Pages

Rabu, 24 November 2010

Syabas Pemain Hoki Malaysia!


Tahniah diucapkan kepada pemain hoki Malaysia yang memberi tentangan yang hebat menentang India semalam dan berjaya untuk memasuki perlawanan akhir menentang Pakistan pada hari esok. Sememangnya Mohd. Amin Rahim menjadi hero untuk membantu pasukan Malaysia untuk mara ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Dengan kemenangan 4-3 keatas India sehingga memasuki masa kalah mati memberi kegembiraan rakyat Malaysia yang sentiasa menantikan detik-detik kecemerlangan pasukan hoki negara. Dengan keputusan yang begitu menakjubkan, pasukan hoki Malaysia akan berpeluang untuk bermain di peringkat Olimpik di London pada 2012 nanti. Semoga pemain hoki Malaysia berjuang dan memberi semangat melawan yang tinggi kepada pasukan Pakistan pada peringkat akhir dan berpeluang untuk mendapatkan pingat emas untuk negara Malaysia.

Isnin, 15 November 2010

Kehebatan Tuan Rumah.


China selaku sebagai tuah rumah untuk edisi Sukan Asia yang ke-16 ini menunjukkan kehebatannya untuk mengumpul seberapa banyak pingat emas pada hari pertama sehingga ke hari ini. Memang tidak dinafikan dengan kelebihan sebagai tuan rumah dan mempunyai penyokong yang begitu ramai dapat memberi motivasi kepada atlet-atlet negaranya untuk mendapatkan kejayaan yang gemilang. Sewaktu Sukan Olimpik yang berlansung di Beijing dan Hong Kong pada 2008, China juga dapat mengenepikan pesaing yang terhebat, Amerika Syarikat dengan menduduki tempat pertama dengan mengumpulkan lebih 50 pingat emas. Ini merupakan rekod tertinggi dalam kejohanan Sukan Olimpik. Memang ada negara seperti Jepun dan Korea Selatan cuba untuk mengekang penguasaan tuan rumah dalam beberapa acara seperti renang pada Sukan Asia kali ini. Kita sebagai rakyat Malaysia mengharapkan atlet-atlet Malaysia dapat mencontohi semangat atlet-atlet tuan rumah yang sememangnya mempunyai daya juang yang tinggi untuk mendapatkan kejayaan yang mengagumkan.

Ahad, 14 November 2010

Taktik Kotor.

Pada perlawanan bola sepak antara Malaysia dan China memang nampak ada yang tidak kena dalam pengadilan dimana 3 kad merah dilayangkan kepada pemain-pemain dari Malaysia. Nampak pengadil dari Australia ini dibeli dan memberi ruang kepada pemain-pemain tuan rumah menghasilkan gol pada separuh masa kedua dengan mudah. Namun kredit harus diberikan kepada pemain-pemain dari Malaysia kerana mengekang asakan dari pemain-pemain dari China dalam separuh masa pertama dan berjaya melayakkan diri untuk ke peringkat kedua. Begitu juga dalam acara lumba basikal, nampaknya pihak penganjur ingin menyapu bersih pingat emas dengan memberikan jadual yang begitu ketat kepada peserta yang bertanding. Atlet-atlet boling negara kita juga bimbang sekiranya pihak penganjur meletakkan minyak pada laluan bola boling peserta lawannya yang menyebabkan bola akan tersasar ke tempat lain. Ini menyebabkan negara yang berpontensi untuk mendapatkan kemenangan dalam acara boling seperti Malaysia dan Singapura akan terlepas pingat emas. Sekurang-kurangnya kontigen negara sentiasa lebih bersedia apa-apa cabaran untuk mendapatkan apa-apa pingat di Sukan Asia Guangzhou, China.

Sabtu, 13 November 2010

Persaingan Bermula!


Dengan pembukaan Sukan Asia yang ke-16 di Guangzhou, China semalam maka bermulalah pemburuan 28 pingat emas pada hari pertama ini. Setakat ini China mendahului negara lain untuk berada di tangga pertama dalam pungutan pingat. Negara kita mendapat dua pingat gangsa pada hari pertama ini dan mungkin pertambahan pingat pada sebelah malamnya. Rakyat Malaysia juga tertunggu-tunggu dengan kemenangan Malaysia keatas China dalam acara bola sepak pada hari ini. Mereka mengharapkan pasukan bola sepak Malaysia berada dalam 16 pasukan yang layak ke peringkat seterusnya. Bagi mereka yang ingin melihat perlawanan bola sepak antara Malaysia melawan China, bolehlah menonton siaran tertunda pada 10 malam ini di RTM1. Semoga atlet-atlet Malaysia yang bertanding pada hari ini dapat memberikan keputusan yang hebat dan mengharumkan nama Malaysia dipersada Asia dan dunia.

Jumaat, 12 November 2010

Selamat Berjuang!



Hari ini bemulalah upacara pembukaan besar-besaran temasya Sukan Asia yang ke-16 di Guangzhou, China setelah berlangsungnya Sukan Komanwel di New Delhi, India. Dengan kehadiran atlet-atlet terhebat dari 45 negara di benua Asia serta para sukarelawan yang terlibat menyemarakkan lagi kehangatan Sukan Asia yang kedua terpenting selepas Sukan Olimpik. Sebanyak 476 pingat emas dalam 42 acara yang perlu direbut oleh mana-mana atlet yang bersaing dalam temasya yang begitu berprestij di benua Asia. Sememangnya tampak unik degan kehadiran maskot kambing di dalam Sukan Asia pada kali ini. Jadi kepada rakyat Malaysia, jangan lupa menyaksikan upacara pembukaan Sukan Asia 2010 Guangzhou, China pada 8.30 malam ini di RTM1 dan Astro. Selamat menonton!

Rabu, 10 November 2010

Turun Padang.

Salam untuk para pembaca yang dihargai. Jika kita terlibat dalam mana-mana bahagian perniagaan sememangnya perlu turun padang berjumpa dengan masyarakat setempat. Sekurang-kurangnya kita perlu tunjuk muka kita dalam apa-apa majlis seperti majlis kenduri kahwin, gotong-royong membersihkan pembiakan nyamuk aedes, sukaneka, pasar malam, bazaar Ramadhan dan rumah terbuka bagi mana-mana perayaan. Ada juga kakitangan bagi sesebuah syarikat yang pergi dari rumah ke rumah di taman atau di kampung untuk memberitahu tentang promosi jualan. Mereka juga menggunakan van dan pembesar suara untuk menarik perhatian ramai penduduk setempat.Dengan ini ramai pengguna yang mengetahui tentang promosi dan produk dari masa ke semasa. Malah ada pengguna yang menghargai usaha mereka yang memberitahu tentang produk dan perkhidmatan yang terbaru yang disediakan. Dengan aktiviti turun padang secara tidak langsung akan memberi kesan persaingan yang hebat kepada pesaing yang lain untuk menarik ramai pelanggan datang ke premis mereka.

Ahad, 7 November 2010

Sukan Asia Akan Bermula.


Tinggal beberapa hari lagi majlis pembukaan Sukan Asia di Guangzhou, China. Jadi kita sebagai rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada atlet-atlet negara untuk mencapai 9 emas di Guangzhou. Sememangnya kita mengharapkan atlet-atlet negara yang bertanding tidak cepat mengalah dan sentiasa fokus untuk mendapatkan apa-apa pingat dalam temasya Sukan Asia yang berprestij ini. Rakyat Malaysia juga mengharapkan pasukan Malaysia dapat mengalahkan pasukan dari Kyrgyztan dalam acara bola sepak pada hari esok sebelum bertemu dengan pasukan gergasi seperti China dan Jepun. Kepada atlet-atlet yang gagal dalam Sukan Komanwel di Delhi, India, anda boleh memberikan aksi-aksi yang menarik dan berusaha mendapatkan pingat dalam kejohanan sukan yang kedua terbesar di dunia selepas Olimpik. Malaysia Boleh!

Selasa, 2 November 2010

Mencari Juruwang Yang Jujur dan Cekap.

Salam untuk pembaca yang budiman. Sekiranya anda bekerja sebagai pengurus di sesebuah premis jualan, memang sukar untuk mendapatkan juruwang yang lebih jujur untuk mengendalikan bahagian kaunter jualan. Walaupun anda memasang CCTV atau perakam suara mungkin dapat mengesan juruwang yang tidak jujur dan suka mencuri wang di kaunter jualan. Ada juga pengurus cawangan yang terpaksa duduk di bahagian kaunter jualan disebabkan sukar mempercayai kakitangannya sendiri dan pernah mengalami pengalaman wang yang dicuri oleh juruwang. Tambahan pula ada pengurus yang merasakan terbeban dengan pemasangan CCTV dan perakam suara yang memerlukan kos yang begitu tinggi.
Memang biasa berlaku dimana memang ramai juruwang yang berhenti kerja disebabkan duit yang hilang semasa berurusan dengan pelanggan dan ada juruwang yang yang tersalah bagi wang kepada pelanggan. Ini menyebabkan juruwang mengalami tekanan dengan pemotongan gaji sekiranya duit hasil jualan kurang dari yang direkodkan di dalam komputer. Sememangnya amat sukar untuk mendapatkan juruwang yang boleh bekerja lama dan daya ketahanan diri yang kuat di sesuatu premis perniagaan.

Isnin, 1 November 2010

Memiliki Runner Yang Hebat.

Setiap syarikat memang memerlukan seorang runner yang cukup hebat dan berbakat untuk menaikkan jualan dan rating syarikatnya. Dengan adanya runner dapat melicinkan lagi perjalanan sesuatu perniagaan dan dapat membantu untuk mendapatkan ramai pelanggan yang singgah ke premis perniagaannya. Runner umpama gula yang menarik ramai pihak yang ingin berurusan dengannya dan menyebabkan ramai pelanggan yang lebih setia dan sentiasa bersama memberi sokongan padu untuk syarikat jualannya. Mereka juga dapat mencari pembekal dengan mudah dan berkebolehan untuk mendapat harga barang yang begitu murah dari pembekal. Dengan memiliki skil pemasaran yang tinggi dan nilai tambah seperti penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina dapat memberi kelebihan kepada runner untuk memantapkan lagi jualan syarikatnya dan boleh pergi lebih jauh dalam bidang perniagaan. Seorang runner biasanya rajin turun padang dengan meninjau keadaan sekeliling dan lebih peka dengan kehendak pelanggan di luar sana. Malah seorang runner itu tidak kekok membuat aktiviti sampingan bersama lapisan masyarakat dan ini dapat merapatkan lagi hubungan runner dan pelanggan setempat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...