Pages

Rabu, 25 Disember 2013

Setelah 20 Tahun Tidak Bersua.

Salam dan Selamat Bercuti kepada semua rakan-rakan Facebook, blogger, Twitter, Google+ dan lain-lain. Sementara ada masa senggang sebegini, sempatlah juga saya menambahkan entry dalam blogspot saya dengan menggunakan aplikasi blogger dalam android.
Tak sangka juga, sudah 20 tahun tidak berjumpa dengan rakan sekelas saya dahulu, akhirnya dapat berjumpa di Mersing. Banyak jugalah kami berborak tentang rakan-rakan sekolah menengah dahulu di kafe yang menghadap Sungai Mersing.
Memang seronok bincang masa depan bersama rakan sekelas dahulu. Banyak juga ceritakan kejayaan rakan-rakan sekolah menengah dahulu dan boleh dijadikan contoh untuk berjaya.
Alhamdulilah pertemuan kali ini lebih berjaya. Diharap pada masa akan datang dapatlah saya bersua lebih ramai rakan-rakan sekolah yang terdahulu yang sudah berjaya dalam kehidupan masing-masing.(Seronok berkongsi banyak cerita dahulu bila lama tidak berjumpa rakan sekelas)

Ahad, 8 Disember 2013

Bercuti Di Sabah & Labuan.

Salam dan selamat bercuti rakan-rakan blogger, Facebook, Google+, Nuffnang & Twitter. Seronokkan bercuti! Baru-baru ini sempatlah saya bercuti di Sabah dan Labuan dengan menaiki kapal terbang Malindo Air dan bot laju ke Pulau Labuan. Memang mengujakan bila sampai di Pulau Labuan, rasa-rasanya sudah 2 kali saya singgah di Pulau Labuan dan memang tenteram berada disini. Yang paling menarik di Pulau Labuan sudah tentu banyak barang yang bebas cukai terutama coklat yang pelbagai pilihan. Setelah kami berada di pulau Labuan kami bertolak ke Menumbok yang begitu ramai orang yang ingin pergi ke Kota Kinabalu. Banyak juga deretan bas ekspress yang akan menuju ke Kota Kinabalu.
Di Kota Kinabalu, sempat kami menyaksikan pancutan air berirama dan berjalan-jalan di tengah-tengah bandar Kota Kinabalu. Hampir 4 tahun saya tidak singgah di 1 Borneo yang begitu pesat membangun. 4 tahun dahulu, saya melihat 1 Borneo masih dibangunkan terutama di bahagian tapak dan bawah bangunan. Selepas itu kami pergi ke Tuaran, Nabalu, kaki Gunung Kinabalu, pekan Kundasang, Ranau dan seterusnya ke Poring. Di Poring, ramai juga pengunjung dari Semenanjung mengambil kesempatan bercuti dihujung tahun. Kebanyakan mereka meredamkan kaki mereka di kolam air panas. Ada yang mandi disitu. Memang menyeronokkan dan tiket masukpun tidaklah mahal, hanya RM3 seorang. Pada hari berikutnya kami singgah di Tuaran dan Kota Belud. Sempat jugalah kami melihat puncak Gunung Kinabalu yang begitu jelas di Kota Belud. Seterusnya kami terus ke Kudat untuk sampai ke penghujung negeri Sabah, Tip of Borneo@ Simpang Mengayau. Kalau dahulu saya dan isteri saya sampai di Tip of Borneo, kali ini kami membawa anak kami disini. Sempat juga kami berjumpa rakan-rakan kami yang tinggal di Kudat, Sabah. Sebelum balik ke Semenanjung, sempat juga kami membeli-belah mutiara dan cenderahati untuk rakan-rakan terdekat di pasar Filipina dan makan malam di gerai yang berdekatan disitu. Harga makanan laut disitu sangat berpatutan dan ramai pengunjung dari Semenanjung makan disitu.

Jumaat, 22 November 2013

Selamat Bercuti!

Salam semua rakan blogspot, Google+, Facebook, Twitter dan lain-lain. Tak lupa, Selamat bercuti kepada semua warga Johor pada hari ini. Lama saya tidak singgah dan mencoretkan sesuatu entry disini. Sempena cuti sekolah yang sudah bermula pada minggu sebelumnya, ada ramai rakan kita yang membuat perancangan bercuti bersama keluarga di tempat-tempat menarik seperti membawa anak-anak mereka ke Legoland di Nusajaya dan juga ada yang membawa anak-anak mereka bercuti di luar negara. Seronok bukan, sambil menghabiskan cuti tahunan dan membawa anak-anak berjalan ditambah menambahkan lagi ilmu pengetahuan mereka. Selain itu anda boleh membuat persiapan sebelum pergi bercuti dengan ahli-ahli keluarga yang lain dengan membeli peralatan seperti alatan memancing, khemah dan sebagainya untuk memberi kepuasan yang begitu tidak terhingga dalam musim cuti sekolah ini.
Memandangkan cuti sekolah pada penghujung tahun ini terlalu panjang, anda boleh merancang aktiviti-aktiviti yang tidak membosankan seperti bermain ATV, bermain layang-layang gergasi dan juga menunggang kuda di tepi pantai. Sememangnya aktiviti-aktiviti beriadah dihujung minggu dapat menyihatkan badan anda selain dapat mengeratkan lagi tali siraturrahim dikalangan rakan-rakan dan ahli keluarga. Kepada rakan-rakan di luar sana, Selamat Bercuti! dan selamat menempuh kehidupan baru untuk tahun baru yang akan menyusul tidak lama lagi.

Ahad, 4 Ogos 2013

Salam Lebaran.

Salam kepada rakan-rakan Facebook, Gengblogger, Nuffnanggers, Twitter, Google+ dan lain-lain. Lagi beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, jadi segala persiapan sudah dilakukan seperti menyelenggarakan kendereaan masing, membeli kueh raya, menyediakan duit raya dan sebagainya. Sememangnya banyak duit akan mengalir dengan begitu deras dalam musim perayaan ini, saya mengharapkan rakan-rakan berbelanja dengan penuh berhemah. Bimbang dihujung bulan ini, anda mungkin mengalami kekeringan duit sebelum menerima gaji baru pada penghujung bulan ini. Ada yang sudah bercuti dan ada yang masih lagi bekerja hari ini hingga pada malam sebelum raya. Sebelum balik ke kampung halaman, anda boleh mengisi borang di balai polis demi keselamatan rumah anda. Diharap anda yang ingin balik ke kampung, memandu dengan cermat dan berhemah dan ikut saranan masa yang telah dicadangkan oleh pihak PLUS bagi sesiapa yang menggunakan lebuhraya Utara Selatan. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir dan Batin kepada rakan-rakan yang mengenali saya sekeluarga.

Khamis, 18 Julai 2013

Salam Ramadan.

Salam Ramadan kepada rakan-rakan Facebook, Google+, Nuffnanggers, Gengblogger, Twitter dan lain-lain. Hari ini hari yang ke sembilan kita berpuasa di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, ramai rakan kita sudah membaca beberapa juzuk Al-Quran dengan rakan-rakan yang lain(bertadarus) dan sudah pasti melipatgandakan amal ibadat dengan memperbanyakkan doa untuk kesejahteraan bersama. Pada awal bulan Ramadan ini ada rakan-rakan kita yang sudah menempah kueh raya dengan rakan-rakan dan ada yang membuat baju raya sebelum tarikh tempahan berakhir. Pada 2 minggu terakhir dalam bulan Ramadan, ada pihak bank yang akan menyediakan sampul raya dan duit raya yang baru kepada pelanggan-pelanggan mereka. Yang paling penting sekali sudah tentu ada rakan-rakan yang sudah menyimpan duit untuk raya pada bulan hadapan dan tidaklah rasa putus duit pada pertengahan bulan Ogos nanti. Semoga anda dapat menunaikan ibadah berpuasa dengan sebaik mungkin dan dapat bersembahyang berterawih bersama jemaah dalam bulan yang penuh keberkatan. (Mencari malam Lailatul Qadar pada penghujung bulan Ramadan untuk mendapat pahala berlipat kali ganda)

Ahad, 26 Mei 2013

Mudahnya Masukkan Data dan Membuat Vlog Melalui Telefon Pintar.

Salam semua rakan Facebook, Twitter, Imotiv, Nuffnang, Blogspot, Googgle+ dan Gengblogger. Memandangkan cuti sekolah sudah bermula selama dua minggu, ada rakan-rakan kita yang tidak sabar membawa keluarga masing-masing balik ke kampung, menghadiri majlis kenduri kahwin atau melancong ke tempat-tempat menarik di dalam dan luar negara. Rasanya kali ini saya ingin membuat entry terbaru tentang penggunaan telefon pintar yang begitu pantas dan kerap berbanding menggunakan laptop yang semakin dilupakan. Rasanya ramai rakan-rakan yang bekerjaya seperti guru sudah pasti menggunakan telefon pintar untuk memasukkan data-data pelajar dengan menggunakan porta-Wifi yang begitu fleksibel dan lebih pantas sepeti yes, porta-Wifi Celcom, Maxis dan sebagainya. Kebanyakan dari kalangan kita mula membeli Sony Xperia Z yang sudah pasti tahan lasak serta kalis air, debu, calar dan hentakan. Yang menariknya ia dilengkapi dengan lensa kamera berevolusi 13 Megapixel yang memberikan gambar yang begitu terang pada waktu malam. Malah Sony Xperia Z ini menyokong sambungan 4G (LTE). Bagi blogger yang gemar membuat vlog boleh mencuba Sony Xperia Z. Manatahu anda boleh menyertai sebarang peraduan-peraduan yang dianjurkan oleh Nuffnang dan sebagainya yang menawarkan hadiah yang begitu menarik.

Sabtu, 20 April 2013

WeChat Yang Menyeronokkan.

Wah! bukan main seronok kawan saya menggunakan WeChat untuk berhubung dengan kawannya yang berada di Pulau-Pinang. Kalau dahulu kita berhubung dengan rakan kita dengan menggunakan SMS dan MMS, sekarang kita boleh menggunakan aplikasi WeChat yang mana kita boleh menghantar video bermesej, pesanan ringkas dan gambar foto yang menarik kepada rakan-rakan yang lebih akrab. WeChat menjadikan perbualan anda lebih menarik dan aktif dengan alunan muzik yang menyeronokkan. Yang penting anda perlu memuatturunkan aplikasi WeChat melalui Google Play dengan menggunakan iPhone, Android, Blackberry atau Symbian yang lebih pintar lagi. Yang menariknya anda boleh log in dengan menggunakan akaun Facebook anda dengan begitu cepat dan sudah pasti ramai rakan-rakan Facebook anda ingin mencuba aplikasi WeChat ini dengan begitu menyeronokkan.

Jumaat, 19 April 2013

Menempah Bilik Hotel Melalui Booking.com

Sudah pasti anda teringin untuk bercuti bersama keluarga anda dengan lebih menarik sekali terutama cuti sekolah pada bulan Mei ini. Apa kata kita gunakan booking.com yang tentu memudahkan anda untuk memilih bilik-bilik hotel yang lebih selesa untuk menginap. Memang ada potongan menarik yang ditawarkan bagi bilik hotel-hotel terpilih melalui booking.com ini. Sesuatu yang menariknya, anda boleh membuat pembatalan secara percuma sebelum 3 hari anda ingin menginap di hotel idaman anda dengan menggunakan booking.com berbanding yang lain yang akan memotong kredit secara automatik. Anda boleh menempah bilik-bilik standard atau deluxe secara mobil dengan begitu pantas dengan menggunakan booking.com. Dengan menggunakan booking.com, anda perlu memberikan data-data perihal mengenai anda dan yang paling penting sudah pasti anda memberikan data-data kad kredit anda untuk membuat pengesahan anda menginap di hotel-hotel yang terpilih di dalam booking.com ini. Jadi anda perlu menyimpan salinan pengesahan anda untuk dibawa ke bahagian kaunter kemasukan hotel nanti. Sungguh mudahkan dengan menggunakan booking.com anda boleh mendapatkan bilik-bilik hotel yang hebat dengan mengikut syarat dan terma yang telah ditetapkan.

PCB Bagi Pembayar Cukai BE.

Salam Jumaat kepada rakan-rakan Facebook, Twitter, Google+, Nuffnang X dan lain-lain. Pada bulan April ini ada rakan-rakan kita yang sibuk mengisi e-filing dan juga ada yang menghantar borang BE yang sudah menjadi sekeping berbanding sebelumnya. Tentu anda perasankan tentang PCB (Potongan Cukai Bulanan) di hujung borang BE yang baru muka surat pertama, jadi bagi pembayar cukai BE mungkin boleh meletakkan jumlah PCB dengan merujuk borang EA yang diberikan oleh majikan masing-masing. Jika anda ada tanggungan yang ramai dengan jumlah perlepasan yang begitu banyak mungkin anda berpeluang untuk mendapat balik cukai anda jika nilai PCBnya melebihi cukai yang sepatutnya anda perlu bayar. Jadi anda jangan lupa memangkah ditempat yang disediakan pada borang baru ini di kotak cukai pendapatan yang perlu dikembalikan kepada anda. Yang penting anda perlu menghantar salinan-salinan yang penting dan juga resit pembelian ubat,insurans nyawa dan pembelian rumah, buku, zakat, peralatan sukan, komputer, alat sokongan bagi orang kurang upaya (jika ada) beserta nombor akaun bank kepada LHDN sebelum berakhirnya bulan April ini. Bagi sesiapa yang mengisi e-filing, tentu sesuatu yang mudah dan cepat maklumat and diserahkan kepada LHDN pada tahun ini. Semoga tip-tip di pagi jumaat ini dapat memberi manfaat kepada rakan-rakan khususnya pembayar cukai BE.

Isnin, 18 Mac 2013

999 Di Kala Kecemasan.

Tengahari semalam merupakan detik-detik yang mencemaskan apabila berlaku kebakaran berhampiran kawasan perumahan tempat saya tinggal. Ingatkan penyemburan asap menghalau nyamuk menerpa masuk ke dalam kamar tidur saya dan saya serta isteri saya bergegas keluar untuk melihat apa sebenarnya terjadi di luar sana. Rupa-rupanya berlaku kebakaran yang begitu marak dan pantas dengan deruan angin yang begitu kuat. Jiran-jiran keluar untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku. Lalu saya tidak membuang masa menelefon 999 untuk membuat laporan kebakaran yang berlaku di kawasan perumahan tersebut. Sempat juga saya bertanya kepada jiran yang sedang memerhati dari dekat dan dia memberitahu yang dia berasa tidak sedap hati bila melihat ada pembakaran sampah disitu. Saya sempat merakamkan gambar sebagai bukti berlakunya kebakaran disitu dan ternampak beberapa orang yang berlari-lari anak membawa baldi berisikan air untuk disimbah ke api yang sedang marak itu. Kemudian sebuah kereta peronda polis sampai untuk melihat kejadian kebakaran itu dan akhirnya pihak bomba bertindak pantas mengawal kemarakan api dari terus membakar rumah yang berdekatan. Jadi banyak pengajaran yang boleh kita perolehi dari kisah ini terutama dari segi tindakan pantas dengan menelefon 999 di kala kecemasan dengan saluran yang betul. Anda perlu menggunakan pasir dan bukannya air untuk memadamkan terus api di waktu tengahari kerana air menambahkan lagi kemarakan api yang membakar daun-daun kering dan pokok buluh berhampiran. Pembakaran sampah perlu dielakkan semasa waktu tengahari atau petang dengan angin yang kuat menderu. Jadi seelok-eloknya membakar sampah di waktu pagi yang kurang berangin dan jauh dari kawasan perumahan. Semoga tip-tip yang saya berikan dalam entry kali ini memberi manfaat berguna kepada rakan-rakan Facebook, Google+ dan lain-lain.

Sabtu, 16 Mac 2013

Untungnya Mendapat Isteri Prihatin.

Nampaknya bertuahnya saya kerana isteri saya sanggup menempah Pavlova dari rakannya (cikgu) di sekolahnya untuk meraikan hari lahir saya pada tahun ini. Memang nampak istimewa pula tahun ini berbanding tahun sebelumnya. Tambahan pula isteri saya sanggup membeli lebihan kek untuk rakan-rakan sekerja untuk meraikan hari yang ditunggu-tunggu. Memang berkat doa dan restu ibu saya yang sentiasa mendoakan kebahagian kami dan memanjangkan jodoh kami walaupun ada ketika ada pasang surutnya hubungan suami isteri. Mudah-mudahan isteri saya menjadi isteri yang menyayangi diri saya dan menjadi lebih solehah. Amin. Kepada rakan-rakan terutama di Facebook, saya mengucapkan terima kasih atas ucapan anda dan juga sokongan kepada saya selama ini. Semoga umur kita panjang dan hidup kita lebih bereeti serta diberkati Allah.

Jumaat, 1 Mac 2013

Melatih Anak Ke Sekolah.

Salam kepada para pembaca dari Facebook, Blogspot, Google+, Twitter, NuffnangX dan lain-lain. Sebelum solat Jumaat ini, sempatlah juga saya mengemaskinikan entry terbaru untuk rakan-rakan semua. Memang seronok bila anak saya akan bertemu guru-guru baru pada minggu hadapan, seolah-olah ada perkara-perkara baru yang boleh dipelajarinya samada berkebolehan untuk bertutur dengan baik, pergerakan yang lebih lancar dan corak pergaulan dengan orang yang baru dikenali. Selain itu guru-gurunya akan mengajarnya lebih berdikari tanpa perlu bergantung kepada orang lain dan meningkatkan keyakinan diri di khalayak ramai. Guru-gurunya memang komited dan sentiasa membantu sekiranya ada pelajar yang mengalami masalah. Memang bagus kita melatih anak-anak kita dari peringkat yang lebih muda, ibarat melentur buluh dari rebungnya.

Sabtu, 16 Februari 2013

Berhubung Dengan Rakan Menggunakan PicSay.

Salam kepada rakan-rakan Facebook, Twitter, Blogspot, NuffnangX dan lain-lain dan selamat berhujung minggu bersama keluarga dan rakan-rakan. Sekarang banyak applikasi yang menghiburkan untuk pengguna-pengguna telefon yang boleh menghubungkan mereka dengan lebih eral lagi. Antara yang paliung menarik perhatian saya sudah tentulah applikasi PicSay yang boleh diperolehi dari ikon market dalam android dan juga Google Play secara percuma. Jadi mungkin berasa bosan menghantar mesej MMS yang sudah ketinggalan zaman, jadi anda boleh menggunakan applikasi PicSay dengan mereka gambar yang berdialog yang lebih kreatif lagi. Pasti kawan anda tidak berasa bosan membacanya dan adakalanya menjadi lebih lucu dengan gambar dan dialog yang lebih menarik lagi. Jom! kita gunakan PicSay untuk lebih menceriakan lagi di hujung minggu ini selain menggunakannya di dalam blog.

Khamis, 31 Januari 2013

Berhati-hati Dengan Panggilan Private.

Salam dan selamat makan tengahari buat rakan-rakan Facebook, Blogspot, Nuffnang, Twitter, Google+ dan lain-lain. Baru-baru ini saya menerima panggilan bertalu-talu dari nombor yang dirahsiakan. Pada permulaannya saya tidak mengendahkan langsung panggilan tersebut dan akhirnya saya dihubungi oleh agen dari sebuah bank yang seolah-olah semacam terdesak untuk mempromosikan sesuatu kepada saya. Memanglah panggilan tersebut mengganggu urusniaga saya dengan pelanggan dan saya memberitahu kepada mereka yang saya sibuk dengan kerja. Akhirnya mereka sempat juga menelefon saya dan mempromosikan apa mereka hajati. Bila saya memberitahu kepada mereka yang saya tidak berminat dengan promosi mereka itu, terdengar suara mereka seolah-olah berasa kecewa dengan respon saya. Mungkin anda pernah mengalami situasi yang berlaku kepada saya. Jadi saya mengesyorkan anda supaya berhati-hati dengan panggilan sebegini. Adakala mereka mengambil kesempatan untuk menipu atau menjadikan panggilan itu sebagai scam. Sekiranya anda menerima panggilan sebegini dari pihak bank, anda hanya perlu menjawab anda belum bersedia dan jangan sekali-kali menerima promosi tersebut. Selepas itu anda perlu menelefon pihak bank, samaada promosi itu wujud atau tidak. Jangan sekali-kali anda dedahkan butiran peribadi seperti nombor telefon melalui Facebook secara umum, begitu juga dengan nombor kad pengenalan, nombor kad kredit atau kad debit, no. pin, alamat serta password atau kata laluan bagi akaun Yahoo! anda perlu lebih selamat dan panjang dengan melebihi 15 karekter (termasuk alphabet,simbol dan nombor sukar dipecahkan oleh penceroboh). Jadi saya mengharapkan rakan-rakan diluar sana berwaspada dengan panggilan yang kita tidak ketahui samada panggilan itu scam atau tidak.

Rabu, 9 Januari 2013

Fleksibelnya Pekerja Part Time.

Pada bulan Januari 2013, banyak syarikat swasta yang melaksanakan pemberian gaji RM900 sebulan kepada pekerja swasta yang bekerja sepenuh masa. Ada juga syarikat yang mengambil pekerja-pekerja baru tetapi dijadikan mereka sebagai pekerja part time dan gaji sudah pasti mengikut jam. Ada syarikat yang menetapkan RM4 hingga RM6 per jam untuk pekerja sambilan. Mereka akan bekerja selama 4 hingga 7 jam bergantung kepada prestasi kerja dan kelapangan mereka. Ada yang bekerja selama 4 hingga 5 hari seminggu dan mereka boleh melakukan aktiviti-aktiviti luar dengan mudah bersama keluarga dan rakan-rakan mereka. Sesetengah mereka yang rajin mencari duit, mungkin bekerja lebih dua atau tiga tempat yang berbeza dan ini memberi banyak pendedahan yang lebih terutama pengalaman dan juga dapat bertemu rakan kerja yang berlainan tempat. Selain itu mereka menjadi lebih berdikari dan lebih berkeyakinan bila berdepan dengan ramai orang. (Mudahnya mendapat kerja part time semasa belajar di Lembah Klang dahulu)

Jumaat, 4 Januari 2013

Pentingnya Kereta Kedua.

Sebut tentang kereta, ramai rakan kita di luar sana memiliki sehingga dua atau tiga buah kereta mengikut kemampuan masing-masing. Bagi suami isteri yang bekerja sudah semestinya mempunyai sekurang-kurangnya dua kereta. Jadi memudahkan segala urusan kerja khususnya kerja luar tempat kerja. Bagi sesetengah kita yang sudah habis membayar segala ansuran kereta dan hayat keretanya lebih 10 tahun mungkin bercadang untuk menolak kereta lama kepada syarikat penjual kereta untuk dijadikan duit pendahuluan yang tidak dikenakan rebat. Mungkin ada yang melihat duit installmentnya serta kadar interest bank terlalu tinggi jika tiada duit pendahuluan dikenakan dan sudah pasti perbelanjaan bulanan menjadi lebih membebankan dengan insuran kereta yang begitu tinggi. Jika anda masih mempunyai hutang dengan bank berbaki lebih 5 tahun mungkin anda tidak digalakkan menukar kereta anda kepada kereta yang baru kerana mungkin anda akan mengalami lebih kerugian dengan menyusutnya kadar harganya. Ada sesetengah kita mungkin menjadikan kereta utama mereka untuk perjalanan jauh dan kereta keduanya untuk perjalanan dekat dan jimat minyak. Mungkin anda berfikir samaada berbaloi atau tidak untuk membeli kereta kedua yang lebih kecil saiznya (tiada bonet) tetapi kadar pembayaran ansurannya kepada bank menjangkau sehingga 9 tahun. Jadi anda perlulah berfikir bagaimana untuk memilih kereta kedua dengan membuat kiraan bayaran dengan tepat dan mengetahui kelebihan dan kekurangan kereta yang anda pilih.(Kalau kereta second hand yang dalam keadaan tidak meragam dan selamat di jalan raya mungkin berbaloi menjadi kereta kedua dengan kadar harganya bawah RM30K seunit)

Rabu, 2 Januari 2013

Kisah Menarik Dari Pulau-Pinang.

Seronok bercerita dengan rakan yang baru pulang dari Pulau-Pinang dan sesekali teringat kembali memori indah bersama isteri di Bukit Bendera pada tahun sebelumnya. Macam-macam kisah menarik yang boleh dijadikan teladan dan boleh menjadi panduan bagi rakan-rakan yang ingin singgah di pulau mutiara ini. Bila tengok gambar-gambar dirakamkan oleh rakan, ternampak sebuah jambatan yang baru akan siap tidak lama lagi yang menghubungkan Pulau-Pinang dengan negeri Kedah dan mengurangkan lagi kesesakan di jambatan utamanya yang menghubungkan dengan Seberang Perai. Begitulah pesatnya membangunnya negeri tersebut. Rakan saya memberitahu kepada saya yang dia terpaksa mengeluarkan duit hampir RM100 untuk membayar tol dari Ayer Hitam hingga ke Pulau-Pinang. Sememangnya jalan raya di Pulau-Pinang amatlah sibuk ketika waktu puncak dan cara pemanduan kebanyakan pemandu di sana amat berbeza berbanding di Johor yang sentiasa lebih berhemah dan berhati-hati. Mungkin mereka ingin cepat pergi ke tempat kerja walaupun terdapat banyak lampu isyarat di sana. Bila bercerita tentang hotel di sana, harga hotel bajet lebih mahal berbanding di Johor dan Melaka yang menawarkan harga yang berpatutan. Jadi tidak hairanlah kalau harga rumah teres setingkat 3 bilik dan 2 tandas boleh mencapai harga RM500K seunit berbanding harga seunit rumah di Johor yang mempunyai harga pasaran yang antara RM150K hingga RM280K. Jika anda mampu membeli rumah di sana, bolehlah anda membuat aset untuk masa depan anak-anak anda. Bila bercerita tentang makanan di sana, banyak makanan yang lazat-lazat tetapi lebih pedas seperti asam laksa, char koay teow, nasi kandar dan juga rojak. Apa yang menariknya tentang keadaan di Pulau-Pinang ada semangat mereka untuk belajar yang begitu kuat sehinggakan anak-anak mereka sentiasa pergi ke sekolah (tuisyen) tanpa mengambil cuti hujung tahun dan juga rajin berniaga serta rajin bangun pagi. (Senangnya mendapat kerja di Pulau-Pinang terutama di pasaraya, kedai dan kilang)

Hari Pertama Persekolahan.

Pagi-pagi lagi isteri saya berkemas dan bergegas ke sekolah untuk hari pertama persekolahan di sekolahnya pada hari ini. Maklumlah perlu datang awal sebelum pukul 7 pagi dan sudah pasti ramai ibubapa yang hadir di sekolah terutama ibubapa yang menghantar anak mereka untuk memasuki tahun satu. Bagi murid-murid yang naik tahun pula akan masuk ke kelas berdasarkan prestasi peperiksaan tahun lalu. Memang sibuk dan sebelum saya menghantar anak ke pengasuh sempat juga melihat MHI di TV3 yang memaparkan hari pertama persekolahan di Subang Jaya dan di Trengganu. Memang bersemangat sungguh murid-murid yang baru mula menempuh alam persekolahan pada tahun baru ini. (Teringat kembali semasa saya di Kudat, Sabah melihat anak-anak murid berkejar-kejaran semasa waktu rehat)

Selasa, 1 Januari 2013

Buka Buku Baru.

Salam semua pembaca yang budiman dan selamat menempuh cabaran-cabaran di tahun baru 2013. Maklumlah tahun 2012 sudah melabuhkan tirainya semalam dengan kenangan-kenangan manis, pahit dan bermacam-macam yang kita lalui. Nampaknya hari ini saya memulakan kerja pada shift sebelah petang dan mempunyai azam yang baru untuk mencapai target jualan yang ditetapkan. Sebelum memulakan tugas pada hari ini, sempatlah juga saya turun padang ke pasar lelong berdekatan pasaraya Tunas Manja Mersing dan sesekali singgah di deretan kedai disitu untuk membeli barang kelengkapan rumah yang baru diduduki. Rata-rata kebanyakan kita sudah membuat persediaan baru untuk tahun baru ini setelah melunaskan segala azam tahun 2012. Memang menyeronokkan bila azam tahun lepas sudah tercapai dan mendapat bonus yang begitu besar. Semoga tahun 2013 memberi tuah kepada anda semua dan menjalani hidup yang lebih sempurna dengan rezeki yang melimpah ruah. (Sampai saya terlupa bank dan pejabat kerajaan beroperasi seperti biasa pada 1 Januari 2013 di negeri Johor. Jadi senang membayar bil-bil semasa dan insuran melalui bank)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...