Pages

Jumaat, 31 Disember 2010

Azam Baru.


Salam untuk pembaca yang budiman. Lagi beberapa jam lagi kita akan melangkah ke tahun baru, 2011 dengan azam yang baru. Dengan azam yang begitu baik pada tahun 2011, InsyaAllah segala apa yang kita rancang akan menjadi kenyataan tanpa niat yang tidak baik kepada sesiapa sahaja. Ada sesetengah orang yang mempunyai azam yang begitu tinggi dengan membina lebih banyak cawangan perniagaan pada tahun 2011 memandangkan ekonomi negara semakin pulih dari sebelumnya. Begitu juga ada yang ingin memperbaiki personaliti dan reputasi untuk menjadikan seorang insan yang cemerlang di dalam masyarakat. Sayapun cuba berazam untuk menjadi yang lebih baik dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang sedia ada sebelum berdepan dengan cabaran-cabaran yang lebih besar pada masa akan datang. Disamping itu saya cuba mendalami ilmu-ilmu yang boleh memberi manfaat untuk diri sendiri dan boleh berkongsi dengan masyarakat setempat. Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada pembaca-pembaca terutama rakan-rakan Facebook dan bina azam yang baru untuk menjadi insan yang gemilang dan terbilang.

Khamis, 30 Disember 2010

Sejarah Tercipta.



Semalam merupakan detik bersejarah pasukan kita, Malaysia dapat menundukkan tuan rumah, Indonesia dengan agregat 4-2 walaupun tewas kepada Indonesia pada final kedua Piala Suzuki AFF di Jakarta, Indonesia. Tahniah diucapkan kepada jurulatih, K. Rajagobal dan anak buahnya terutama Mohd. Safee Mohd. Sali untuk membawa pulang piala yang berprestij untuk rakyat Malaysia. Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi yang menyelamatkan pintu gol terus dibedil oleh pihak lawan. Sememangnya menarik kali ini kerana negara kita, Malaysia pertama kali dalam sejarah memenangi Piala Suzuki AFF 2010 setelah kita menunggu hampir 14 tahun. Walaupun ramai penyokong dari Malaysia yang gagal masuk ke dalam Stadium Gelora Bung Karno namun para pemain Malaysia tetap bersemangat untuk memberikan tentangan sengit kepada lawan selain berdepan dengan penyokong Indonesia yang begitu keterlaluan dan agak kurang ajar semasa lagu Negaraku berkumandang di dalam stadium. Terbukti pasukan bola sepak Malaysia merupakan pasukan yang terbaik di Asia Tenggara. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan tanpa henti kepada pasukan negara Malaysia. Semoga pasukan bola sepak Malaysia akan terus maju dan melangkah ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Rabu, 29 Disember 2010

Pertarungan Bermaruah.


Malam ini sudah pastinya rakyat Malaysia sudah bersiap sedia memberi sokongan padu kepada pasukan Malaysia yang akan memberi tentangan hebat kepada pasukan lawan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia. Rasanya ramai rakyat Malaysia yang sudah menempah tiket Air Asia atau MAS ke Jakarta dan dapat menyuntik semangat para pemain Malaysia di sana. Kita, rakyat Malaysia mengharapkan kejayaan pasukan Malaysia dapat menjinakkan pasukan Indonesia yang sentiasa menunjukkan kegarangan mereka di tempat mereka. Semoga para pemain Malaysia tidak gentar bila berada di sana dan memberikan persembahan hebat untuk mendapatkan Piala Suzuki AFF 2010 untuk pertama kali. Ayuh rakyat Malaysia kita doakan mereka berjaya dan berilah sokongan untuk pemain kita di sana! Malaysia Boleh!

Selasa, 28 Disember 2010

Selamat Tinggal 2010 dan Selamat Datang 2011.


Salam untuk pembaca yang disegani. Ada beberapa hari lagi kita akan meninggalkan tahun 2010 yang memberikan banyak kenangan manis kepada kita semua. Pada tahun inilah banyak acara-acara yang gemilang yang telah dilangsungkan dengan begitu jayanya oleh penduduk dunia. Antara acara yang tidak dapat dilupakan adalah Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan yang memberikan keputusan yang begitu mengejutkan kepada peminat-peminat bola sepak. Acara lain sudah pastinya negara kita Malaysia bertanding dalam Sukan Komanwel di New Delhi, India dan Sukan Asia di Guangzhou, China. Pasukan Malaysia memberikan persembahan hebat dalam kedua-dua acara sukan yang begitu besar di Asia. Antara momen yang menarik dalam tahun 2010 ini, kedatangan Hillary Clinton dan ikon-ikon besar yang bertandang ke Malaysia. Sekaligus memberikan impak yang positif kepada negara kita, Malaysia yang semakin maju ke depan. Mungkin ada pengguna-penguna yang terasa dengan kenaikan harga petrol, gula dan lain-lain lagi pada penghujung tahun ini. Sudah pastilah, dengan mengharapkan kemenangan bergaya oleh pasukan Malaysia di Jakarta esok dapat memberikan kenangan yang terindah untuk rakyat Malaysia pada penghujung tahun 2010. Bagi saya, tahun inilah saya baru menaip blog-blog khas untuk pembaca yang saya hargai. Namun banyak kekurangan yang perlu saya pelajari untuk pergi jauh dalam penulisan blog. Pada tahun 2011, banyak agenda yang menarik yang akan diadakan. Rakyat Malaysia sudah pastinya inginkan sesuatu perubahan yang positif dalam tahun 2011 dan dahagakan sebarang kejayaan untuk negara yang tercinta, Malaysia.

Isnin, 27 Disember 2010

Kebangkitan Pasukan Harimau Malaya.


Nampaknya pasukan negara memberikan persembahan hebat selepas kontroversi penggunaan cahaya laser terhadap penjaga pintu gol Indonesia pada set yang kedua. Dengan gol yang dijaringkan oleh penyerang Mohd. Safee Sali meleburkan impian pasukan negara seberang untuk mencipta kemenangan di luar negara Indonesia. Namun pasukan lawan tidak berputus asa dengan mengasak kubu pertahanan Malaysia terutama Bambang dan Mohd. Arif yang sentiasa menyerang di bahagian pintu gol. Namun penjaga gol, Malaysia, Khairul Fahmi sentiasa berjaga-jaga untuk mengelakkan pintu gol Malaysia dibolosi dengan begitu mudah. Dengan tendangan masuk oleh Ashaari dan tandukan oleh Mohd. Safee Sali ke dalam pintu gol Indonesia menjadikan Malaysia berada di depan dengan 3 gol. Dengan kemenangan ini, pasukan Malaysia berpeluang untuk membawa pulang Piala Suzuki AFF khas untuk rakyat Malaysia jika mereka menang atau seri di gelanggang lawan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada hari Rabu minggu ini. Semoga sokongan padu rakyat Malaysia dapat menyuntik semangat pemain-pemain negara kita untuk memberikan tentangan sengit kepada lawan mereka di sana. (Kelibat Gonzalez hampir tenggelam selepas menjaringkan gol offsaid)

Ahad, 26 Disember 2010

Jom Kita Beri Sokongan Kepada Pasukan Malaysia!




Kepada rakyat Malaysia, berilah sokongan yang padu kepada pasukan Malaysia yang akan menentang pasukan lawan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada jam 8 malam ini. Sokongan anda amat berharga dan dapat menyuntik semangat kepada pahlawan-pahlawan negara kita yang akan berdepan dengan pasukan dari seberang. Laungkan semangat Malaysia Boleh kepada pasukan negara kita. Semoga pasukan Malaysia dapat memberikan persembahan hebat dan memberikan kemenangan bermakna untuk rakyat Malaysia dalam peringkat akhir Piala Suzuki AFF 2010. (Perlawanan akhir ini umpama perlawanan abang dan adik untuk merebut piala yang begitu prestij di nusantara kita)

Ahad, 19 Disember 2010

Piala Suzuki AFF 2010.



Nampaknya usaha pasukan Malaysia untuk ke peringkat akhir dalam Piala Suzuki AFF 2010 menjadi kenyataan dengan menewaskan pasukan juara bertahan, Vietnam dengan 2-0 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan seri di Stadium My Dinh, Vietnam. Pasukan Malaysia layak memasuki peringkat akhir dengan bertemu samaada pasukan dari Indonesia atau Filipina. Ada kemajuan dari segi pencapaian pasukan dari negara kita yang mana dapat memberi tentangan yang hebat di negara sendiri dan bermain secara bertahan di pihak lawan dalam peringkat separuh akhir. Memang agak memalukan pada peringkat kumpulan, pasukan Malaysia kalah secara mengejut kepada pasukan Indonesia, 5-1 dan berdepan dengan ejekan dari penyokong tuan rumah tetapi pasukan Malaysia terus bangkit dengan keputusan yang begitu memberangsangkan. Terima kasih kepada jurulatih K. Rajagobal yang membimbing pasukan Malaysia hingga peringkat akhir. Semoga pasukan kita berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 dan membawa pulang piala tersebut untuk rakyat Malaysia untuk menutup tirai tahun 2010 dengan begitu gemilang. Majulah sukan untuk negara dan Malaysia Boleh!

Khamis, 16 Disember 2010

Berkelah Di Pantai Buatan Manusia.

Salam untuk pembaca yang dihargai. Pada tahun hadapan, InsyaAllah saya merancang membawa keluarga untuk singgah ke pantai buatan manusia yang terbesar di Malaysia, Tiara Beach Resort untuk mencari kelainan dan memberi kepuasan maksima semasa bercuti pada cuti umum. Banyak juga aktiviti yang boleh dilakukan seperti bola tampar pantai, karaoke dan meluncur di relung tiub bersama keluarga tersayang. Dengan kemudahan seperti jakuzi, kedai serbaneka dan cenderahati, restoran dan ciri keselamatan yang ditawarkan oleh pihak resort dapat memberi keselesaan kepada pengunjung terutama dari selatan tanahair. Sememangnya kolam yang direka amat sesuai untuk kanak-kanak dan dilengkapi dengan air terjun, papan gelongsor dan buaian yang memberi keunikan tersendiri di Tiara Beach Resort. Pada sebelah malamnya, para pengunjung akan terhibur dengan hiburan yang disediakan oleh pihak resort. Paling dinantikan oleh para pengunjung pada sebelah malam sudah pastinya segmen 'Staff Talent Comedy Show' yang membuatkan para pengunjung ketawa dan seronok melihat aksi-aksi komedi yang begitu menghiburkan. Sekurang-kurangnya tempat sebegini dapat memberi kesegaran minda dan memberi nilai-nilai harmoni dalam kekeluargaan.

Rabu, 15 Disember 2010

Kenangan Di Teluk Cempedak.



Sambil bercerita dengan rakan sekerja, tiba-tiba terpacul nama pantai yang begitu terkenal di negeri Pahang, Teluk Cempedak. Kebetulan minatnya sama dengan saya iaitu berkelah di Teluk Cempedak. Keindahan pantai yang begitu mendamaikan dan jambatan yang menghiasi pesisiran pantainya memberi tarikan yang begitu menarik kepada para pengunjung. Teringat saya semasa menemani adik perempuan saya ke Kuantan dan tidak melepaskan peluang singgah sekejap di Teluk Cempedak. Tidak disangka jodoh adik perempuan saya dengan orang Kuantan. Sememangnya kenangan itu memberi nilai yang begitu bermakna dalam hidup ini. Dengan adanya hotel dan restoran makanan segera terkenal, Mc Donald memberi kemudahan kepada pengunjung terutama dari Johor, Melaka dan Kuala Lumpur. Para pembaca yang ingin merakamkan detik-detik indah bersama keluarga, bolehlah berkunjung disini terutama pada cuti sekolah dan cuti umum.

Isnin, 13 Disember 2010

Berkelah Di Tepi Pantai.


Salam ceria untuk pembaca yang dihargai. Sememangnya hari hujung minggu adalah hari yang ditunggu-tunggu bersama dengan keluarga yang tercinta. Baru-baru ini sempat juga saya berkelah bersama keluarga di Penyabong dan Air Papan, Mersing. Memang menyeronokkan dan sesuai untuk dibuat hari keluarga pada masa akan datang. Sekurang-kurangnya kita dapat melepaskan tekanan kerja dan menghilangkan kebosanan di rumah. Perjalanan dari bandar Mersing ke Penyabong tidak sampai 45minit dengan kereta. Sempat juga kami singgah di Pantai Teluk Godek dan melihat beberapa pengunjung yang berkelah dan mandi disitu. Sampai di Penyabong, kami segera mencari tempat untuk berkelah dan bersetentang dengan deretan pulau. Anginpun tidaklah kuat disebabkan adanya gugusan pulau yang memberikan panorama yang indah kepada pengunjung. Memang menarik untuk merakam gambar dan video bersama keluarga disitu. Perjalanan dari bandar Mersing ke Air Papan tidak sampai 1/2jam dan kami bertemu sawah padi sebelum sampai ke Air Papan. Sampai di Air Papan banyak kedai yang menjual cenderahati seperti layang-layang, pelampung dan baju untuk dijadikan kenangan. Bila sampai di tempat yang kami ingin tujui, kami terus meletakkan hamparan di bawah pohon kelapa. Ada juga penjual aiskrim yang menjual aiskrim kepada pengunjung dengan harga berpatutan. Sambil mendengar deruan ombak teringat kenangan saya bersama isteri saya di Tanjung Aru, Sabah sambil melihat pesawat MAS Wing terbang di awan biru. Ramai juga pengunjung yang bermain di tepi pantai dan ada yang bermain bola pantai bersama rakan-rakan. Kami sekeluarga menggunakan cuti hujung minggu dengan sebaik mungkin untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Semoga cuti hujung minggu ini, para pembaca dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga tercinta.

Khamis, 9 Disember 2010

Kemahiran Berunding Dengan Pembekal.

Salam sejahtera kepada pembaca yang dihormati. Tidak dinafikan kemahiran mendapatkan pembekal dan boleh berunding untuk mendapatkan harga kos yang begitu rendah dengan pembekal merupakan aspek penting untuk menunjukkan samaada pengusaha itu berjaya atau sebaliknya dalam perniagaan. Pengusaha juga perlu bijak memilih barang yang diperlukan oleh pelanggannya yang dapat memberikan impak yang besar kepada jualan bulanan. Dengan mencari pembekal dengan tepat dan mempunyai hubungan yang begitu baik dengan pembekal terutama pengarahnya boleh memberikan kesan positif dalam urusan jualbeli. Untuk mengelakkan kerugian, pengusaha perlu mengetahui barang itu boleh laku dalam pasaran tempatan dan barang itu boleh dipulangkan kepada pembekal sekiranya rosak dan mencapai tarikh luput. Tambahan pula pengusaha perlu bijak membuat kiraan sebelum berunding dengan pembekal dan peka dengan promosi yang ditawarkan oleh pembekal. Sememangnya pengusaha perlu pandai mencari peluang seperti bonus yang disediakan oleh pembekal dan tempoh pembayaran kredit hutang yang panjang dan fleksibel. Dengan kemahiran berunding dengan pembekal yang begitu baik dapat memberikan survival yang begitu panjang bagi pengusaha dalam perniagaan yang penuh dengan cabaran.

Khamis, 2 Disember 2010

Kepantasan Berfikir.

Salam untuk pembaca yang dihormati. Memang tidak dapat dinafikan cara berfikir dan membuat keputusan yang begitu pantas dan berhati-hati merupakan aspek yang terpenting dalam bidang perniagaan. Dengan merangka strategi yang begitu sistematik dan mengetahui selok belok persaingan di sesuatu tempat dapat memberi tempoh jangka hayat yang panjang dalam bidang perniagaan yang diceburi. Ditambah pula dengan mematahkan serangan-serangan dari pihak pesaing dapat memberikan kekuatan untuk terus lama dalam bidang ini. Kelainan dan kemahiran yang ditonjolkan juga memberi nilai tambah bagi pengusaha atau peniaga dengan memberikan perkhidmatan yang begitu baik kepada pelanggan. Dengan kepantasan berfikir, kita dapat menentukan produk-produk yang diperlukan oleh pelanggan disesuatu tempat dengan harga yang munasabah. Dengan ilmu yang mencukupi, kita boleh menentukan hala tuju perniagaan yang kita bawa dan dapat mengelakkan sebarang penipuan di dalam perniagaan dan taktik kotor dari pesaing.

Rabu, 1 Disember 2010

Kesedaran Membuka Perniagaan Untuk Kemajuan Bersama.

Salam untuk pembaca yang budiman. Sudah lama saya tidak menulis blog disini mungkin kesuntukan masa bersama keluarga pada cuti sekolah hujung tahun ini. Sejak dua menjak ini semakin rancak kedai baru yang dibuka di Bandar Tepian Sungai Mersing, yang terbaru pasaraya, kedai basikal, kedai komputer dan kedai makanan. Yang akan datang kedai makanan segera, Marrybrown yang boleh memberi saingan yang begitu sihat kepada pesaingnya iaitu KFC. Sememangnya dengan pertumbuhan ekonomi yang begitu baik disini dapat memberi peluang kepada peniaga-peniaga yang berminat membuka kedai di Jalan Sulaiman ini. Dengan pembukaan banyak kedai baru disini dapat memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Mersing dan memberi banyak pilihan kepada pengguna disini. Sememangnya kita memerlukan sesuatu perubahan dan perlu berdaya saing untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan juga untuk negara Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...