Pages

Jumaat, 27 Januari 2012

Kalau Berpacaran Menjadi Pilihan.

Kalau isteri saya meminati lagu Kekanda Adinda lantunan suara Atilia dan kumpulan Monoloque, saya sebaliknya mengemari lagu Kalau Berpacaran yang dinyanyikan oleh Suhaimi Mior Hassan, Altimet dan Ana Raffali. Mula-mula memang saya berasa kurang suka lagu dendangan trio tersebut, bila lagu ini mula berulangkali dimainkan di corong radio terutama Radio Muzik yang kini tinggal sejarah agak menangkaplah juga perasaan tersebut. Lagu lain yang akan bertanding pada AJL 26 di TV3 yang boleh memberi kelainan sudah tentu lagu Awan Nano, nyanyian Hafiz AF7 yang memiliki suara yang benar-benar menakjubkan. Memang permulaan lagu dimainkan, memang saya tak sedar suara tersebut suara Hafiz. Memang berlainan sekali dengan lagu sebelumnya, Noktah Cinta yang pernah bertanding pada AJL 25. Lagu-lagu yang dipertandingkan pada AJL 26 kali ini nampak begitu seimbang dan sukar menentukan lagu mana yang lebih dominan untuk menjuarai lagu terbaik dalam acara yang begitu gilang-gemilang sekali. Mungkin anda sendiri ada lagu yang rasa layak dinobatkan sebagai juara pada AJL 26 yang berlangsung pada hujung minggu ini. Hanya juri yang arif yang dapat menentukan lagu yang mana yang lebih berjaya. (Tak sabar melihat kelainan dan kreativiti yang diciptakan oleh artis-artis lain seperti Yuna, Faizal Tahir, Aizat di pentas akhir AJL 26 nanti ditambah dengan konsep air yang hebat!)

Selasa, 24 Januari 2012

Meninjau Kedai Baru Di Bukit Gambir.

Salam untuk para pembaca dari blogspot, facebook, twitter dan lain-lain. Semoga anda bergembira bersama dengan keluarga dan rakan-rakan sempena musim perayaan kali ini. Sekali-sekala saya mengambil cuti untuk bersiar-siar bersama ipar duai dan mertua di Bukit Gambir setelah selesai pergi ke kenduri kahwin di Panchor. Memang banyak kedai-kedai akan dibuka disini. Ternampak juga deretan kedai-kedai yang berwarna-warni yang akan dibuka tidak lama lagi. Nampaknya semakin banyak perubahan disini. Sesekali sempat juga kami singgah ke kedai-kedai yang baru dibuka pada musim perayaan ini. Memang persaingan cukup tinggi untuk menarik ramai pelanggan yang sudah pasti ingin kelainan dan mendapatkan harga yang berpatutan.
Saya meninjau juga kedai hingga tertarik juga dengan barang-barang yang mungkin jarang dibuat di negara sendiri. Memang kreatif juga melihat hasil yang dibeli oleh peniaga tersebut dan sanggup mencari barangan yang mempunyai nilai yang tinggi dari luar negara. Mungkin ini sebagai daya tarikan untuk pengunjung singgah di kedai tersebut dan semestinya mereka ingin barang yang mempunyai nilai keaslian yang tersendiri. Yang penting peniaga itu pandai mencari barang yang begitu bervariasi dan tidak menjemukan pelanggan untuk singgah berulang kali disitu.

Khamis, 19 Januari 2012

Melawat Pesakit Di Hospital.

Semalam saya dan isteri bercadang untuk melawat bapa kenalan di Hospital dan sempat membeli buah-buahan untuk bapanya yang mengalami sakit asthma. Rupa-rupanya bapa kenalan tersebut sudah discaj dari wad, jadi kami membuat keputusan memberi buah tangan pada hari keesokan harinya. Sewaktu saya bekerja di Kuala Lumpur, saya teringat yang saya sempat juga melawat rakan yang mengalami pembedahan di kepala dan muka. Jadi sempatlah melihat bagaimana dia berada di wad hospital yang adakalanya terpaksa membawa dextrose masuk ke dalam tandas. Memang adakala kita perlu memberi sedikit buah tangan dan juga membaca doa supaya dia sembuh secepat yang mungkin. Secara tidak langsung kita dapat manfaat dan keberkatan apabila kita melawat rakan kita di wad. Rakan saya mengalami kemalangan di tepi jalan raya. Dimana motosikal yang dibawanya terbabas dan terkena tiang lampu. Mujur nyawanya masih panjang dan yang pasti saya teringat ibubapanya sanggup datang dari Sabah untuk melawat anaknya yang mengalami kemalangan. Memang mengharukan, tapi kenangan itu menjadi saya lebih prihatin dengan keselamatan diri. Ada juga rakan saya yang baru melahirkan anak dan sempat juga saya membeli roti, susu soya dan buah-buahan untuk rakan sekerja saya sewaktu saya menginap di Lembah Klang dan yang menariknya, jururawat memuji tindakan saya yang begitu prihatin terhadap rakan saya yang berlainan bangsa. Memang seronok bila bertemu rakan sekerja yang baru bersalin dan mendapat anak yang begitu comel sekali.

Rabu, 18 Januari 2012

Terus Melobi.

Salam untuk para pembaca dari blogspot, Facebook, Twitter dan lain-lain. Semoga anda dapat menjamu selera makan tengahari bersama dengan keluarga dan juga rakan-rakan yang lain. Memang penat juga melayan pelbagai jenis pelanggan yang singgah di kedai dan ada juga kerja backup yang perlu dibereskan. Saya teruja melihat kesungguhan runner-runner di luar sana yang begitu handal melobi barang-barang yang hendak dijual kepada klien-klien mereka dan dapat menerangkan lebih jelas lagi. Begitulah besarnya peranan runner-runner yang begitu penting dalam bahagian pemasaran. Secara tidak langsung meningkatkan jualan syarikat dan terus berkembang maju dari masa ke semasa. Sesekali mereka akan mengeluarkan duit poket mereka untuk membelanjakan klien-klien mereka dan secara tidak langsung memikat klien-klien menempah barang-barang yang mereka ingini. Segala pengalaman dan ilmu yang mereka ada dapat digunakan sepenuh yang mungkin dan mereka cuba mengelakkan sebarang kesilapan semasa menerangkan kepada klien-klien mereka. Banyak teknik-teknik yang mereka cuba untuk meyakinkan klien-klien mereka dengan penampilan yang menarik serta cara pembawaan yang begitu kreatif dan berkesan. Usaha melobi barang-barang dari syarikat perlu dibuat tanpa rasa jemu dan perasaan malu perlu dibuang ketepi. Yang penting runner-runner tersebut sentiasa dalam keadaan yang berkeyakinan dan tidak takut berjumpa klien-klien yang lebih berpengaruh. (Runner-runner yang mempunyai kontak yang ramai boleh memberi kesan yang begitu besar kepada syarikat terutama dari segi keuntungan yang dicapai)

Selasa, 17 Januari 2012

Gerak Kerja Fisioterapi.

Salam untuk para pembaca dari blogspot, Facebook, Twitter dan lain-lain. Sememangnya hari ini saya menghabiskan cuti tahun lepas dengan bekerja separuh hari sahaja. Jadi dapatlah meluangkan masa untuk mengikuti pembelajaran fisioterapi anak saya yang berumur dua tahun di Hospital Mersing pada sebelah petang. Memang keadaannya tidak sama seperti yang saya pergi bersama isteri saya dan anak saya di bahagian Fisioterapi, Hospital Melaka. Jadi keadaannya lebih santai lagi bersama jurupulih yang mengajar anak saya berjalan dengan betul dan juga pergerakan yang lebih stabil. Macam-macam kita boleh pelajari tentang gerak kerjanya dengan menggunakan bola besar, bebola berbentuk kacang, bongkah-bongkah kayu dan corong plastik untuk menggalaknya lebih pergerakan dan merangsang derianya lebih tajam lagi. Pada masa akan datang, InsyaAllah jurupulih akan mengajar cara anak bertutur dengan betul dan membiasakan diri dengan keadaan sekitar. Kalau di Hospital Melaka, terdapat lebih jurupulih dan pelatih yang membantu pesakit-pesakit boleh bergerak dengan betul dan membiasakan diri dengan keadaan yang lebih stabil lagi. Ditambah daya koordinasi dapat ditingkatkan dengan senaman-senaman atau gerak kerja yang diajar oleh jurupulih fisoterapi. Memang banyak perkara-perkara yang begitu baru yang perlu saya dan isteri pelajari dari masa ke semasa bergantung kepada jadual yang diberikan oleh kakitangan hospital.

Potong Gaji.

Bila sebut potong gaji, ramai yang tidak suka dengan majikan yang membuat tindakan sebegitu rupa. Kebanyakkan berlaku kepada pekerja-pekerja yang bertugas di kaunter pembayaran khususnya di pasaraya dan juga di premis-premis perniagaan. Jika ada barang yang hilang, sudah pasti kesemua staf yang terlibat akan di panggil dan gaji mereka akan dipotong untuk membayar ganti rugi barang yang hilang. Saya masih teringat sewaktu saya bekerja di Kuala Lumpur, memang ramai staf termasuklah saya tidak terlepas dengan pemotongan gaji disebabkan duit di kaunter bayaran tidak mencukupi. Saya terkejut juga ada rakan-rakan yang bekerja di kaunter pembayaran begitu fobia berada di kaunter pembayaran dan mereka bimbang duit di dalam kaunter pembayaran tidak mencukupi. Seolah-olah mereka serik bekerja di bahagian juruwang. Ada juga pengurus yang meminta duit dari staf jika duit di kaunter pembayaran tidak mencukupi dan secara tidak langsung pemotongan gaji tidak berlaku. Kebiasaannya ada terdapat majikan yang akan memotong gaji staf jika jualan tidak memberangsangkan dan menganggap staf-staf tersebut merugikan syarikat ditambah prestasi jualan mereka tidak begitu baik. Mungkin dengan cara begini dapat menyedarkan staf berhati-hati di bahagian kaunter pembayaran dan bekerja lebih keras untuk meningkatkan jualan.

Terkena Litar Pintas

Pagi-pagi sudah berlaku litar pintas di kedai menyebabkan bahagian belakang tidak boleh berfungsi dengan baik. Terpaksalah rakan sekerja memanggil kenalan yang mahir bab-bab elektrik. Jadi terpaksa menunggu rakan tersebut membaiki bahagian yang terkena litar pintas. Mungkin disebabkan pemasangan pendawaian yang tidak sekata dan tidak boleh bertahan lama menyebabkan litar pintas berlaku menyebabkan staf senior dan junior tidak dapat menjalankan solat fardhu maghrib dengan sebaik yang mungkin pada hari semalam. Tiba-tiba saya teringat semasa saya menguruskan kedai dengan staf senior, tiba-tiba sahaja berlaku litar pintas di waktu pagi dan saya terus menelefon TNB untuk pemeriksaan di kedai. Apabila datang kakitangan TNB, dia memberi nombor telefon juruelektrik yang boleh mengesan litar pintas di kedai. Apabila juruelektrik datang ke kedai, dia terus memeriksa kotak utama elektrik di bahagian depan kedai. Rupa-rupanya memang ada bahagian yang hangus terbakar dan juruelektrik memberitahu kepada saya untuk menukar dengan yang baru. Selepas dibaiki bahagian yang rosak, dia meminta bayaran kepada saya. Pernah juga berlaku di taman, terdapat berlakunya kebakaran yang disebabkan litar pintas, memang mengejutkan juga orang-orang di taman pada sebelah tengah malam yang hening dan saya ternampak ada orang yang mengusung mangsa kebakaran dan mengalihkan barang-barang berharga ke tempat yang selamat. Sememangnya litar pintas memberi kesan yang buruk kepada orang ramai dan sentiasa mengetahui keadaan litar pintas. Adakala pendawaiannya tidak dalam keadaan yang begitu baik menyebabkan berlakunya litar pintas.

Isnin, 16 Januari 2012

Apa Yang Menarik Hari Ini?

Salam untuk para blogger, rakan-rakan Facebook, Twitter, Nuffnang dan lain-lain. Selamat menjamu selera bersama rakan-rakan sekerja dan juga selamat menjalankan tugas pada hari Isnin yang memang sibuk. Semalam saya terperasan banyak kereta yang berhenti di depan Jubli Intan, Mersing. Rupa-rupanya ramai yang menerima duit BR1M sebanyak RM500. Orang sebelahpun dapat juga bantuan BR1M dan nampak ceria pula hari ini. Ada rakan setugas yang akan menerima bantuan BR1M tidak lama lagi. Rasa terperanjat juga bila mengetahui dari rakan mengenai penyanyi kesayangan ramai,Dato' Siti Nurhaliza hamil baru-baru ini. Alhamdulillah sudah lama peminat-peminat menunggu berita gembira mengenai dirinya. Begitu juga dengan kejayaan Dato' Lee Chong Wei yang berjaya menewaskan pemain dari Jepun untuk menjuarai Malaysia Open anjuran Maybank. Semoga Dato' Lee Chong Wei berjaya dalam Piala Thomas dan Sukan Olimpik yang akan berlangsung tidak lama lagi. Itu sahaja yang saya sempat coretkan dalam entry kali ini dan semoga anda ceria selalu bersama rakan-rakan anda sekalian. (Ramai rakan yang sibuk dengan mesyuarat pada hari Isnin untuk program-program yang berlangsung pada awal tahun)

Sabtu, 14 Januari 2012

Bekerja Shift Malam.

Salam untuk para pembaca dari blogspot, Facebook, Nuffnang, Twitter dan lain-lain. Hari ini, hari yang pertama saya bekerja malam di kedai bersama staf-staf senior pada tahun ini. Alhamdulillah kerjapun hampir selesai ditambah ada ruang untuk saya membuat entry-entry baru untuk tatapan rakan-rakan sekalian. Sememangnya pada hari Sabtu begini, isteri saya perlu menjalani koko di sekolah barunya dan sempatlah saya bersiar-siar bersama dengan anak di waktu pagi sebelum masuk kerja pada sebelah malam. Memang saya teringat sewaktu saya belajar di Kuala Lumpur, saya bergegas ke tempat kerja pada sebelah malam iaitu bermula jam 9 malam dan berakhir pada awal pagi esoknya. Memang penat tetapi terasa pengalaman bekerja di sebelah malam memberi kepuasan yang berbeza berbanding bekerja pada siang hari. Sekurang-kurangnya kita dapat merasa dan menilai keadaan pelanggan yang masuk dan keluar ke tempat saya bekerja di Kuala Lumpur tersebut dan memahami ragam pelanggan dengan lebih dekat lagi. Selain itu kita dapat merasa bagaimana kita membuat tugasan semasa opening, closing dan juga waktu middle yang memberi suasana yang begitu berbeza dengan berdepan pelbagai ragam pelanggan dan juga rakan sekerja. Kebiasaanya bekerja pada sebelah malam, tumpuan kita perlu lebih kepada keselamatan terutama apabila ramai pelanggan yang masuk ke dalam premis perniagaan. Adakala kita berasa bimbang sekiranya berlaku terputus elektrik(blackout)yang boleh mencetuskan suasana yang kurang menyenangkan. Jika berlaku sebegini, kita bimbang dari segi keselamatan barang-barang didalam kedai atau staf yang bekerja bersama dengan kita. Jadi langkah yang paling selamat sudah pasti kita menutup kedai untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini seperti kecurian dan sebagainya. Saya ada bertanya pada rakan saya yang bekerja di pasaraya, memang mereka bimbang jika berlakunya terputus elektik di tempat kerjanya. Memang perkara-perkara sebegini kita tidak dapat elakkan dan perlu lebih bersedia untuk berdepan dengan keadaan yang tidak dijangka. Hanya kita perlu bertindak pantas sebelum berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Manual Atau Auto?

Baru-baru ini kita mengetahui tentang calon-calon yang ingin mendapatkan lesen memandu kereta dengan menggunakan kereta secara automatik. Memang ramai antara kita yang menggunakan kereta auto terutama yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau-Pinang dan Johor Bahru. Bagi sesetengah pihak mungkin merasakan pembelajaran pemanduan secara manual lebih baik berbanding menggunakan kereta secara auto. Secara tidak langsung mereka tidak berasa kekok menggunakan kereta jenis manual terutama kereta-kereta jenis lama. Bagi sesetengah orang berasa selesa menggunakan auto yang mana tidak perlu menekan clutch semasa penukaran gear. Hanya perlu mengawal brek dan minyak sahaja, kereta auto tersebut boleh meluncur dengan begitu mudah tanpa melihat kelajuan pada skrin kereta. Disebabkan banyak syarikat pengeluaran kereta mengeluarkan lebihan kereta auto berbanding jenis manual, sudah tiba masanya kursus pemanduan untuk mendapatkan lesen kereta menggunakan kereta auto berbanding menggunakan kereta jenis manual. (Rasa beruntungnya bagi sesiapa yang belajar menggunakan kereta jenis manual dan juga jenis auto)

Selasa, 10 Januari 2012

Hebatnya Penangan Air Tangan Isteri.

Salam untuk rakan-rakan blogspot, Facebook, Nuffnang, Twitter, Myspace dan lain-lain. Semoga anda dapat menjamu selera makan tengahari bersama keluarga atau juga dengan rakan-rakan sekerja. Memang diakui apabila sudah berkahwin, memang terasa lain pengalaman terutama dari segi penyediaan makanan yang selama ini ibu yang menyediakan makanan tengahari atau makanan pada sebelah malam berbanding dengan makanan yang disediakan oleh isteri. Saya ada terdengar juga ada suami yang sanggup balik ke rumah pada waktu rehat tengahari sebelum masuk semula bekerja pada sebelah petang semata-mata untuk merasai air tangan isteri. Ada juga isteri yang bekerja bergegas pulang pada waktu rehat tengahari untuk memasak dan menyediakan makanan untuk suami. Mungkin cara sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri dan mengurangkan belanja makan di luar. Selain itu mungkin suami dapat megelakkan makanan yang sudah pasti mengandungi monosodium glutamate yang berlebihan di luar sana dan secara tidak langsung dapat menyihatkan tubuh badan dengan makanan yang berkhasiat yang dihidangkan oleh isteri. Alhamdulillah, saya berasa bersyukur mendapat isteri yang pandai memasak dan dapat menyediakan makanan yang lebih baik lagi. Dengan cara ini dapat meningkatkan kasih sayang antara suami dan isteri. Memang terasa kekurangan jika isteri tidak dapat menyediakan makanan untuk suami dan tidak memberi apa-apa erti jika sentiasa makan di luar sahaja. Dengan air tangan isteri, malaikat-malaikat akan berdoa untuk kesejahteraan rumahtangga yang terbina.

Isnin, 9 Januari 2012

Terkena Monday Blues.

Pagi-pagi saya dan isteri terkena Monday Blues. Banyak pula hal yang perlu saya buat pada pagi-pagi Isnin dengan menghantar anak ke rumah pengasuh dan juga membeli ikan dan sayur di pasar Mersing. Nasib baik anak saya tak meragam di dalam kereta. Mungkin dia faham keadaan saya dan isteri saya yang akan pergi bekerja pada hari yang memang sibuk pada hari Isnin. Tambahan pula isteri saya ada perhimpunan di sekolah barunya, jadi mungkin kena datang awal ke sekolah. Bagi rakan-rakan Facebook, Twitter, Myspace, Nuffnang dan lain-lain yang tinggal di Lembah Klang mungkin menghadapi trafik jam yang teruk pada hari ini. Semoga rakan-rakan disana dapat menghadapi suasana yang lebih tenang tanpa melibatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Sememangnya adakala kita rasa sibuk di awal pagi Isnin dan akan berdepan dengan banyak kerja yang tertangguh. Bagi sesetengah orang, mereka akan membahagikan masa dengan membuat jadual atau mencatitkan sesuatu pada organizer atau kalender mereka. Selain itu mereka akan membahagikan tugas kepada rakan-rakan sekerja pada sebelah pagi Isnin dengan membuat taklimat atau mesyuarat sebelum urusan perniagaan dijalankan. Sememangnya masa itu amat berharga terutama pada waktu puncak dan mereka sudah bersedia untuk membereskan kerja-kerja yang tertangguh sebelum membuat kerja-kerja yang baru. Kebiasaannya saya cuba berjumpa lebih ramai pelanggan di luar sana pada sebelah pagi Isnin dan mencuba untuk memberikan yang terbaik untuk pelanggan saya disamping mempromosikan produk-produk yang sesuai untuk pelanggan yang berkunjung ke kedai. Semoga anda yang berkunjung ke blogspot saya dapat menjalani tugasan dengan lebih baik lagi pada hari Isnin dan anda tidak terasa stress dengan gelagat-gelagat rakan-rakan, pelanggan dan juga orang sekeliling anda yang boleh menyakiti hati anda.

Ahad, 8 Januari 2012

Bila Masuk Ke Dalam Rumah Baru.

Salam untuk para pengikut blogspot yang begitu sporting, rakan-rakan Facebook, Myspace, Tagged dan Twitter. Ada antara rakan-rakan kita bercadang untuk berpindah ke rumah baru samaada ingin menyewa atau membeli rumah tersebut dalam tahun baru ini. Memang hari Ahad sebegini, memang elok juga rakan-rakan yang ingin memasuki rumah baru dengan bacaan-bacaan Al Quran dan selawat ke atas nabi. Ada yang menganggap dengan memasuki rumah baru pada hari Ahad mendatangkan lebih rezeki dalam hidup. Begitu juga sesetengah orang yang ingin masuk ke dalam rumah yang baru pada malam Jumaat dengan disertai doa dan bacaan Yasin. Bagi rakan-rakan yang mungkin bercadang untuk berpindah ke rumah baru, seelok-eloknya anda perlu melaungkan azan di depan rumah yang baru anda ingin duduki untuk menghalau makhluk halus yang bernama Al Amaar yang sudah mendiami rumah yang sudah lama tidak dihuni oleh orang yang sebelumnya. Seelok-eloknya banyakkan membaca Al Quran, berzikir dan berselawat ke atas nabi supaya rumah yang ingin kita diami lebih bergemerlapan dan tidak terasa malap terutama pada sebelah malam. Jangan kita jadikan rumah kita yang ingin diami hanya untuk tidur sahaja, perlu ada aktiviti-aktiviti keluarga yang boleh menghidupkan keadaan di dalam rumah seperti bergotong-royong, masak bersama-sama dan juga memelihara binatang peliharaan seperti kucing dan sebagainya. Bagi sesiapa yang baru menghuni rumah yang baru, anda digalakkan membaca surah Al Bakarah untuk menghalau syaitan-syaitan di dalam rumah dan mengamalkan bacaan surah Yasin pada sebelah malam khususnya tujuh malam yang pertama. Selain itu pada malam tersebut, anda digalakkan membaca selawat ke atas nabi sebanyak tujuh kali, surah Al Fatihah, surah Al Ikhlas, surah Al Falak dan surah An Nas. Semoga segala apa yang saya berikan pada anda di dalam entry ini dapat memberi manfaat bersama. Mungkin ada rakan-rakan di luar sana yang mempunyai petua-petua yang lebih baik lagi ketika memasuki rumah yang baru. Semoga anda semua hidup dalam keadaan yang lebih harmoni bersama keluarga dan rakan-rakan yang lain.

Isnin, 2 Januari 2012

Semangat Berniaga Pada Tahun Baru.

Alhamdulillah, esok bermulalah saya bekerja di kedai pada tahun baru 2012 dan bersemangat untuk berjumpa pelanggan saya di luar sana. Mudah-mudahan reseki masuk dengan begitu baik sekali dengan senyuman yang menambah rezeki masuk. Selain itu doa, selawat ke atas nabi, bacaan surah Dhuha dan surah Alam Nasrah yang dapat membantu untuk menambah rezeki dan mengurangkan hutang disamping solat dhuha yang membantu perniagaan. InsyaAllah jika diamalkan setiap hari, akan mendapat keberkatan dalam mencari rezeki. Dalam Islampun sudah menyatakan sembilan per sepuluh rezeki datangnya dari perniagaan dan sudah pasti ramai rakan saya diluar sana yang mencari rezeki dengan berniaga. Memang banyak ilmu-ilmu perniagaan yang perlu digali dan dipelajari dari orang-orang yang berjaya dalam perniagaan. Dalam berniaga kita kena jujur kepada pelanggan dan jangan sekali-kali menipu pelanggan disamping sentiasa ikhlas dengan perkhidmatan yang kita beri. Adakala kita mengalami kerugian terutama duit dalam kaunter pembayaran hilang atau terbagi lebih duit baki kepada pelanggan tetapi dengan pengalaman sebegini memberi kekuatan kepada kita untuk mengurangkan kesilapan-kesilapan terutama semasa berurusan dengan pelanggan dan pembekal di luar sana. Dalam berniaga, kita perlu tahu selok-belok bagaimana untuk membuat Purchase Order dengan pembekal dan berunding dengan pembekal untuk mendapatkan harga yang berpatutan dari pembekal sebelum kita menjual barang kepada pelangan-pelanggan kita. Memang permulaannya sukar sedikit tetapi jika ada orang yang begitu berpengalaman sudah pasti dapat membantu kita membuat Purchase Order dengan pembekal dan dapat mencari barang-barang yang diperlukan oleh pelanggan. Seni amat penting dalam berniaga, bagaimana kita ingin menarik ramai pelanggan dan pelanggan sanggup mengeluarkan duit lebih RM100 untuk membeli baranag tersebut. Sudah pasti dengan mempelbagaikan teknik-teknik menjual barangan kepada pelanggan dengan harga-harga yang berpatutan dapat menaikkan jualan bulanan. Selain itu kita sudah pasti bersemangat dalam tahun baru ini dengan bersaing dengan rakan-rakan sekerja untuk mencapai jualan individu dalam bulan Januari ini. Dengan hasil yang memberangsang ini dapat memberikan semangat berniaga pada bulan-bulan berikutnya disamping bersaing dengan pesaing-pesaing di luar sana. Diharap graduan-graduan di luar sana, anda perlu mencuba mempelajari bidang perniagaan yang begitu luas dan elak memilih pekerjaan. Sememangnya bidang perniagaan memberi anda kepuasan bekerja disamping berjumpa bermacam-macam kerenah pelanggan dan pembekal di luar sana.

Apa Perkara Baru Dalam Tahun Baru?

Salam untuk pengikut-pengikut blogspot yang sporting & rakan-rakan yang lain. Selamat Tahun Baru! Ya hari ini saya tidak bekerja dan melepaskan tekanan dengan membuat blog yang mencerdaskan minda. Jadi sudah tentu esok hari pertama persekolahan bagi ibubapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan saya sudah pasti menghantar isteri saya ke sekolah yang baru untuk mengajar anak-anak murid yang baru. Sudah pasti suasana di sekolah yang baru tidak sama dengan sekolah yang lama dia mengajar dahulu. Memang berlainan suasana sistem sekolah di Johor berbanding sekolah di dua buah negeri sebelumnya. Malah esok keadaannya menjadi lebih sibuk dengan pendaftaran murid-murid baru di sekolah dan jalan menjadi lebih sesak di kawasan persekolahan. Anda juga boleh menukarkan kad pengenalan yang baru yang dikeluarkan oleh JPN bermula esok. JPN akan menyediakan kad pengenalan yang mempunyai cip-cip terbaru dan terdapat dua gambar pasport berukuran biasa dan kecil (ghost photo) pada kad pengenalan tersebut. Ditambah pula ada nombor kad pengenalan yang tersembunyi di dalam kad pengenalan baru. Untuk mendapatkannya, anda perlu menunggu sebulan dari tarikh penukaran tersebut. Bagi pengemar duit terbaru yang dikeluarkan oleh Bank Negara, mereka sudah pasti tidak dapat melepaskan peluang untuk mendapat koleksi duit yang terbaru terutama duit RM20 yang membuat comeback semula. Dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaru dan bertemakan alam sekitar dapat memperkenalkan negara kita, Malaysia di persada dunia. Dari segi perbelanjaan, mungkin permulaan ini membebankan terutama mengeluarkan belanja untuk anak-anak ke sekolah. Bagi yang berpendapatan kurang dari RM3000 dan melepasi dua saringan, mereka akan mendapat duit BR1M sebanyak RM500 untuk mengurangkan beban perbelanjaan dalam bulan Januari ini. Anda sudah mencuba mendapat laman sosial tempatan terbaru, mface yang dikelolakan oleh anak tempatan, AC Mizal. Bagi yang ingin menambah kenalan baru yang ramai terutama yang menjalankan bisnes, bolehlah mencuba laman sosial tempatan yang terbaru ini disamping berpeluang memenangi iPad. Seronokkan bila jumpa rakan-rakan yang baru di luar sana tetapi kena pandailah pilih! Semoga anda diluar sana menjalani kehidupan berkeluarga lebih berkualiti dan kurangkan kontroversi dalam kekeluargaan serta konfliks dengan rakan-rakan anda yang lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...