Pages

Sabtu, 31 Disember 2011

Tahun 2011 Tahun Yang Perlu Diingati.

Nampaknya ada tinggal sejam lebih kita akan menyambut tahun baru. Memang tidak dapat dinafikan tahun 2011 begitu istimewa untuk diingati kerana banyak peristiwa yang saya lalui. Adakala tuah menyebelahi saya dan adakala nasib yang kurang baik juga saya tempuhi dalam tahun 2011. Kita tak akan lupa kesan bencana yang menimpa di Jepun sehinggakan menjejaskan saya memperolehi barang dari Jepun dan tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan. Tahun ini juga saya mendapat lebih ramai kenalan baru dalam hidup saya dan saya takkan sia-siakan harapan mereka dengan perkhidmatan yang lebih baik lagi pada masa akan datang. Bukan senang kita ingin memuaskan hati semua orang. Adakala keputusan saya dalam tahun ini mengecewakan pihak lain. Mungkin bukan rezeki saya disitu. InsyaAllah pada tahun baru ini, saya akan mencuba perkara-perkara baru dan memberikan yang terbaik kepada semua pihak. Alhamdullillah, selesai sudah cek stok penghujung tahun 2011 dengan jayanya dan mengharapkan pengiraan cek stok lebih baik pada tahun hadapan. Mudah-mudahan tiada lagi masalah dari segi kehilangan stok, masalah rekod, masalah pembayaran di kaunter, masalah binatang perosak dan sebagainya. Tahun 2011 mengajar saya mengetahui selok-belok bagaimana untuk membeli rumah secara lebih jelas lagi, pembelian insuran dan juga cara berunding dengan broker-broker rumah di Mersing. Semoga apa yang saya pelajari dalam tahun 2011 dapat memberikan kekuatan bagi saya untuk menempuh cabaran-cabaran baru dalam tahun 2012.

Khamis, 29 Disember 2011

Selamat Menempuh Cabaran Baru 2012.

Salam untuk para pengikut blogspot yang sporting dan rakan-rakan dari Facebook, Myspace dan Twitter. Tinggal sehari dua kita akan memasuki tahun 2012 yang mungkin memberi sesuatu rangsangan yang lebih positif berbanding tahun ini. Mungkin ada antara kita sudah tertunai azam dalam tahun ini seperti membeli rumah, hartanah dan membuka cawangan perniagaan yang lebih dinamik lagi. Ada yang merancang untuk mencari rakan-rakan niaga yang lebih berpotensi dan dipercayai dapat mencipta satu chemistry yang boleh memberi pacuan yang lebih padu untuk merancakkan hasil jualan dan juga memajukan syarikat untuk melangkah lebih jauh lagi. Jadi azam yang belum tertunai lagi mungkin dibawa ke tahun baru untuk mencipta satu hasil yang begitu mengujakan. Memang seronok jika tahun 2012 dapat memberi tuah kepada kita yang mungkin memerlu sokongan dari rakan-rakan seperjuangan untuk menjadikan kita lebih maju selangkah demi selangkah dan lebih kreatif lagi. Memang banyak perkara-perkara baru yang kita akan temui dalam tahun 2012 dan kita perlu lebih bersedia serta belajar lebih mendalam untuk berdepan dengan cabaran-cabaran yang tidak dijangka dan lebih kompleks lagi. Kepada rakan-rakan blogger dan juga rakan diluar sana, semoga anda berjaya menempuh tahun 2012 dengan lebih baik lagi!

Rabu, 14 Disember 2011

Mendapat Bonus Hujung Tahun.

Alhamdulillah, akhirnya kita bersua kembali di blogspot dengan cerita-cerita menarik. Ramai antara kita khususnya yang bekerja di sektor awam mendapat bonus dan kerajaan bermurah hati memberi RM500 bagi rakyat-rakyat yang memohon BR1M dengan melepasi 2 saringan dengan mudah. Bagi pekerja swasta, mereka mendapat komisyen, insentif atau bonus hasil usaha mereka yang berlipatkali-ganda untuk memajukan syarikat. Dengan duit bonus yang diterima, rakan-rakan kita di luar sana dapat menyimpan duit untuk persediaan untuk anak-anak mereka yang akan memasuki alam persekolahan pada awal tahun depan. Memang beruntung jika ada staf-staf yang mendapat durian runtuh dari majikannya dan akan berazam lebih kuat lagi pada tahun hadapan yang lebih mencabar dan dinamik.Memang tidak dapat dinafikan harga barang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Banyak perbelanjaan yang harus ditanggung khususnya ibubapa yang mempunyai anak yang ramai dan dengan bonus yang diperolehi dapat mengurangkan beban mereka.

Jumaat, 9 Disember 2011

Gerhana Bulan.

Salam untuk para pengikut blogspot yang sporting, rakan-rakan dari Facebook, Twitter dan lain-lain. Nampaknya rakyat Malaysia berasa bertuah dapat melihat gerhana bulan setelah matahari terbenam dan akan melihat gerhana bulan sepenuhnya pada malam esok. Namun bagi rakyat negara barat khususnya Amerika Syarikat sudah pasti tidak dapat berpeluang untuk menyaksikan gerhana bulan dengan menggunakan pencerapan cahaya. Gerhana bulan akan terjadi semasa bulan melintasi bayang-bayang bumi secara berperingkat-peringkat. Bagi pengemar astrologi sudah pasti menunggu detik-detik bermula gerhana bulan pada pukul 7.30malam sehingga terbit fajar pada hari keesokannya. Bagi orang Islam sudah pasti digalakkan bersembahyang sunat gerhana untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini. Mungkin kita pernah teringat bagaimana berlakunya gempa bumi yang berlaku di Haiti sebelum ini selepas berlakunya gerhana bulan. Jadi sudah tentu ramai antara kita yang tidak akan melepaskan peluang untuk melihat gerhana bulan pada malam esok!

Ahad, 4 Disember 2011

Mengharapkan Tuah 2012.

Nampaknya ada tinggal 3 minggu lebih kita akan menghampiri tahun yang baru, 2012. Sudah pasti kita mengharapkan tuah pada tahun yang baru ini setelah kita menghadapi banyak cabaran dalam tahun ini yang mematangkan pemikiran kita. Ada rakan-rakan kita yang bercadang untuk berkahwin pada tahun hadapan dan ada rakan-rakan kita yang ingin menjalankan perniagaan untuk memajukan diri sendiri. Pada tahun 2012, sudah pasti ramai yang menanti kemunculan acara sukan yang terbesar, Sukan Olimpik di London. Kita rakyat Malaysia sudah pasti menantikan pingat emas sulung dalam sukan yang begitu berprestij di dunia dan kita mengharapkan sebutir pingat emas terhasil dari acara lumba basikal dan badminton. Dalam tahun 2011 ini, banyak kejadian-kejadian yang luar biasa sebagai contohnya kejadian gempa bumi, tsunami dan kebocoran radioaktif di Jepun yang memberi impak khususnya ekonomi bukan sahaja kepada negara kita tetapi seluruh dunia. Begitu juga pergolakan politik di Asia Barat yang sudah pasti memberi kesan kepada pelajar-pelajar negara kita di sana yang menyebabkan kerajaan Malaysia bertindak pantas untuk mengatasi masalah ini. Kita mengharapkan ekonomi negara kita pada tahun hadapan semakin baik dan lebih stabil disamping kestabilan politik yang terbina.

Memberi Kalendar 2012 Kepada Pelanggan.

Pada penghujung tahun ini, ada syarikat-syarikat dan permis-premis perniagaan sudah mula mengedarkan kalendar-kalendar tahun 2012 kepada pelanggan-pelanggan mereka. Ini merupakan satu nilai tambah kepada syarikat atau premis perniagaan yang mengutamakan pelanggan mereka untuk mengelakkan pelanggan beralih ke tempat lain. Dengan memberikan kalendar kepada pelanggan, pelanggan akan berasa dihargai dan setia untuk membeli barangan di premis perniagaan tersebut. Bukan mudah untuk mengekalkan hubungan yang rapat dengan pelanggan, yang penting kita yang terlibat di bahagian retail, pasaraya dan sebagainya seharusnya peka kehendak dan keselesaan pelanggan. Ada premis yang menyediakan kalendar poket, kalendar meja atau diari untuk pelanggan tetapnya dengan rekaan yang menarik dan lebih profesional. Malah ada juga premis yang menetapkan pembelian yang melebihi nilai yang diberi, pelanggan dapat kalendar secara percuma. Dengan keadaan "win-win situation" sebegini dapat memberi keuntungan kepada premis perniagaan dan faedah kepada pelanggan.

Cek Stok Penghujung Tahun.

Salam untuk para pengikut blogspot yang budiman, rakan-rakan Facebook, Twitter dan Myspace. Hujung minggu ini memang saya bercuti, sekali-sekala saya singgah ke kedai sambil melihat rakan-rakan sekerja menjalankan tugas pada hari Ahad yang tenang sekali. Memang ada rakan-rakan kita yang bekerja di bahagian retail, stor dan pasaraya yang membuat pengiraan cek stok pada penghujung tahun sebelum diaudit oleh juruaudit pada tahun hadapan. Sekurang-kurangnya kuantiti stok fizikal sama dengan kuantiti yang direkod di dalam komputer dan status nilai barang dalam kedai dalam keadaan terkawal. Lagi sebulan lebih, ada rakan-rakan sekerja yang sibuk menyenaraikan item-item yang perlu dipantau samada barang-barang tersebut hampir luput atau rosak selain merekod barang yang sedia ada sebelum hari pengiraan stok. Sememangnya kerja pada penghujung tahun semakin bertambah sebelum memasuki tahun baru yang lebih mencabar.

Rabu, 30 November 2011

Berunding Dengan Penjual Rumah Untuk Harga Rumah Yang Terendah.

Salam khas untuk pengikut blogspot yang begitu sporting dan ceria serta rakan-rakan Facebook, Myspace dan Twitter. Sudah lama saya tidak mengemaskinikan entry baru di blogspot disebabkan sibuk membuat kenduri kesyukuran menyambut kedua ibubapa saya yang baru pulang dari tanah suci Mekah. Sebelum ini saya ada menerangkan tentang pembelian rumah dan ada rakan-rakan kita sudah mempunyai pengalaman bagaimana untuk membeli rumah dari pemaju dan pemilik rumah yang ingin menjual rumah. Biasanya broker-broker akan ligat mencari pembeli-pembeli yang berminat untuk membeli rumah dan bertindak sebagai orang tengah yang mungkin mendapatkan sebahagian dari duit deposit dari penjual rumah. Sebagai pembeli, sudah pasti kita perlu tahu kategori rumah tersebut samada rumah kos rendah, rumah kos sederhana dan rumah kos tinggi. Bagi penjual rumah sudah pasti ada yang meletakkan harga yang tinggi dari harga pasaran rumah. Sebagai pembeli sudah pasti perlu bijak tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang terendah dari penjual rumah supaya pembeli rumah tidak akan rasa terbeban dan merasa rugi untuk memiliki rumah yang sudah pasti menjadi rebutan orang ramai. Adakala kita perlu menilai sendiri samada penjual rumah itu rasa terdesak untuk menjual rumah atau penjual rumah tersebut sengaja meletakkan harga yang begitu tinggi menyebabkan pembeli beralih untuk mendapatkan rumah yang lain. Sebagai contoh harga yang diletakkan oleh penjual rumah adalah sebanyak RM180 ribu bagi rumah kos sederhana dan harga pasaran yang ditetapkan oleh pihak bank hanya RM140 ribu sahaja. Jadi sudah pasti yang menanggung bebannya adalah pembeli rumah yang terpaksa mengeluarkan duit lebih untuk pertukaran pemilik rumah tersebut walaupun pembeli rumah sudah membayar sebanyak 10% dari harga rumah yang hendak dijual sebagai deposit dalam proses jualbeli. Dalam hal sebegini, pembeli perlu pandai berunding dengan penjual rumah dengan meminta harga rumah tersebut diturunkan pada harga yang munasabah dan mengelakkan penjual rumah mengaut keuntungan berlipat kali ganda dalam urusan jualbeli rumah.

Khamis, 24 November 2011

Menilai Sebelum Membeli Rumah.

Salam untuk pengikut-pengikut blogspot yang sporting, rakan-rakan dari Facebook, Myspace dan Twitter. Tak lama lagi kita akan menjengah ke tahun yang baru, 2012. Sudah pasti ada rakan-rakan kita yang sudah memasang angan-angan untuk memiliki rumah. Bukan mudah kita ingin memiliki rumah selagi kita tidak tahu selok-belok mencari rumah dengan bantuan broker-broker rumah yang berpengalaman. Yang penting anda mempunyai simpanan wang yang kukuh dan mampu untuk membayar duit pendahuluan selain anda tahu selok belok pembelian dengan pemaju, bank atau pemilik rumah sebelumnya. Sebelum membeli, kita sudah melihat rumah yang ingin dijual kepada kita dan berbincang dengan pemiliknya. Selepas itu anda mungkin berurusan dengan pihak bank untuk menentukan pinjaman rumah berdasarkan kepada jurunilai yang dilantik. Pihak bank akan mengeluarkan surat sekiranya pinjaman membeli rumah diluluskan. Kebiasaannya pembeli rumah akan mengikat dengan pihak bank selama 20 hingga 30 tahun dengan kadar interest sebanyak 2-6%. Bagi kakitangan kerajaan kadar interestnya rendah berbanding pekerja swasta dan mudah untuk membuat pinjaman perumahan melalui bank. Bagi pekerja swasta yang memiliki KWSP sudah pasti akan mendapatkan salinan SMP dari peguam dan surat pinjaman dari bank untuk mengeluarkan sebahagian dari KWSP. Insuran MRTA perlu ditanggung oleh pembeli itu sendiri. Dengan duit pendahuluan yang sudah diberikan kepada pemilik sebelumnya akan membantu proses pertukaran milik dengan bantuan guaman yang dilantik. Proses persetujuan antara pembeli dan penjual rumah melalui peguam yang dilantik dapat memgelakkan rumah tersebut terlepas kepada orang lain. Kebiasaanya proses pertukaran milik rumah mengambil masa selama 3bulan. Selain itu anda boleh merujuk ke bahagian pejabat tanah untuk mengetahui nilai sebenar harga rumah dan status tanah disitu. Jadi sebelum anda ingin membeli rumah yang ingin dijual oleh penjualnya, anda perlu tahu status semasanya dengan berhubung dengan pihak bank yang lebih berpengalaman dan merujuk kepada jurunilai yang bertauliah.

Selasa, 22 November 2011

Pingat Emas Milik Kita!

Alhamdulillah akhirnya kita berjaya mempertahankan pingat emas bola sepak dalam Sukan Sea 2011 di Indonesia dan membuktikan pasukan bola sepak kita yang terkuat di pentas Asia Tenggara. Memang menakjubkan dengan ketingalan 1-0 pada minit-minit yang pertama, Harimau Muda dibimbingi oleh Ong Kim Swee dapat menyamakan kedudukan 1-1 pada lewat separuh masa yang pertama melalui tandukan Mohd. Asraruddin Omar. Sehingga habis babak separuh masa yang kedua, kedua-dua pasukan masih beradu tenaga dan banyak peluang yang terhidang disia-siakan terutama pemain Malaysia, Mohd. Fakri. Mungkin disebabkan ketumpulan serangan di bahagian hadapan pasukan Malaysia tidak dapat menjaringkan gol pada separuh masa kedua. Namun pada masa tambahan, terdapat banyak gol ofsaid yang terhasil dari kedua-dua pasukan dan pengadil dari Jepun semacam berat sebelah. Pada penghujungnya, rezeki berpihak kepada negara kita Malaysia untuk membenam sorakan penonton Indonesia dan pasukannya. Dengan kemenangan yang bersejarah ini dapat meletakkan negara kita Malaysia peneraju bola sepak di nusantara ini dengan penalti 4-3. Tahniah kepada Khairul Fahmi dan Badrol Bakhtiar selaku kapten yang menjalankan tugas dengan begitu cemerlang sekali. Semoga majulah sukan untuk negara kita, Malaysia Boleh!

Isnin, 21 November 2011

Mempertahankan Pingat Emas Bola Sepak Sukan Sea.

Malam ini sudah pasti kita, rakyat Malaysia menantikan pingat emas yang menjadi rebutan bagi pelbagai negara di Asia Tenggara yang akan menjadi tumpuan pada penghujung Sukan Sea 2011 yang berprestij di rantau ini. Sememangnya pasukan negara kita yang akan berusaha untuk mempertahankan pingat emas dari terlepas kepada tuan rumah, Indonesia. Sudah pasti keadaannya tidak sama dengan keadaan pasukan negara kita yang telah memenangi pingat emas di Sukan Sea Laos 2009 semasa pasukan negara menentang Vietnam di peringkat akhir. Kita mengharapkan jurulatih negara, Ong Kim Swee dapat menyuntik lebih semangat dan merencanakan permainan yang benar-benar sengit dengan begitu hebat. Dengan penampilan Patrich Wanggai, Titus Bonai dan Octovianus Maniani pada malam ini tidak akan melemahkan semangat pasukan Harimau Muda untuk membuat kejutan dalam perlawanan akhir ini. Jadi sudah tentu rakyat Malaysia mengharapkan kehebatan Khairul Fahmi dapat menyelamatkan serangan-serangan berbisa dari mereka dan tonggak utama Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani dapat melakukan sesuatu untuk merobek pertahanan Indonesia disamping kekebalan bahagian pertahanan Malaysia yang diperkemaskan dengan diketuai Mahali Jasuli dan Mohd. Muslim Muhammad. Jadi tinggal sejam lebih kita akan menunggu detik-detik perlawanan yang kedua antara negara kita Malaysia dengan Indonesia. Semoga malam ini memberi kemenangan untuk pasukan kita, untuk merebut pingat emas yang memberi makna yang besar untuk negara Malaysia di pentas Asia Tenggara.

Selasa, 15 November 2011

Mampukah Malaysia Mengalahkan Tuan Rumah, Indonesia?

Sudah pasti ramai rakyat Malaysia yang berdebar-debar menantikan perlawanan yang begitu menarik antara pasukan Malaysia menentang tuan rumah, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada hari Khamis ini. Adakah anak buah Ong Kim Swee dapat menjinakkan pasukan Garuda ini? Sudah pasti mata kita terarah untuk melihat aksi-aksi menarik dari pasukan bolasepak kita terutama Baddrol yang boleh memberi impak yang besar untuk mengkucar-kacirkan pasukan tuan rumah pada hari ini. Kita mengharapkan pasukan Malaysia akan menang menentang pasukan Indonesia dan menjuarai kumpulan maut ini. Dengan kemenangan ini, Malaysia tidak akan berdepan dengan giant killer Kumpulan B, Vietnam dan akan bertemu dengan Myanmar untuk ke slot akhir. Selamat berjuang Harimau Muda!(Malaysia Boleh vs Indonesia Bisa)

Menjual Rumah Menggunakan Facebook.

Salam untuk rakan-rakan blogger yang sporting, rakan-rakan Facebook dan lain-lain. Ada diantara kita yang ingin menjual rumah dengan menggunakan laman sosial yang paling popular, Facebook. Dengan cara begini, ada rakan-rakan dari Facebook yang berminat untuk membeli rumah dengan memberikan respon yang begitu positif. Secara tidak langsung penjualan rumah kepada orang yang berminat untuk membelinya menjadi lebih mudah dan singkat. Kebiasaanya rakan-rakan yang ingin membeli rumah darinya, merupakan rakan-rakan yang mempunyai kewangan yang kukuh dan mengetahui selok belok pembelian rumah dengan berususan dengan pihak bank. Dengan kelulusan pinjaman dari pihak bank akan memudahkan pembeli membeli rumah dengan begitu mudah dan lancar. Ada rakan-rakan kita mempunyai rakan di Facebook yang begitu ramai yang memudahkan maklumat tentang penjualan rumah dengan begitu cepat sekali berbanding dengan cara yang lain. Tentunya rasa lega sekiranya rumah itu sudah dipindah miliknya kepada orang lain.

Sabtu, 12 November 2011

Istimewanya 11.11.11 Semalam.

Salam kepada pengikut blogger yang sporting, rakan-rakan Facebook dan lain-lain di luar sana. Semalam berlalulah tarikh ynag begitu eksklusif bagi pasangan-pasangan yang melangsungkan perkahwinan dengan begitu gilang-gemilang. Maklumlah sekali seumur hidup dan berlaku hanya sekali dalam abad ini. Memang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk membuat tweet di twitter pada jam 11.11 malam semalam. Dengan ucapan kepada rakan-rakan sudah pasti memberi kelainan dan keistimewaan dalam tahun ini. Tidak terkecuali ada antara kita yang menyambut orang baru dalam keluarga semalam yang tentu sungguh mudah mengingati tarikh lahirnya. Namun kita semalam dikejutkan dengan berita kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan dan saya mengucapkan takziah kepada keluarga yang terbabit. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan hidup. Al Fatihah. Bagi rakyat Malaysia sudah pasti menunggu detik-detik pembukaan Sukan SEA 2011 di Stadium Utama Gelora Sriwijaya, Palembang, Indonesia yang begitu gemilang semalam. Sudah pasti ramai rakyat Malaysia berkesempatan mengunjungi Palembang dan Jakarta untuk menyuntik semangat kepada pasukan Malaysia untuk meraih seberapa banyak pingat emas di sana. Kita mengharapkan prestasi yang cemerlang dapat ditunjukkan oleh atlet-atlet Malaysia dan dapat memperbaiki kedudukan Malaysia dalam pungutan pingat berbanding pencapaiannya di Sukan SEA 2009 di Laos. Walaupun ada atlet-atlet dunia terutama dari Thailand yang menumpukan Sukan Olimpik di London tahun depan, memberi peluang muka-muka baru menonjol dalam sukan yang begitu berprestij di Asia Tenggara. Dengan berlalunya tarikh yang begitu istimewa kali ini, sudah pasti memberi impak kenangan bagi sesetengah orang yang ingin mencari kelainan dan tuah dalam kehidupan mereka.

Ahad, 30 Oktober 2011

Negeri Sembilan Sama Hebat Dengan Trengganu.

Salam untuk rakan-rakan dari blogspot, facebook, myspace dan twitter. Terima kasih mengikuti entry saya kali ini. Semalam kita dijamukan perlawanan yang benar-benar seimbang dari negeri pantai timur, Trengganu dengan Negeri Sembilan. Nampaknya bukan rezeki Trengganu untuk merangkul piala kali ini dan mungkin kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Trengganu, Sharbinee yang melepaskan bola sehinggakan memberi kemenangan kepada Negeri Sembilan. Nampaknya nama Hai-O memberi tuah kepada Hairuddin yang berasal dari Trengganu untuk memberikan gol kedua kepada Negeri Sembilan. Memang menarik bila melihat gol yang diledakkan oleh Hairuddin. Ditambah kealpaan benteng Trengganu memberi peluang Hairuddin untuk menendang masuk bola ke dalam pintu gol. Tahniah kepada juara piala kali ini, pasukan Hoben Jang! Semoga sukses dan kita mengharapkan harga tiket untuk perlawanan akhir pada masa akan datang lebih berpatutan dan tidak membebankan penyokong bola sepak. Kita sebagai rakyat Malaysia sudah pasti mengharapkan perlawanan di masa hadapan lebih berkualiti dengan skil yang begitu menarik. Majulah sukan untuk negara!

Rabu, 26 Oktober 2011

Berhati-hati Dengan Pengesahan Melalui Email.

Bila tengok di ruang maklumat disebelah ATM, saya mula ternampak tentang pengesahan akaun simpanan dalam email. Jadi pihak bank meminta pelanggan-pelanggannya yang mempunyai email berhati-hati jika menerima email yang agak mencurigakan. Email itu dihantar kepada penerimanya dan meminta penerimanya mengemaskinikan akaun dengan mengikut arahan yang diberikan. Jika penerima email tersebut mengikut arahannya dengan mengemaskinikan akaunnya, kemungkinan duit simpanan didalam akaun akan lesap. Jadi pihak bank meminta penerima email terbabit tidak mengendahkan email yang agak mencurigakan itu. Memang di zaman digital ini, pengguna-pengguna ATM sentiasa berjaga-jaga dengan perkembangan terbaru ini.

Selasa, 25 Oktober 2011

Membuat Perancangan Cuti Hujung Tahun.

Nampaknya berebut juga staf-staf yang akan menghabiskan cuti mereka untuk tahun ini. Memandangkan ada 2 bulan lebih untuk kita menjengah ke tahun baru, 2012. Ramai juga yang memilih tarikh-tarikh istimewa seperti 11.11.11 dan 1.11.11 untuk majlis-majlis besar seperti kenduri kahwin dan sebagainya. Bagi yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, sudah pasti merancang bercuti pada pertengahan bulan November dimana cuti sekolah akan bermula. Memang perlu merancang dengan betul supaya cuti pada tahun ini tidak akan terbatal secara automatik jika kita melangkah ke tahun berikutnya. Ada majikan yang lebih bertimbangrasa mungkin memberi peluang kepada stafnya untuk menghabiskan cuti dalam tahun ini pada bulan Januari tahun depan. Pada penghujung tahun ini mungkin ramai rakan-rakan kita yang sibuk untuk mengira stok sebelum penutupan akaun akan bermula. Jadi sebelum bercuti pada penhujung tahun ini, berbincang dengan rakan sekerja dan tetapkan tarikh yang sesuai untuk bersama keluarga dan rakan-rakan yang lain. Carilah tempat percutian yang lebih selamat untuk dikunjungi dan lebih selesa lagi seperti tempat-tempat yang tidak mengalami cuaca yang buruk pada musim tengkujuh ini.

Jumaat, 21 Oktober 2011

Lain Yang Diminta Lain Yang Dapat.

Memang kadang-kadang apa yang kita harapkan dari promosi oleh premis perniagaan tidak sama dengan barang yang dipamerkan dan menyebabkan pelanggan rasa tertipu. Begitu juga apabila pelanggan memesan sesuatu dari pelayan restoran dan tiba-tiba makanan yang dipesan tidak sama makanan yang dihantar kepada pelanggan. Menyebabkan pelanggan rasa geram dengan ketidakprihatinan pelayan tersebut mengambil pesanan. Dalam keadaan sebegini pengusaha perlu bijak berdepan masalah yang dialami oleh pelanggan dan berunding dengan begitu baik untuk mendapatkan jalan penyelesaian yang terbaik. Kalau dapat pelanggan yang boleh bertolak ansur, sudah pasti pelanggan tersebut membayar apa yang diterima dari pelayan restoran. Jika pelanggan itu terlalu cerewet dan berkira, mungkin konflik mudah berlaku dan menyebabkan pelanggan serik menjamu selera disitu. Begitu juga dipasaraya, ada pasaraya yang terlepas pandang tentang harga yang dipamer tidak sama dengan harga yang discan di kaunter pembayaran dan menyebabkan pelanggan rasa keliru dan serik untuk singgah di premis perniagaan tersebut. Sepatutnya kesilapan teknikal perlu diperbaiki dari masa ke semasa dan ini dapat mengurangkan ketidakpuasan pelanggan kepada premis tersebut.

Khamis, 20 Oktober 2011

Ancaman Haiwan Perosak.

Bila belek-belek barang di karbinet, rupa-rupanya ada anai-anai yang makan barang tersebut dan membuat laluan yang betul-betul menyakitkan pemandangan kita. Mungkin disebabkan kawalan selian kita yang longgar menyebabkan anai-anai ini terus membuat laluannya dengan begitu pantas sekali. Begitu juga kalau kita ternampak banyak tinja-tinja di sinki dan bila kita perhatikan barang seperti susu dan roti sudah digigit oleh sesuatu. Bila diselidiki rupa-rupanya kawanan tikus yang berkeliaran diatas siling dan beranak-pinak diatas siling. Sudah tentu kita rasa tidak selesa dengan bau hancing dan bau tinja yang busuk dari makhluk marsupial ini. Jadi kita yang bekerja di bahagian retail sudah pasti membuat sesuatu dengan pantas untuk mengelakkan kesan lebih besar yang disebabkan binatang perosak ini. Bagi sesetengah pemilik bangunan akan cuba menembak ibu anai-anai untuk mengelakkan ibu anai-anai bertelur dengan banyak dan seterusnya menyebabkan bangunan tersebut menjadi sarang anai-anai yang begitu besar dan sukar dikawal. Kebiasaannya anai-anai suka tempat yang lembap dan sejuk. Ditambah pula dengan keadaan tanah gambut yang sesuai untuk penanaman kelapa sawit menyebabkan faktor utama anai-anai mudah membiak. Begitu juga tikus, sekiranya ada jiran-jiran yang berhampiran meluaskan ruang perniagaan dengan menambahbaikan di bahagian belakang premis jualan, mungkin tikus-tikus dari dalam tanah akan keluar dan mencari tempat yang lebih selamat lagi. Sudah pasti tikus-tikus ini akan terus menyelinap masuk ke dalam premis-premis perniagaan berhampiran dan seterusnya membiak di dalam siling kedai. Sudah pasti tidak begitu menyenangkan bagi staf-staf yang bekerja di kedai tersebut dan mencari racun-racun tikus yang boleh digaul dengan roti untuk memerangkap tikus-tikus yang memberi ancaman yang besar terutama wabak-wabak penyakit yang dibawa oleh tikus tersebut. Selain dari haiwan perosak yang saya nyatakan tadi kemungkinan ada rakan-rakan kita yang berdepan ancaman haiwan-haiwan seperti bubuk, kutu, semut, lipas dan sebagainya yang boleh menjejaskan mata pencarian mereka. Jika mereka memiliki pengurusan yang lebih cekap dan sudah tahu cara mengendalikannya, mungkin mereka tidak menghadapi sebarang tekanan walaupun terpaksa mengeluarkan kos yang begitu mahal.

Rabu, 19 Oktober 2011

Marah Bersebab.

Tak pasal-pasal staf baru dimarahi oleh staf lain disebabkan kesilapan menggunakan kaunter orang lain yang boleh menyebabkan orang lain terpaksa menanggung duit short jika kecuaian pengendalian duit di kaunter pembayaran. Memang perkara-perkara sebegini staf lain perlu memberi teguran samada melalui verbal atau bertulis kepada rakan sekerja yang membuat silap di tempat kerja. Adakala kita perlu menegur secara lebih profesional tanpa menjatuhkan maruah staf dan sekiranya staf tersebut berdegil dan mengulangi kesilapannya, mungkin dikenakan hukuman yang lebih berat atau diberi notis yang lebih tegas lagi. Ada sesetengah staf akan mengadu hal ini kepada line leader atau seterusnya kepada supervisor sebelum sampai ke bahagian pengurusan. Kebiasaannya staf baru yang selalu membuat kesilapan sehingga menyebabkan kerugian bagi sesetengah premis jualan. Bagi sesetengah pengurusan mungkin tidak meletakkan staf baru di bahagian kaunter pembayaran dan mereka perlu belajar memerhati dan sentiasa dipantau oleh staf-staf senior.Dalam keadaan sebegini, staf baru perlu menerima teguran secara terbuka dan sentiasa mengelakkan kesilapan yang boleh merugikan syarikat.

Selasa, 18 Oktober 2011

Jom Jengah Kedai Baru!

Adakala kita bosan duduk di pejabat dan selalunya kita akan berjumpa muka yang sama setiap hari. Jadi apa kata kita luangkan masa rehat kita dengan menjengah kedai-kedai yang baru dibuka. Di Mersing, memang ada kedai-kedai yang baru dibuka dan tidak salah kalau kita mencuba sesuatu yang baru terutama merasa kenikmatan makanan dan minuman di restoran baru dibuka. Sekurang-kurangnya deria rasa dapat diaktifkan dan dapat mempercepatkan perkembangan kreativiti anda untuk menghasilkan corak kerja yang baru di pejabat. Sesekali ada sahaja topik baru yang dapat kita sembangkan bersama rakan-rakan sekerja yang sudah lama bekerja dengan kita. Tidaklah selalu topik yang sama kita bercerita dengan rakan-rakan sepejabat. Dengan mengunjungi kedai yang baru, sudah pasti kita mencari apa benda baru di dalam kedai tersebut untuk menarik ramai pelanggan dan sesekali anda akan berkenalan dengan pekerja baru disitu. Memang seronok jika dapat berkenalan dan bertukar-tukar pendapat sambil memberi kad bisnes. Bagi yang terlalu kekok untuk menjengah kedai yang baru, cuba cari rakan-rakan yang satu kepala dan mengajaknya ke kedai yang baru. Sesekali dapat juga menghilangkan kebosanan di tempat kerja dan yang pasti kerja akan berjalan dengan lancar sehingga shift kerja berakhir.

Ligat.

Sebut pasal ligat, tentu rakan-rakan pembaca semua suka dengan orang betul-betul ligat membuat kerja dalam erti kata tak boleh duduk diam. Memang bukan semua orang sama ada yang ligat, ada yang sempoi, ada yang jenis last minute dan malah ada yang jenis pendiam tapi berisi. Dalam perniagaan, memang kita memerlukan orang yang benar-benar ligat untuk mencari jalan keluar untuk menaikkan jualan harian dengan mencari link-link yang berpengaruh. Paling hebat sudah pasti orang yang benar-benar ligat mempunyai pemikiran yang pantas dan tidak bertindak dengan cara tunggu dan lihat. Memang baginya membuang masa jika mengambil tindakan tunggu dan lihat. Semakin ligat semakin berkembang begitu pantas dari segi jualan dan berkembang dari satu cawangan dan seterusnya menubuhkan cawangan baru yang seterusnya di tempat yang begitu tinggi daya kuasa membelinya. Memang sukar mencari orang yang benar-benar ligat dalam menjalankan bisnes terutama yang pandai mencari pelanggan diluar sana dengan bergantung kepada kemahiran bergaul. Jadi bagi sesiapa yang memang berminat dalam perniagaan dan ada sikap malu yang menebal, tidak salah anda belajar dari mereka yang benar-benar ligat dalam bidang bisnes. Anda tidak perlulah menjadi seperti mereka dengan serta-merta, mungkin anda perlu belajar dari bawah dahulu sebelum naik ke peringkat yang berikutnya dengan berdasarkan minat dan bakat anda dalam menjual barang-barang kepada pelanggan.

Isnin, 17 Oktober 2011

Blog Porno Bukan Blog Saya!

Salam untuk rakan-rakan terutama dari Facebook, Blogspot, Twitter dan sebagainya. Tujuan saya membuat entry sebegini untuk membersih nama saya samada nama saya yang sebenar dan juga nama komersial saya, shahmersing yang digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempromosikan blog-blog porno seperti Shahmersing Skodeng dan juga Blog Melayu. Sedangkan saya tidak pernah menghasilkan apa-apa blog yang berkaitan dengan porno atau seks. Yang membimbangkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan blog-blog sebegini untuk menjatuhkan imej saya di mata rakan-rakan yang saya kenali. Diharap rakan-rakan yang mengenali saya tidak terpengaruh dengan blog-blog yang tidak mendatangkan faedah. Dengan penjelasan ini saya berharap dapat mengembalikan reputasi saya sebagai blogger yang lebih baik lagi. Harap maklum!

Ahad, 16 Oktober 2011

Keikhlasan Bekerja.

Salah satu rahsia yang menyebabkan rakan sekerja bekerja lebih 6 tahun di kedai tempat saya bekerja ialah keikhlasan bekerja. Walaupun sudah mempunyai dua orang anak dan suaminya bekerja di Selangor, dia masih setia bekerja disini. Dengan adanya keikhlasan hatinya berkerja di kedai sebagai jurujual sudah pasti dia berasa selesa bekerja dengan staf-staf yang lain. Jika tiada keikhlasan bekerja, mungkin seseorang pekerja itu berasa bosan dan tidak bersemangat untuk meneruskan kerjanya dengan begitu cemerlang. Alhamdulillah, staf yang bekerja dengan ikhlas dapat memberi tanggungjawab yang sepenuhnya tanpa rasa curiga dengan orang lain. Keikhlasan itu umpama semut hitam yang ada didalam kegelapan. Jadi keikhlasan itu sukar kita ketahui. Hanya kita melihat hasilnya iaitu dengan lamanya dia bekerja dan hasil jualan yang diperolehinya tanpa ada perasaan hasad dengki kepada staf-staf yang lain.

Elak Mengenakan Caj Tersembunyi Kepada Pelanggan.

Mana-mana pelanggan memang tidak suka apabila berdepan dengan caj tersembunyi. Seolah-olah pelanggan akan terasa tertipu dan serik untuk membeli produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah premis perniagaan. Sebagai blogger yang meminati bahagian perniagaan, sudah pasti peka dengan apa yang dialami oleh pelanggan sekiranya caj tersembunyi disertakan. Memang caj tersembunyi biasanya nilainya kecil tetapi memberi kesan yang besar kepada pelanggan terutama pelanggan yang berpendapatan rendah. Seharusnya sebelum mengenakan sebarang bayaran kepada pelanggan, seorang peniaga atau jurujual perlu memberikan penerangan yang jelas tanpa memberikan gambaran harga yang mengelirukan.

Kecilnya Gaji Staf.

Memang tak berbaloi bila saya mendapat tahu dari kenalan yang membawa teksi bahawa masih ada staf yang menerima gaji sebanyak RM350 atau RM400 sebulan dengan kerja selama 8 hingga 12jam sehari. Dalam keadaan sekarang dimana harga barang sudah meningkat naik tidak sepadan dengan gaji yang diterima oleh staf tersebut. Memang amat menyedihkan dan terpaksa menyara keluarga yang sudah pasti memerlukan perbelanjaan yang besar. Jika tinggal di bandar besar seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, gaji sebegini sudah pasti tidak begitu relevan.Pada 20 tahun yang dahulu, mungkin ada pekerja yang sanggup menerima gaji seperti begini di Kuala Lumpur. Sebagai majikan perlu memahami keadaan gaji staf dan juga caruman yang perlu dibuat dengan membuat sesuatu perubahan demi masa hadapan yang lebih mencabar lagi.

Sabtu, 15 Oktober 2011

Tumpuan Keatas Barang Yang Mempunyai Insentif atau Komisyen.

Dalam perniagaan retail, sudah pasti kita akan terjumpa rangkaian produk-produk yang menawarkan insentif atau komisyen yang memberi pulangan yang istimewa kepada jurujual atau peniaga. Dengan adanya insentif ini akan meningkatkan motivasi pekerja untuk mencapai sasaran jualan individu dan pada penghujung bulan, sudah pasti memberi kepuasan yang mendalam kepada pekerja yang mendapat komisyen produk yang sudah dijual kepada pelanggan. Yang penting penjual tersebut sudah ada pelanggan tetapnya yang sentiasa ingin berhubung dengan penjual tersebut. Ditambah jurujual tersebut pandai memberi penerangan yang begitu padat dan munasabah kepada pelanggan tetapnya dengan memberi potongan harga yang istimewa untuk pelanggan tetapnya. Memang seronok jika ada tawar-menawar di dalam kedai dan memberikan voucher yang istimewa kepada pelanggan yang menjadi peminat setia kepada produk-produk syarikat tersebut. Secara tidak langsung, jurujual yang mahir berunding dengan pelanggan dapat melakukan produk-produk tersebut dengan kadar yang begitu pantas sekali.

Sudah Mengguna Skype?

Adakah para pembaca sudah menggunakan Skype untuk berhubung dengan rakan-rakan di luar negara? Sudah tentu Skype menjimatkan dengan hanya mendaftar Skype dengan menggunakan alamat hotmail anda. Yang penting anda dan rakan-rakan anda yang ingin dihubungi perlu mengaktifkan Skype. Anda boleh berbual dengan hati yang meriangkan bersama rakan-rakan yang anda rindui selama ini. Memang seronok mendengar suara rakan-rakan anda yang jauh beribu-ribu batu dan anda jarang berjumpa dengannya. Sekurang-kurangnya anda boleh mencuba cara yang baru untuk berhubung dengan cara yang menjimatkan dan sesekali anda boleh menggunakan webcam untuk memberi gambaran yang lebih dekat lagi. Seronok bukan! Jom kita mencuba Skype!

Berangkat Ke Tanah Suci.

Salam untuk pengikut blog yang sporting dan semoga hidup anda lebih ceria bersama dengan rakan-rakan dan keluarga pada hujung minggu ini. Sudah lama saya tidak mengemaskinikan blogspot saya kali ini setelah menghantar kedua ibubapa saya yang telah berangkat ke tanah suci. Alhamdulillah, akhirnya mereka selamat sampat di Jeddah dengan menghubungi saya pada sebelah malam. Memang terharu apabila mereka ingin melepasi garis biru tersebut sambil melambai-lambai kepada mereka di Lapangan Terbang Senai, Johor. Bermacam-macam gelagat keluarga yang ingin menghantar jemaah haji. Ada yang makan beramai-ramai dengan duduk bersila dengan membawa makanan sendiri dan ada yang mengambil gambar kenang-kenangan dengan jemaah haji yang akan bertolak ke Jeddah pada sebelah tengahari. Memang perasaan itu tidak sama sewaktu saya menghantar isteri saya di situ. Hanya doa ke atas ibubapa saya yang dapat mendekatkan lagi hubungan saya dengan mereka walaupun jauh beribu-ribu batu.

Isnin, 10 Oktober 2011

Perkhidmatan Delivery Yang Memuaskan Hati Pelanggan.

Tentu hati terasa puas jika barang yang kita pesan sudah ada di depan pintu rumah kita tanpa perlu bersusah payah ke tempat premis perniagaan tersebut. Dengan perkhidmatan delivery yang semakin popular dan boleh memberi nilai tambah yang begitu berharga buat sesuatu syarikat yang sudah pasti memudahkan pelanggan memperolehinya melalui talian. Dengan kemudahan jalur lebar yang begitu pesat berkembang di Malaysia, sudah pasti memberi kesan yang begitu positif dari segi kerancakan ekonomi dengan wujudnya banyak syarikat yang menyediakan perkhidmatan delivery yang begitu sistematik dan pantas. Ada juga pasaraya dan restoran yang menyediakan perkhidmatan ini dan sudah pasti bayaran tambahan dikenakan kepada pelanggannya. Malah penghantarannya dalam sekitar 5km sudah pasti tidak menyukarkan pekerjanya mencari alamat pelanggan yang tidak menyusahkan dan kadar penghantaran sudah pasti begitu pantas. Dengan ada perkhidmatan delivery ini, sudah pasti akan melonjakkan jualan bulanan bagi sesebuah premis perniagaan.

Rebut Rumah.

Kalau 10 tahun yang dahulu harganya adalah dalam anggaran RM35,000 seunit rumah teres satu tingkat dengan 3bilik di Mersing dan sekarang harganya melonjak lebih RM80,000 seunit. Tambahan pula tuan rumahnya sudah mengubahsuai menjadikan lebih kemas dan menarik dan sudah pasti ramai yang berebut untuk membelinya dengan mengeluarkan KWSP. Memang pantas, rasanya tidak sampai sebulan rumah itu sudah dimiliki oleh pemilik seterusnya. Jadi bagi yang baru untuk mendapatkan rumah tersebut, harus mencari rumah yang lain dan sesuai untuk dimiliki dan harga rumah sudah pasti naik dari masa ke semasa. Bagi yang bijak berunding dengan tuan rumah sudah pasti akan meletakkan bayaran permulaan yang begitu memuaskan hati tuan rumah supaya rumah tersebut tidak terlepas kepada orang lain. Sememangnya berita penjualan rumah di Mersing begitu pantas diketahui oleh orang yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan aset yang berharga untuk masa depan.

Ahad, 9 Oktober 2011

The Cube Terbaru Dari Celcom.

Salam untuk rakan-rakan di luar sana. Sudah mencuba The Cube yang terbaru dari Celcom yang memberikan kepuasan berganda kepada para pelanggannya. Pada bulan lepas, iaitu Hari Malaysia, Celcom sudah melancarkan The Cube yang memudahkan pelanggan tetapnya menggunakan sebarang applikasi seperti facebook, twitter, muzik dan sebagainya di Encorp Mall, Kota Damansara. Tambahan pula bagi yang suka bermain permainan atau game terutama remaja, sudah pasti ingin mencuba game yang terbaru melalui The Cube. Tentu menarik dan menghiburkan. Sekurang-kurangnya dengan ada The Cube ini, para pelanggan dapat memaksimakan manfaat yang disediakan oleh pihak Celcom.

Sabtu, 8 Oktober 2011

Mencuba Hobi Baru.

Salam untuk rakan-rakan dari Facebook, Myspace, Twitter, Nuffnang dan Gengblogger. Cuti hujung minggu ini mungkin anda terasa stress disebabkan banyak kerja yang perlu dibereskan. Sesekali tidak salah mencuba permainan atau hobi baru untuk menghilangkan rasa tekanan yang begitu banyak sekali. Kalau di Mersing, ada tempat yang sesuai untuk melepaskan stress, salah satu permainan yang dapat meredakan stress, kita boleh mencuba permainan paint ball. Mungkin agak baru di Mersing tetapi ditempat lain di Kuala Lumpur, Kuantan dan Johor Bahru, permainan ini sudah lama wujud. Permainan paint ball boleh disertai dengan ramai rakan yang ingin menyertainya dengan kadar bayaran yang berpatutan. Pakaian, bebola dan peralatan akan disediakan oleh pekerja di bahagian paint ball dan anda boleh bermain seharian bersama dengan rakan-rakan anda yang sudah pasti menyeronokkan dan dapat mengurangkan tekanan kerja. Mungkin anda rasa tidak biasa mencuba dan setelah mencuba, sudah pasti anda akan mengajak rakan-rakan yang lain untuk menyertainya.

Dunia Kehilangan Steve Jobs.

Dalam dunia gadgets sudah pasti ramai peminat-peminat setia Apple dari seluruh dunia merasai kehilangan seorang tokoh yang begitu genius yang mencipta keluaran-keluaran yang hebat seperti iPad, iPhone, iPod dan sebagainya. Sudah pasti ramai yang tertungu-tunggu versi baru iPad 3 dan iPhone 5 yang begitu hebat dan dengan ketiadaan Steve Jobs mungkin memberi kesan besar terhadap keluaran yang menakjubkan dari Apple. Sudah pasti pesaing-pesaing seperti Samsung dan Microsoft akan memberi tentangan sengit kepada Apple untuk memenangi hati peminat-peminat gadget dari seluruh dunia. Tidak dinafikan kematian Steve Jobs memberi kesan tekanan yang begitu besar kepada syarikat Apple yang diterajui oleh Tim Cook dan ramai peminat-peminat gadgets dari seluruh dunia mengharapkan sesuatu impak yang besar dengan mencipta keluaran yang begitu hebat sekali. Memang sukar untuk mencari pengganti Steve Jobs yang begitu hebat mencipta produk-produk yang mengagumkan dan berivonasi tinggi.

Khamis, 6 Oktober 2011

Malaysia vs Australia.

Tentu rakyat Malaysia sudah lama menunggu perlawanan antara Malaysia dengan Australia,Socceroos salah sebuah pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia pada tahun lepas. Setelah kita dihidangkan perlawanan yang menarik dari pasukan Jepun yang mengalahkan pasukan Harimau Malaya baru-baru ini, sudah pasti kita ingin melihat bagaimana ketangkasan pasukan Australia menjaringkan gol keatas Harimau Malaya. Kita sudah pasti ingin melihat bagaimana Khairul Fahmi dapat menyelamatkan pintu gol Malaysia dari dibolosi dengan begitu banyak oleh pasukan Socceroos. Dengan ketiadaan perancang hebat Socceroos, Tim Cahill, sudah pasti mengurangkan tekanan kepada pasukan Malaysia. Dengan sokongan padu dari rakyat Malaysia dapat memberi suntikan semangat kepada pasukan negara Malaysia yang bertandang ke Sydney, Australia dan akan memberikan persembahan hebat dalam perlawanan persahabatan kali ini. Kita juga mengharapkan penyerang Safee Sali dapat membuat kejutan di bahagian serangan dan boleh menciptakan gol untuk Malaysia. Selamat berjuang kepada pasukan negara kita, Harimau Malaya!

Rabu, 5 Oktober 2011

Hubungan Baik Dengan Bank.

Bagusnya layanan Ambank Mersing kepada para pelanggannya dengan membuat cabutan bertuah untuk pelanggannya yang begitu setia, pertandingan berwarna untuk kanak-kanak, peraduan makan ketupat dan jamuan hari raya baru-baru ini. Sekurang-kurangnya mereka dapat merapatkan hubungan dengan pelanggan mereka dengan begitu akrab sekali. Memang seronok bila sudah berjumpa dengan kakitangan bank yang sentiasa komited terhadap pelanggan-pelanggannya. Sebelum ini saya banyak berurusan dengan Ambank dan membayar ansuran kereta dengan begitu lancar tanpa sebarang masalah dan secara tidak langsung hubungan saya dengan Ambank semakin rapat dan baik. Begitu juga hubungan kita dengan bank yang lain sudah semestinya kita akan cuba menjaga hubungan dengan mereka. Ditambah tidak memberi sebarang penangguhan pembayaran yang boleh menjejaskan kepercayaan pihak bank terhadap kita.

Pentingnya Caruman KWSP.

Terkejut juga saya baru-baru ini bila mendapat tahu dari seorang pelanggan yang sudah lama bekerja di bahagian penjualan tiket yang mana majikannya tidak mencarumkan hasil pendapatannya dengan KWSP. Sememangnya kita ketahui caruman KWSP itu penting bagi seseorang pekerja tetap dan sambilan untuk masa depannya di waktu tua nanti. Walaupun perolehannya sebanyak 5.6% dan tidak sama dengan perolehan unit trust bagi setiap bank, namun manfaatnya cukup besar kepada pekerja tersebut. Walaupun pelanggan tersebut bergaji kecil, seharusnya majikan perlu mencarumkan pendapatan bulanan pekerja. Bukannya mengambil mudah dengan tidak mencarumkan hasil pendapatan seseorang pekerja. Memang patutlah pelanggan tersebut mengambil tindakan bijak dengan berhenti kerja dan mencari pekerjaan yang menjaminkan masa depannya.

Selasa, 4 Oktober 2011

Menyambut Dengan Pantas.

Umpama kita bermain bola dan bola itu mudahnya disambut oleh rakan seperjuangan untuk mendapatkan jaringan terbaik. Begitulah dalam perniagaan, adakala rakan kita memberi cadangan dan strategi yang begitu bernas dan disambut dengan begitu baik oleh rakan-rakan sekerja yang lain, InsyaAllah kita akan mencapai matlamat atau target jualan yang kita kehendaki. Bukan mudah untuk mendapatkan kerjasama yang begitu baik jika ada ego pada setiap orang dan sukar menerima pandangan orang lain. Seharusnya kita mengambil masa untuk berfikir dan terus membuat tindakan yang pantas sebelum pesaing yang lain dapat membaca dengan mudah setiap gerak-geri atau tindak-tanduk kita untuk mendapatkan jualan yang lebih memberangsangkan. Setiap cadangan dan juga strategi untuk meningkatkan jualan bulanan disertai dengan perbincangan melalai mesyuarat bulanan dan sudah pasti hasilnya memberikan impak yang besar kepada kompeni atau syarikat. Dengan pengalaman dan cabaran yang dilalui oleh rakan sekerja yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dapat membantu rakan-rakan yang baru untuk mengejar sasaran jualan individu. Ini dapat memberikan motivasi yang cukup bernilai kepada rakan-rakan yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan bimbingan yang begitu hebat dari rakan sekerja yang sudah lama dalam bidang perniagaan. Dengan keserasian yang terhasil diantara rakan-rakan senior dan rakan-rakan yang baru, tidak mustahil sasaran jualan yang ditetapkan mudah tercapai.

Isnin, 3 Oktober 2011

Mengenalpasti Waktu Puncak.

Salam untuk para pembaca yang dihargai. Sudah lama saya tidak menjengah dan mengemaskinikan entry terbaru di blogspot ini, mungkin kesibukan saya untuk persiapan ibubapa saya yang akan mengerjakan haji di tanah suci, Mekah dan Madinah dalam tahun ini. Baru-baru ini, saya terdengar mengenai ramai jurujual yang mengambil peluang mempromosikan vitamin, krim pelembap dan makanan kesihatan untuk bakal jemaah haji yang ingin berlepas ke tanah suci dalam waktu yang terdekat ini. Sekurang-kurangnya mereka teramat peka dengan keadaan semasa dan mengambil peluang untuk mempromosikan produk-produk yang amat berguna kepada jemaah haji. Ada yang datang dari rumah ke rumah untuk mempromosikan produk mereka dan mengambil peluang berjumpa para pelanggan mereka semasa rumah terbuka. Memang bakal jemaah haji perlu bijak memilih mana produk-produk yang sesuai untuk kesana dan berbelanja dengan begitu berhemah. Ada juga peniaga-peniaga yang sudah pandai membuat sesuatu persediaan sebelum bermulanya waktu puncak dan mereka sudah pasti mengesan waktu puncak dengan begitu awal. Dengan mengenalpasti waktu puncak, mereka sudah dapat membaca apa yang diminta oleh pelanggan dan sudah menyediakan barang atau produk dengan begitu pantas. Kebanyakkan peniaga tidak akan melepaskan peluang ini dan menggunakan waktu puncak dengan sebaik yang mungkin untuk mendapatkan hasil yang begitu mengagumkan. Sememangnya para peniaga sudah menyediakan jurujual dan pembantu yang secukupnya pada waktu puncak. Dengan menggunakan sebaik mungkin dengan membuat jualan dalam waktu puncak dapat mengimbangi jualan semasa pasif atau jualan pertengahan bulan.

Selasa, 27 September 2011

Kemudahan Menggunakan Easy Payment.

Salam untuk para pembaca yang dihargai. Rasanya sudah dua hari, saya tidak mengemaskinikan blog saya kali ini disebabkan banyak kerja yang perlu dibereskan dan baru lepas sembuh dari demam misteri. Alhamdulillah sempat juga saya mencuri sedikit masa untuk mencoretkan sesuatu di blog. Ramai rakan-rakan kita sudah tahu menggunakan perkhidmatan Easy Payment untuk membeli barang-barang yang sudah tentu mahal harganya. Mungkin anda rasa terbeban untuk membayar harga yang sudah pasti mahal dan adakala mencecah ribuan ringgit dalam masa sekelip mata. Dengan Easy Payment, mungkin dapat meringankan beban bayaran dan anda hanya perlu membayar kepada bank tersebut secara ansuran dalam tempoh setahun hingga 2tahun dengan membayar perkhidmatan bank tersebut dengan kadar yang berpatutan. Mungkin anda bimbang jika anda dikenakan bunga yang tinggi, anda boleh mencuba perkhidmatan Easy Payment dengan mengikut prosedur-prosedur yang telah disediakan oleh bank tersebut. Sebelum anda ingin membuat Easy Payment, sudah pasti anda mencari premis-premis perniagaan yang menerima pembayaran secara Easy Payment dan anda perlulah berunding dengan jurujual atau peniaga dengan sebaik mungkin jika anda berkenan untuk membeli barang-barang yang sudah pasti mahal. Dengan cara pembayaran Easy Payment ini mungkin aliran duit anda menjadi lebih sistematik dan anda perlu bijak mengawal perbelanjaan anda sebaik yang mungkin tanpa membeli barang-barang yang tidak berfaedah.

Sabtu, 24 September 2011

Kaya Dengan Makanan Dan Minuman.

Salam untuk para pembaca yang dihargai. Alhamdulillah akhirnya sempurna juga majlis jamuan hari raya di kedai tempat saya bekerja ini pada sebelah petang semalam. Tak sangka ramai juga yang datang terutama rakan-rakan dari Jabatan Maritim, Bank Islam dan Maxis. Banyak juga makanan seperti sate, meehon, popiah kering, mee goreng, kueh raya dan banyak lagi. Sampaikan saya tak termakan-makan sebab kekenyangan. Ditambah pula saya menghadiri jamuan yang dianjurkan oleh balai polis Mersing. Memang banyak juga juadah-juadah yang disediakan oleh kakitangan balai polis Mersing. Yang saya tak dapat lupa sudah pasti udang harimau yang dibakar dan juga nasi kerabu beserta ikan aya. Memang sedap dan ramai juga orang yang singgah untuk menghadiri jamuan di balai polis tersebut. Pada hari semalam merupakan hari yang sudah pasti ditunggu-tunggu oleh para pelanggan kami. InsyaAllah tahun hadapan saya dan rakan-rakan akan membuat jamuan Hari Raya yang lebih bermakna untuk para pelanggan yang setia dengan kami.

Khamis, 22 September 2011

Cuba Lagi!

Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tanpa jemu menyokong pasukan Malaysia, Harimau Malaya yang kalah kepada pasukan gergasi Asia, Japan (2-0). Kita sudah mengetahui juara Piala Asia, Jepun mudah sahaja merembatkan gol terutama gol yang kedua walaupun kita memiliki penjaga gol yang berkualiti, Khairul Fahmi. Mungkin disebabkan kurangnya serangan di pintu lawan, banyak bertahan dan rapuhnya benteng pertahanan pasukan Malaysia menyebabkan pintu gol Malaysia mudah dibolosi oleh lawan yang begitu bagus. Kalau dilihat pada perlawanan kedua, nampak macam langit dan bumi dari segi persembahan pasukan Malaysia berbanding lawannya. Mungkin pendedahan kali kedua ini dapat menyedarkan pasukan Malaysia untuk berlatih dengan begitu gigih lagi untuk memperbaiki ranking dalam FIFA. Kita, sebagai rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada pasukan kita yang akan menentang Australia dalam waktu yang terdekat ini. Dari segi keputusan semalam, memang sepatutnya keputusannya berpihak kepada pasukan Jepun yang mempunyai skil-skil yang bagus dan mempunyai ketajaman mata dan otak untuk menguasai dan membaca keadaan permainan pasukan Harimau Malaya yang mungkin nampak kepenatan dan teragak-agak memberi bola kepada rakan-rakan yang lain.

Selasa, 20 September 2011

Kebersihan Yang Perlu Dijaga.

Sebelum kita singgah di rumah rakan-rakan kita, sudah pasti kita ingin melihat tandasnya dahulu. Bila kita tengok tandasnya memang bersih, memang kita cop dia sebagai seorang yang pembersih. Kalau sebaliknya, mungkin macam-macam andaian negatif kita kepada rakan-rakan kita. Tetapi adakala kita tidak mahu merosakkan hubungan yang terjalin dengan rakan-rakan kita selama ini, sudah pasti kita ambil jalan selamat untuk menyedarkan kebersihan itu amat dituntut dalam agama Islam. Memang tempat kerja yang bersih sudah pasti memberi kesan yang begitu positif dengan meningkatkan prestasi dan produktiviti syarikat. Sesekali kita kenalah peka dan rajin untuk membersihkan tempat kerja tanpa mengharap bantuan rakan-rakan sekerja. Jika kita di bahagian front dalam bisnes sudah pasti kebersihan diri dan tempat kerja diambilkira dan memainkan peranan yang besar untuk menarik ramai pelanggan berurusan dengan kita. Kebersihan itu sebahagian dari iman kita dan sudah pasti kita berusaha untuk menjadi orang yang peka dengan kebersihan. Malah hati kita perlu bersih tanpa rasa hasad dengki dan perasaan yang negatif yang melingkari dalam diri kita. Sesekali kita rajin membaca Al Quran, bertasbih, istigfar, berselawat keatas nabi dan mengerjakan solat untuk membersihkan hati yang kotor. Dengan kita membaca Al Quran sekerap yang mungkin dapat membersih dan melembutkan hati yang keras. Kita yang beragama Islam sudah pasti mengambilberat tentang kebersihan. Tak kiralah ditempat kerja, rumah dan yang penting hati kita perlu lebih bersih lagi tanpa sebarang sifat-sifat negatif yang bersarang dihati.

Panggilan Haji.

Salam untuk para pembaca yang dihargai. Memandangkan tidak lama lagi ramai jemaah haji termasuk ibubapa saya bakal menunaikan fardhu haji di Mekah dan Madinah. Sebelum ini memang sudah lama ibubapa saya menunggu untuk mendapat kebenaran dari Tabung Haji dan akhirnya termakbul juga doa mereka. Sebelum pergi kesana, sudah pasti banyak kursus haji yang perlu dipelajari oleh bakal-bakal haji pada setiap hujung minggu dan yang terbaru ibubapa saya sempat mengikuti latihan di Universiti Teknologi Mara Skudai, Johor. InsyaAllah dalam waktu yang terdekat ini, ibubapa saya akan berlepas ke sana dan mudah-mudahan mereka mendapat haji mabrur. Sayapun sempat juga melihat begitu ramai bakal-bakal jemaah haji yang berkumpul di Tabung Haji, Muar baru-baru ini. Ramai antara mereka yang begitu bersemangat untuk menunaikan fardhu yang kelima ini dan banyaklah persediaan termasuk ilmu-ilmu mengenai haji dan pakaian-pakaian ihram yang perlu sebelum bertolak ke sana. Memang banyak urusan dengan Tabung Haji yang perlu dilalui oleh bakal-bakal haji. Sebagai anak, sudah pasti kita akan mengiringi ibubapa yang akan menunaikan haji di Mekah dan Madinah dan sesekali kita hulurkan sedikit wang dan persediaan seperti krim pelembap, ubat-ubatan dan sebagainya untuk ibubapa kita. Kita mendoakan bakal-bakal haji dari Malaysia dapat pergi kesana dan pulang ke Malaysia dalam keadaan selamat dan mendapatkan haji mabrur.

Malaysia vs Jepun.

Ramai yang tak sabar untuk menonton Astro esok dengan kehadiran pasukan bolasepak kita yang menjadi wakil dari Asia Tenggara yang layak ke pusingan kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang akan menentang gergasi Asia, Jepan di Stadium Tosu, Fukuoka, Jepun. Kita sudah pasti mengharapkan anak buah Ong Kim Swee dapat memberikan persembahan yang menarik dan dapat menyaingi lawan yang begitu besar. Kemungkinan kita mengharapkan seri yang boleh memberi satu mata untuk memberi suntikan yang lebih padu untuk perlawanan yang berikutnya. Kita berharap dengan corak permainan pasukan Malaysia yang begitu pantas dan sentiasa mengawal pihak lawan sudah pasti memberi tekanan kepada mereka. Bukan senang untuk mengekang pasukan gergasi seperti pasukan Jepun. Dengan berbekalkan pengalaman sebelum ini dengan pertembungan dengan pasukan Singapura dapat membantu meningkatkan rentak yang begitu kemas dan mudah mengetahui taktik lawan dengan mudah. Mungkin pasukan Malaysia sudah mengetahui corak permainan pasukan Jepun melalui tayangan video dan jurulatih, Ong Kim Swee sudah mengatur strategi untuk mendapat keputusan perlawanan yang terbaik esok. Selamat menonton!

Isnin, 19 September 2011

Jamuan Hari Raya Di Tempat Kerja.

Salam untuk para pembaca yang dihormati. Memandangkan syawal akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi, jadi InsyaAllah dalam minggu ini saya bersama rakan-rakan sekerja akan menjemput pelanggan-pelanggan datang ke jamuan hari raya di kedai farmasi. Kalau raya tahun lepas kami menyajikan para pelanggan kami dengan roti jala, mee goreng dan kueh raya. Pada tahun ini, InsyaAllah lebih istimewa sedikit dengan menyediakan sate kepada pelanggan yang sentiasa memberi sokongan kepada kami selama ini. Memang seronok bersama pelanggan yang menghadiri jamuan hari raya di kedai kami pada tahun lepas. Pada minggu ini juga rakan-rakan saya yang bekerja sebagai polis juga mengajak kami menghadiri jamuan hari raya di bahagian hadapan balai polis. Sudah pasti meriah macam tahun lepas. Cuma saya terlepas peluang menghadiri jamuan hari raya di balai polis Mersing pada tahun lepas. Kalau tahun ini sempat juga saya singgah Maybank, Mersing yang menyediakan jamuan hari raya untuk pelanggan mereka. Memang sedap makanan dan minuman yang mereka sediakan dan diharap mereka dapat mengadakan jamuan hari raya yang lebih meriah pada tahun depan. Saya mengharapkan jamuan hari raya di kedai farmasi pada tahun ini membuahkan hasil kejayaan yang lebih bermakna dengan bantuan dan sokongan kerjasama yang begitu padu dari rakan-rakan sekerja.

Ahad, 18 September 2011

Kenduri Kahwin Dalam Bulan Syawal.

Salam kepada para pembaca yang dihargai. Semoga hujung minggu ini, anda semua dapat hidup dengan lebih ceria dengan keluarga dan rakan-rakan. Dalam bulan Syawal ini, banyak juga pelanggan yang memberi kad jemputan kahwin. Hari ini sahaja, saya sempat singgah di Taman Seri Bayu, Mersing. Tak sangka mertua rakan saya ini menerima orang baru dan saya tidak sempat melihat mempelai kerana saya perlu meneruskan kerja saya di kedai. Memang meriah dan banyak juga makanan dan minuman yang disajikan untuk tetamu yang hadir. Minggu depan pula ada beberapa kenduri kahwin di Mersing, kemungkinan saya dapat singgah di Taman Wawasan, Mersing sahaja. Sekurang-kurangnya dapatlah juga mengenali keluarga pengantin dengan lebih dekat lagi dan secara tidak langsung kita sudah berada dalam masyarakat taman yang lebih harmoni. Memang sesekali kita kena rajinlah mengunjungi rumah pengantin jika kita sudah menerima kad jemputan daripada mereka. Jika tidak singgah, bimbang juga hubungan dengan mereka menjadi tidak akrab lagi. Sekurang-kurangnya kita menunjukkan muka kita di majlis perkahwinan mereka dan mereka sudah pasti gembira dengan kehadiran kita disana. Ramai yang ingin membuat kenduri kahwin dalam bulan Syawal kerana mereka merasakan bulan Syawal merupakan bulan yang istimewa bagi umat Islam. Mereka mengharapkan mendapat zuriat yang lebih baik lagi dalam kehidupan mereka.

Sabtu, 17 September 2011

Merebut peluang pekerjaan dan perniagaan di Malaysia.

Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah mudahnya kita mendapat peluang pekerjaan dan juga membina perniagaan di Malaysia jika tahu caranya dan tahu tempatnya yang boleh mendatangkan rezeki yang lebih. Yang kita tidak mahu sudah tentu ada rakan-rakan di luar sana yang terlalu memilih pekerjaan sedangkan peluang pekerjaan di Malaysia begitu banyak. Sampaikan kita dengar ada rakan-rakan kita yang membuat dua hingga tiga kerja semata-mata untuk mendapat duit lebih untuk menyara keluarga terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau-Pinang. Dari segi perniagaan, sudah pasti negara kita menggalakkan graduan-graduan yang berminat dalam peniagaan menjadi usahawan-usahawan yang gemilang dan lebih proaktif. Kerajaan Malaysia juga memberi kemudahan-kemudahan dari segi pinjaman kewangan dan tunjuk ajar kepada graduan-graduan yang berminat dalam perniagaan. Yang penting minat yang begitu mendalam dalam bidang perniagaan boleh membuahkan hasil yang lebih positif dengan usaha yang lebih tanpa ada perasaan putus asa. Sememangnya apabila terjun dalam bidang perniagaan di Malaysia tidaklah sesenang yang kita sangka dengan adanya persaingan yang begitu sengit dan memerlukan lebih pengalaman untuk menjadi usahawan yang berjaya. Jadi ada semangat ingin mencuba dalam perniagaan dan setiap kegagalan itu memberi suntikan untuk lebih maju dalam perniagaan. (Ilmu perniagaan belum mencukupi jika tidak banyak pengalaman berniaga dilalui jika ingin menjadi usahawan yang berjaya)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...