Pages

Selasa, 24 Mei 2011

Saling Berhubung Dengan Pelanggan Ibarat Aur Dengan Tebing.


Salam ceria untuk para pembaca yang budiman.Sejak akhir-akhir ini semakin rancak pula agen-agen insurans yang menhubungi para pelanggannya untuk mengemaskinikan data dan juga membuat penambahbaikan dari segi kualiti hubungan dengan pelanggan. Memang saya akui dengan cara begini dapat mengeratkan lagi hubungan dengan pelanggan. Saya tertarik dengan rakan yang pernah bekerja di syarikat insuran, dengan kita berjumpa dengan pelanggan secara bersemuka dapat memberi kesan yang lebih baik berbanding berhubung melalui telefon.Lagi kerap kita bersua muka dengan pelanggan tersebut, bertambah eratlah hubungan yang tercipta. Adakala kita mempunyai masa yang terhad mungkin dengan cara lain seperti memberitahu perkara-perkara yang sepatutnya kepada para pelanggan melalui telefon, sms, email, facebook, twitter dan surat atas keselesaan pelanggan itu sendiri. Bukan mudah kita ingin memikat pelanggan dengan menawarkan produk-produk kepada mereka. Mungkin mereka menjadi serba salah dan bimbang menerima produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Dengan cara berkomunikasi dengan pelanggan dengan begitu tepat dan fleksibel boleh membantu pelanggan itu menerima produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh kita dengan begitu mudah dan berkesan. Jadi kita perlulah berguru dengan orang yang lebih mahir dalam berhubung dengan pelanggan sekiranya kita meminati dalam bidang pemasaran dan penjualan produk dan perkhidmatan. Tidak salah kita hulurkan risalah, kad bisnes, kalendar beserta hadiah misteri untuk pelanggan-pelanggan yang baru kita temui. Sekurang-kurangnya mereka memberi tindakbalas yang begitu positif dan akhirnya mereka membeli produk dan perkhidmatan yang kita tawarkan. Hubungan kita dengan pelanggan menjadi lebih erat lagi umpama isi dengan kuku.

Sabtu, 21 Mei 2011

Pelanggan Semakin Bijak Berbelanja Dan Berjimat-Cermat.

Salam untuk pembaca yang dihargai. Sudah lama saya tidak menaip blog disini setelah mengambil cuti kecemasan pada pertengahan minggu ini. Tidak dinafikan dengan kenaikan harga petrol RON97 memberi kesan yang begitu mendalam kepada para pengguna di Malaysia. Ada yang terus berjimat-cermat dan mengawal pembelian barang secara berhemah. Ramai yang sudah membuat buku kira-kira yang boleh mengetahui aliran masuk keluar kewangan mereka supaya mereka tahu ke mana duit mereka mengalir dan yang pasti mereka tidak mahu pengeluaran duit melebihi penerimaan duit pada penghujung setiap bulan. Saya setuju pandangan orang yang mahir dalam bidang kewangan supaya menyimpan duit dari gaji mereka sebanyak 10%. Kalau lebih tinggi peratusannya lagi bagus untuk kegunaan semasa kecemasan dan juga pendidikan untuk anak mereka pada masa akan datang. Sejak kebelakangan ini ramai pelanggan yang berhati-hati ketika berbelanja dan ada yang sanggup membuat perbandingan harga sebelum membeli di pasaraya. Ada yang membuat langkah berjaga-jaga dan membuat lebih banyak kajian terperinci sebelum berdepan dengan harga barang naik begitu mendadak kesan dari kenaikan petrol, gula dan kesan bencana di Jepun. Memang ada pihak Kementerian Dalam Negeri yang singgah di premis tempat saya berkerja untuk memantau harga-harga barangan dan mereka juga mendapatkan maklumbalas mengenai produk-produk dari Jepun yang dijual di dalam premis ini. Tindakan mereka tepat pada masanya untuk mengelakkan sebarang kenaikan barangan secara mendadak di mana-mana premis jualan dan secara langsung dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh pelanggan.

Isnin, 16 Mei 2011

Guru Sebagai Lilin Yang Menyinari Alam.


Salam sejahtera kepada para pembaca sekalian. Hari ini Hari Guru yang disambut dengan begitu hebat di Malaysia. Jasa mereka sangatlah berguna untuk mendidik anak bangsa Malaysia menjadi orang yang berguna kepada masyarakat, negara dan juga di peringkat antarabangsa. Saya berterimakasih kepada cikgu-cikgu saya yang mengajar saya memandu di Kluang dan Mersing terutama Cikgu Shamsudin. Tanpa mereka sudah pasti saya tidak mahir memandu kereta di atas jalan raya. Begitu juga isteri saya yang bekerja sebagai guru yang banyak membantu saya menempuh segala cabaran dalam kehidupan ini. Saya juga tidak melupakan jasa pensyarah saya di UM terutama Prof.Madya Dr. Shamsinah, Allayarhamah Prof. Madya Dr. Hadida, Prof. Madya Dr. Shafiq, Dr. Teh Lay Kek dan lain-lain yang banyak membantu saya menjadi seorang graduan yang berjaya dalam profesion farmasi. Paling saya tak lupakan jasa cikgu-cikgu saya di SEMESTA Raub terutama Cikgu Hanim Kamari, Cikgu Shahrizat dan Cikgu Wan Norhayati yang banyak memberi pemangkin untuk menjadikan saya lebih berdaya saing dan menguatkan semangat untuk terus belajar lagi. Saya rasa bersyukur kerana dapat berjumpa para pendidik yang hebat yang banyak memberi peransang menjadi insan yang lebih berjaya. Saya akhiri dengan ucapan "Selamat Hari Guru" kepada guru-guru di Malaysia. (Tanpa seorang mentor atau guru sudah pasti anak muridnya akan hilang arah tujunya)

Ahad, 15 Mei 2011

Aktifkan Diri Anda Di Hujung Minggu Dengan Aktiviti Yang Menyegarkan.



Salam untuk pembaca yang di hormati. Pada hari Ahad saya memulakan kerja saya dengan mencari barang di luar premis jualan. Memang secara tidak langsung saya dapat melihat perkembangan di luar sana dengan lebih dekat lagi terutama berjumpa dan beramah mesra dengan pelanggan-pelanggan di luar premis. Dengan cara ini dapat mengajak mereka datang membeli barangan di tempat saya. Anda juga ada aktiviti-aktiviti yang sudah pasti memberi kecergasan pada hujung minggu dengan membawa rakan dan juga keluarga berkelah di tepi pantai, beriadah di tempat rekreasi yang disediakan dan ada yang jenis kaki pancing yang suka memancing di atas jambatan. Memang seronok kalau sudah berkumpul bersama dengan rakan-rakan sambil membuat aktiviti-aktiviti yang boleh mengeratkan siraturrahim. Dengan cara ini kita boleh mendapat sesuatu yang istimewa pada hujung minggu bersama sahabat handai.
Adakala kita berasa bosan duduk di dalam bilik yang kecil pada hujung minggu. Sesekali tidak salah mengajak rakan-rakan yang mempunyai hobi yang sama membuat aktiviti-aktiviti yang boleh menghiburkan diri sendiri seperti memanah, bermain boling, bermain snuker dan mendaki gunung. Dengan adanya aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan pada hujung minggu, minda anda akan jadi lebih positf dan badan anda menjadi lebih sihat. (Makin ramai yang meminati sudoku untuk mencabar minda)

Khamis, 12 Mei 2011

Lagi Rancak Lagi Meriah!


Dengan adanya pelbagai aktiviti seperti penganjuran futsal, karnival dan pertandingan memancing sudah pasti memberi tarikan yang begitu kuat untuk memeriahkan lagi keadaan sesebuah bandar. Malah merancakkan lagi ekonomi sesebuah bandar itu dari menjadi sebuah bandar mati.
Sebelum ini saya pernah pergi ke pasar tamu di bandar Kudat, Sabah yang mana ramai pengunjung yang datang membeli pelbagai barang di situ. Tambahan pula ada aktiviti-aktiviti menarik disitu yang memberi pengalaman yang bermakna bagi pengunjung yang baru singgah di bandar Kudat. Ada juga pertandingan bola sepak di antara jabatan-jabatan kerajaan yang berlangsung di bandar tersebut dan secara tidak langsung memberi kesan yang begitu positif dalam bandar tersebut.
Begitu juga di bandar Mersing, tempat saya bekerja disini, banyak aktiviti-aktiviti yang menarik yang boleh menarik ramai pengunjung singgah di bandar ini. Yang terbaru pertandingan memancing anjuran Berita Harian di Tanjung Leman. Sudah pasti hadiah yang begitu lumayan menanti para pemenang yang menangkap ikan yang begitu berat sekali. Memang ramai yang mengambil peluang untuk menyertai pertandingan tersebut dan sudah pasti ramai yang singgah ke bandar Mersing. Secara tidak lansungnya sesebuah bandar itu menjadi lebih meriah dengan adanya pelbagai aktiviti-aktiviti yang memenuhi kalendar pada tahun ini.

Rabu, 11 Mei 2011

Belajar Berdikari Dan Cepat Belajar Dalam Bidang Perniagaan.

Salam ceria untuk para pembaca yang budiman. Sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu di blog ini mungkin disebabkan banyak tugasan yang perlu saya siapkan sebelum cuti sekolah pada penghujung bulan Mei ini. Memang ramai pembaca memiliki sikap berdikari yang begitu baik sekali tanpa bergantung kepada orang lain. Dengan memiliki sikap berdikari, anda mungkin boleh mendapat kejayaan yang memberi kepuasan yang mendalam dengan belajar dengan begitu cepat untuk mengatasi cabaran-cabaran yang mendatang. Umpama sebuah kapal yang ingin belayar tanpa adanya bantuan kapal lain, sudah pasti kapal tersebut begitu teguh dan bersedia untuk berdepan dengan badai yang kuat di lautan yang luas. Dengan adanya rumah api dapat memberi panduan kepada kapal tersebut.
Dalam bidang perniagaan ini, seseorang yang memiliki ilmu yang cukup dapat menguruskan perniagaan dan perlu berdiri dengan sendirinya. Saya sendiri pernah mengalaminya sewaktu mula sampai di bandar yang belum saya kunjungi selama ini. Memang terlalu baru dan perlu berdikari untuk mendapatkan bekalan atau barang dari pembekal dan menguruskan sebuah premis jualan. Banyak juga perkara-perkara baru yang perlu saya pelajari dari pekerja yang sudah berpengalaman.
Sekali-sekala tidak salah kita merujuk kepada rakan-rakan kita yang lebih berpengalaman di tempat lain untuk mengetahui bagaimana untuk menguruskan perniagaan dengan keadaan begitu baik sekali. Pada permulaan memang payah untuk mendapatkan barang dan berurusan dengan pelanggan yang baru dikenali. Lama kelamaan kita akan cepat belajar dari orang lain dan dapat mengemudikan premis jualan tersebut dengan begitu mudah tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Tambahan pula kita akan mudah cepat belajar bagaimana untuk membuat promosi dan jualan yang boleh memberi keuntungan kepada syarikat.
Dengan sifat berdikari dan cepat belajar dapat memberi kemajuan kepada seseorang yang menceburi dalam bidang perniagaan dan akhirnya akan memberi kejayaan yang bermakna dalam hidupnya.

Jumaat, 6 Mei 2011

Pekerja Yang Memiliki Kemahiran Istimewa Merupakan Tarikan Kepada Pelanggan.


Betapa beruntungnya syarikat ditempat anda memiliki para pekerja yang begitu kompetetif dan mempunyai kemahiran yang begitu istimewa untuk menarik ramai pelanggan datang ke tempat anda. Pada tiga tahun yang lepas, saya berasa hairan mengapa premis di depan tempat saya bekerja begitu ramai pelanggan yang melekat disitu tanpa henti dan jarang premis itu kosong dengan pelanggan. Kadang-kadang rasa cemburu juga premis di depan tersebut mendapat tumpuan yang begitu hebat dari pelanggan. Bila diamati, rupa-rupanya ada pekerja yang begitu mahir membaiki telefon yang rosak dan sudah pasti dia tahu tentang software dan hardware telefon-telefon yang begitu berjenama tinggi. Bukan itu sahaja mungkin dia bijak mengambil peluang yang sedia ada untuk menarik pelanggan dengan gaya yang begitu disenangi oleh para pelanggan. Dari segi komunikasinya memang menarik perhatian saya untuk membeli telefon bimbit di premisnya. Setelah pekerja tersebut berhenti dan membuka premis sendiri, tugasnya diambil alih oleh pekerja yang lain tetapi tidaklah sehebat sepertinya. Dengan kepakaran yang dimilikinya secara tidak langsung meningkatkan jualan di premis tersebut sehinggakan majikannya membuka sebuah lagi cawangan untuk mengukuhkan kedudukannya di sini.
Saya juga tertarik dengan kepetahan pekerja di sebuah premis di Kluang yang begitu fasih dalam pelbagai bahasa. Walaupun bertudung, dia tidak berasa kekok melayan pelanggan yang berbilang bangsa di Malaysia. Ditambah pula pandai membaiki cermin mata dan sudah pasti mahir tentang produk-produk yang dijual di premisnya. Secara tidak langsung pelanggan akan datang sekerap yang mungkin ke tempat premis tersebut dengan layanan yang begitu hebat disamping memiliki kemahiran yang tidak ada pada orang lain.
Sewaktu di Kelantan, saya juga terserempak dengan pekerja-pekerja yang begitu pandai memasak dan menghidangkan makanan yang begitu enak sekali. Walaupun makanan disana tidak sama dengan makanan di tempat saya, namun saya mencuba juga makanan yang tidak pernah saya rasai sebelumnya. Antaranya sudah pasti nasi kerabu dan nasi berlauk yang begitu popular di negeri-negeri Pantai Timur. Sememangnya ia memberi kelainan tersendiri untuk menarik lebih pelanggan singgah di restoran mereka.
Kita sepatutnya mengambil peluang belajar dari orang yang ada kemahiran yang dimiliki oleh mereka walaupun hasilnya tidaklah sehebat seperti mereka. Dengan adanya pekerja yang memiliki kemahiran terutama kemahiran menjual barang, membaiki mesin, elektrik, software dan hardware menjadi bonus atau aset sesebuah syarikat untuk maju lebih jauh lagi dalam apa-apa bidang khususnya dalam bidang perniagaan.

Rabu, 4 Mei 2011

Nilai Kesetiaan Seseorang Pekerja.


Salam untuk para pembaca blog, facebook dan lain-lain yang dihargai. Terimakasih kerana sudi singgah ke sini. Sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu yang ringkas disini setelah bercuti bersama isteri dan anak di Melaka Bandar Bersejarah semasa cuti Hari Buruh. Memang banyak perkara-perkara yang boleh dibincangkan dalam blog saya antaranya sudah pasti nilai kesetiaan seorang pekerja kepada syarikat yang banyak mengubah cara hidupnya yang lebih maju ke hadapan.
Untuk mendapatkan pekerja yang lebih setia dan memberikan komitmen yang begitu tinggi memanglah sukar. Ditambah keikhlasannya bekerja di bawah syarikat yang mementingkan kualiti dan sudah pasti membantu untuk mendapat keuntungan yang begitu bagus sekali dalam bidang perniagaan.
Sebelum ini saya sendiri berdepan masalah untuk mendapatkan pekerja yang betul-betul ikhlas dan sudah pasti sukarnya untuk mendapatkan pekerja yang begitu setia untuk bekerja lama di sesebuah syarikat yang lebih kompetetif. Mungkin dengan bantuan rakan sekerja yang begitu berpengalaman sudah pasti dapat membantu untuk mendapatkan pekerja yang begitu berminat bekerja. Saya tidak nafikan bukan semua yang berminat bekerja, hanya segelintir yang datang bekerja yang tidak fokus pada kerjanya dan sentiasa memberi tumpuan kepada masalah peribadi.
Dengan melihat latar belakangnya dan sentiasa berhubung dengan syarikat yang pernah menerimanya untuk bekerja, sudah pasti kita dapat mengetahui keadaan calon-calon pekerja yang begitu sesuai bekerja di tempat saya bekerja.
Jika kita memiliki pekerja yang begitu rajin dan sudah lama bekerja ditempat kita, tidak salah kita memberi ganjaran samaada melalui pujian, hadiah dan sebagainya untuk menghargai kesetiaan dan perkhidmatan cemerlangnya. Mungkin cara sebegini dapat menyuburkan nilai-nilai hubungan yang begitu positif dan secara tidak langsung mengukuhkan lagi kestabilan syarikat tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...