menggunakan sihir untuk kepentingan diri. Memang akupun ada terkena sihir menyebabkan tangan aku rasa dipasung dan badan berasa panas sehingga kerja aku terjejas teruk. Alhamdulillah ada kawan yang membantu aku dengan memberi ayat-ayat Al-Quran yang sesuai untuk pelindung diri.Pada malam nifsu sya'ban, aku membaca 3kali surah Yassin. Esoknya, bila aku terbangun dari tidur, aku tercium bau busuk yang keluar dari badan aku dan aku pulih seperti biasa. Sememangnya solat 5 waktu itu penting supaya kita tidak terkena sihir. Sebelum keluar pergi ke tempat kerja, aku amalkan bacaan surah 4 kul & doa pelindung diri. Elakkan makan makanan yang diberi oleh orang yang kita tidak kenali. Semoga anda dapat manfaat apa yang aku ceritakan dalam blog ini.

Ahad, 1 Ogos 2010

Tangan Panjang & Putar Alam

Selama aku bekerja di bahagian retail memang aku berdepan dengan staf yang bermasalah. Memang sukar kita hendak perangkap staf yang begitu licik mengambil barang. Biasanya aku tengok cara dia bercakap, gaya kerja yang amat meragukan dan cara hidup mewah yang tidak sepadan dengan gaji yang diterima. Staf begini biasanya suka berbohong dan sukar dipercayai. Jika ada bukti yang cukup kukuh, kita boleh ambil tindakan mengikut undang-undang Buruh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...