Pages

Khamis, 28 April 2011

Mempelbagaikan Barang Jualan Dan Perkhidmatan.


Kebanyakan premis perniagaan banyak yang berusaha untuk mempelbagaikan barangan jualan dan juga perkhidmatan untuk memberikan kepuasan maksima kepada pelanggan. Tambahan pula dengan barang yang begitu variasi dapat menarik ramai pelanggan, bukan sahaja dari setempat malah akan menjemput ramai pelanggan dari luar melalui media, perbualan dari mulut ke mulut dan juga sudah pasti melalui internet(You Tube) yang lebih pantas penyampaiannya. Memang banyak halangan untuk mendapatkan bekalan dari pembekal dengan membuka akaun melalui pengedarnya, sudah pasti seseorang peniaga mengetahui selok belok untuk mendapatkan barangan yang diperlukan oleh pelanggan. Jika peniaga hanya tertumpu kepada beberapa produk sahaja akan menyebabkan pelanggan berasa bosan dan beralih ke premis perniagaan yang memberi saingan kepadanya. Pelangganpun berasa bosan sekiranya tahap perkhidmatan masih di tahap lama dan tidak berkembang dengan begitu maju dengan mengikut kepantasan teknologi masa kini. Sayapun ada juga memerhatikan di satu premis yang masih ditahap lama dengan mengenakan harga perkhidmatan yang begitu mahal terhadap pelanggan dan keadaan premisnya tidak pernah berubah sejak 10 tahun yang dahulu hingga sekarang. Adakalanya kemudahan untuk pelanggan diabaikan, seolah-olah ingin mengaut keuntungan berlipat ganda. Seharusnya pengusaha premis perlu peka dengan permintaan pelanggan dan kemudahan untuk pelanggan datang ke premisnya. Ada juga saya perhatikan terdapat beberapa premis perniagaan yang begitu peka dengan permintaan pelanggan dan menyediakan pelbagai jenama yang hebat dan berkualiti untuk pelanggan tetapnya. Dengan memiliki kontak yang ramai, sudah pasti seseorang peniaga runcit dapat bekalan barangan yang pelbagai dengan begitu mudah sekali ditambah pula mengetahui pasaran setempat dengan begitu hebat.

Rabu, 27 April 2011

Disiplinkan Diri Untuk Lebih Maju Kehadapan.

Dalam kehidupan seharian, kita telah terdidik untuk menjadi lebih berdisiplin dan sentiasa menjaga waktu solat supaya kita tidak mudah terbabas atau lebih terleka. Disiplin itu penting terutama jika kita berkerja atau berniaga, kita perlu menepati masa dan tidak membuang masa sesuka hati seperti bermain PSP di tempat kerja sehinggakan nilai mutu kerja semakin merudum.
Majikan berasa beruntung memiliki pekerja-pekerja bawahannya yang begitu disiplin dan terlalu komited. Dengan peraturan-peraturan yang begitu ketat di tempat kerja memberi aras yang begitu tinggi untuk menghasilkan pekerja-pekerja yang begitu tinggi nilainya. Sudah pasti yang mengembirakan hati majikan, pekerja-pekerja yang memberi keuntungan besar kepada syarikat dan sentiasa memberi perkhidmatan yang begitu cemerlang terutama kepada pelanggan-pelanggan setianya.
Sebagai seorang supervisor atau line leader akan memastikan dan memantau aktiviti-aktiviti anak buahnya dengan begitu berkesan dan sentiasa memberi motivasi kepada mereka untuk menjadikan pekerja-pekerja yang lebih kompetetif dan daya tahan yang begitu tinggi. Jika mereka didapati bersalah, supervisor atau line leader akan memberi notis amaran dan jika kesalahan itu diulangi, sudah pasti hukuman yang setimpal akan diberikan untuk menjadikan para pekerja lebih berdisiplin dalam jangka masa yang panjang. Dengan penerapan disiplin di tempat kerja sudah pasti para pekerja dapat menjalankan tugas dengan komitmen yang tinggi dan sudah pasti syarikat itu akan mengorak langkah yang begitu jauh sekali.

Selasa, 26 April 2011

Berdepan Dengan Sesuatu Yang Tidak Dijangka.

Salam ceria untuk pembaca yang budiman. Apabila kita menjalani kehidupan yang begitu mencabar, sudah pasti kita akan berdepan dengan perkara-perkara yang diluar jangkaan kita. Sememangnya kita perlu membuat sebarang persediaan dan mempunyai semangat yang tinggi untuk menghadapi segala bentuk cabaran samaada fizikal dan mental. Dengan mempunyai EQ (Emotional Quality) yang tinggi disamping IQ (Intelligent Quality) sudah pasti memberi kekuatan yang begitu kukuh untuk berdepan apa-apa kemungkinan yang kita hadapi. Adakalanya kita akan berdepan dengan keadaan kawan yang suka menikam dari belakang dan sudah pasti kita sudah bersedia untuk mengatasinya dengan begitu mudah sekali. Adakalanya kita berdepan dengan bencana alam seperti banjir yang boleh menjejaskan mata pencarian kita. Kita perlu lebih kreatif untuk mencari jalan keluar jika berdepan apa-apa cabaran yang menghalang usaha kita untuk mencapai segala kejayaan di luar sana. Dengan cabaran-cabaran yang kita lalui boleh menjadikan kita lebih kuat, tabah dan matang dalam kehidupan seharian. (Tidak disangka perangai seseorang boleh berubah sekelip mata,dari yang baik kepada sebaliknya. Hanya kita yang kena bijak untuk menghadapinya)

Isnin, 25 April 2011

Mempelbagaikan Kebolehan Diri.

Salam untuk para pembaca yang dihormati. Hari Isnin yang sudah pasti banyak kerja yang menanti setelah saya bercuti di Melaka baru-baru ini. Sememangnya kita bersyukur kerana diberikan oleh Allah dengan kebolehan diri yang boleh memberi kelebihan kepada kita untuk menyara hidup sekeluarga. Memang ada para pembaca yang begitu mahir memasak dan boleh menguruskan catering dengan begitu sistematik sekali. Ada juga yang mahir mengajar anak murid dengan mengadakan tuisyen di rumah-rumah pelajar, secara tidak langsung menjana pendapatan dengan begitu mudah apabila sudah berjumpa ramai kenalan setempat. Yang paling menariknya, sekarang ini ramai belia-belia di Malaysia menceburi bidang perniagaan disamping mempelajari teknik-teknik jualan dan pemasaran. Dengan kebolehan berurusan dengan pelanggan tanpa rasa kekok, mahir menghafal harga dan produk-produk dan berkebolehan bercakap dalam pelbagai bahasa memberi nilai tambah yang begitu tinggi bagi belia-belia yang meminati bidang perniagaan. Baru-baru ini saya terserempak dengan belia wanita Melayu yang mahir berbahasa asing yang memudahkan pelanggan berurusan dengannya. Mungkin inilah yang dicari oleh para majikan yang memerlukan pekerja yang boleh bercakap dalam pelbagai bahasa dan mempunyai kemahiran yang lain seperti menulis blog, berkebolehan mencari ramai kenalan baru, bermain alat-alat muzik dan sebagainya. Sememangnya dengan mempelbagaikan kebolehan diri boleh memberi kemajuan untuk diri kita pada masa yang akan datang yang lebih mencabar. (Rasa kagum dengan kebolehan seseorang yang pandai membaiki kereta, mesin pemprosesan dan boleh membawa pelbagai kenderaan seperti bas, lori dan kontena)

Jumaat, 22 April 2011

Perlu Bijak Menilai Dan Membuat Keputusan Dengan Begitu Pantas Dan Tepat.


Salam untuk pembaca yang budiman. Sementara kita menunggu solat jumaat, saya ingin mencoretkan sesuatu di blog ini. Dalam kehidupan yang semakin pantas ini disamping meledaknya dunia globalisasi dan dunia siber, kita perlu merencanakan kehidupan kita dengan begitu bijak dan perlu membuat sesuatu keputusan dengan begitu tepat dan pantas. Mungkin dulu, anak-anak remaja kurang pendedahan dengan teknolgi maklumat, jadi pada masa yang akan datang kita sebagai ibubapa perlu lebih peka dengan keadaan teknologi yang begitu pantas berkembang yang boleh mempengaruhi minda anak-anak kita.
Begitu juga bagi mana-mana individu yang terlibat dalam bidang perniagaan perlu lebih pantas membuat keputusan yang begitu bijak untuk mengelakkan perniagaan itu terus jatuh jika berdepan dengan persaingan yang begitu sengit. Kita yang dilahirkan sebagai peniaga perlu bijak menilai dan membaca keadaan di luar sana. Malah peka dengan keadaan masyarakat setempat dan juga perkembangan dunia semasa. Bukan kita fokus kepada kerjaya sahaja, kita perlu mempelajari pelbagai maklumat samaada teknologi, bahasa, agama, hubungan sosial dan sebagainya.
Saya juga berdepan dengan pemilihan barang-barang yang perlu dijual di premis jualan saya dengan begitu tepat dan menjadi pilihan pelanggan di luar sana. Memang banyak aspek yang perlu saya dalami dan perlu berbincang dengan rakan-rakan yang sealiran dalam bidang perniagaan. Dengan pengalaman yang ada mungkin memberikan kelebihan untuk membuat keputusan yang begitu bermakna untuk memastikan hasilnya mendatangkan kejayaan yang lebih positif. Bukan mudah kita perlu membuat keputusan dengan bijak, tepat dan pantas tanpa rujukan dan perbincangan dengan orang yang mahir dalam perniagaan.

Rabu, 20 April 2011

Kerja Berpasukan Mendatangkan Impak Yang Lebih Besar.


Memang tidak dinafikan kerja berpasukan lebih memberikan kesan yang begitu maksimum untuk mendapatkan hasil jualan yang begitu memberangsangkan. Jika hati begitu kuat untuk bersatu dengan pekerja yang lain tanpa rasa sangsi dan syak wasangka, pasti matlamat yang kita ingin tujui akan mencapai kejayaan gemilang. Bukan semua hasil jualan yang banyak dapat dihasilkan dengan mudah sekiranya ada segelintir dari pekerja-pekerja dalam pasukan yang belot atau suka membuat sabotaj menjadi sesuatu matlamat itu menjadi lebih sukar untuk dicapai. Ada segelintir ahli-ahli yang mungkin berpaling tadah dan sentiasa memberi sokongan kepada syarikat pesaing yang lain. Mungkin orang-orang yang sebegini, kita perlu mencari jalan alternatif untuk mengatasinya dan mungkin tidak perlu terlibat dalam mana-mana aktiviti roadshow di luar premis. Sesetengah majikan perlu lebih peka dengan perkembangan ahli-ahli syarikatnya yang sentiasa membantu menaikkan hasil jualan bagi sesebuah premis dan secara tidak langsung akan membantu untuk membina cawangan baru di tempat yang begitu berpotensi. Untuk mendapatkan pekerja-pekerja yang berpotensi dalam kerja berpasukan, pihak atasan mungkin mempunyai cara untuk mencari dan menapis calon-calon pekerja yang begitu berbakat dan sentiasa berusaha untuk lebih maju lagi. Dalam kerja berpasukan dalam bidang perniagaan ini,sudah tentu ada ketua yang lebih arif dan tahu bagaimana untuk mendapatkan link-link yang begitu berpengaruh dan membantu meningkatkan hasil jualan. Ahli-ahli yang lain yang bertindak sebagai runner akan membuat gerakkerja secara agresif dengan pergi berjumpa klien-klien di luar premis dan membawa lebih ramai pelanggan masuk ke dalam premis jualan. Dengan kerjasama yang begitu padu dan bekerja dalam satu pasukan sudah pasti memberi kejayaan yang gemilang untuk lebih maju lagi dalam bidang perniagaan. (Menunggu lebih graduan-graduan lepasan universiti yang berbakat menceburi bidang perniagaan yang boleh memacu ekonomi negara Malaysia)

Ahad, 17 April 2011

Mendalami Sistem Francais.

Bagi graduan-graduan yang meminati bidang bisnes, anda perlu mendalami sistem francais yang dapat memberi manfaat yang begitu besar dalam mengembangkan pengaruh jenama yang terhebat di tempat sendiri. Sistem ini sudah pasti berbeza dengan sistem MLM yang sudah lama bertapak di Malaysia. Dengan jenama yang cukup gah dan berkembang pesat seperti Mc Donald, Marrybrown, KFC dan lain-lain, sudah pasti produk-produknya dapat dijual dengan mudah kepada pelanggan-pelanggan yang sentiasa memerlukan. Untuk menceburi perniagaan secara francais sudah pasti modal yang besar diperlukan untuk membuka cawangan baru dan sentiasa berhubung dengan franchaisor yang begitu berpengalaman luas dalam penjualan produk-produk tersebut kepada para pelanggan. Sudah pasti anda boleh mencari kenalan-kenalan yang begitu berpengaruh di tempat anda untuk mempromosikan produk-produk dengan begitu pantas dan mendapatkan hasil yang begitu positif. Bukan mudah untuk mendapatkan keuntungan yang begitu besar dengan kadar yang pantas, adakala kita perlu mempelajari dari bawah dahulu sebelum kita memperolehi apa yang kita hajati selama ini untuk menjadi usahawan yang lebih gemilang. Hanya usaha yang keras dan lebih sistematik dapat membantu menjayakan bidang bisnes secara francais.

Masa Itu Emas.


Bila kita mengingati ungkapan masa itu emas, sudah pasti kita yang sudah berkeluarga ingin merancang masa dengan begitu baik sekali bersama keluarga, rakan sekerja dan saudara-mara. Semakin meningkat umur, saya terasa masa bergerak dengan begitu pantas sekali. Seolah-olah memberi gambaran bahawa jika saya sia-siakan masa tersebut, saya akan berasa rugi terutama bila bersama dengan isteri dan anak. Ibarat kita mecurahkan air yang begitu jernih ke dalam longkang jika kita tidak menghargai masa. Bukan senang kita mengatur masa dengan begitu fleksibel. Adakalanya bertembung dengan aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat besar dalam kehidupan kita. Memang semakin lama kita sibuk bekerja sampai tiada masa bersama keluarga dan juga meluangkan masa dengan masyarakat setempat. Dengan menggunakan masa dengan baik, kita dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti. Cuba kita ambil masa dalam beberapa minit untuk berehat seketika dan memikirkan apa yang kita buat untuk pada masa akan datang. Sesekali kita bertafakur dan juga mengambil masa untuk muhasabah diri. Selepas itu barulah kita boleh merangka apa-apa rancangan kita terutama bersama dengan keluarga kita setelah penat bekerja. Saya mengakui adakalanya rehat saya terganggu jika ada perkara-perkara yang melibatkan urusan perniagaan. Jika saya tidak mengendahkannya, sudah pasti saya terlepas peluang untuk berjumpa prospek yang memberi manfaat besar dalam bidang perniagaan. Sudah pasti masa itu amat bernilai supaya apa-apa sasaran yang kita kehendaki tidak tersasar jauh dari yang sepatutnya. (Masa dan nyawa memang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit)

Sabtu, 16 April 2011

Mengenali Hati Dan Budi Seorang Yang Baru Dikenali.

Mungkin mudah bagi sesorang yang lebih arif menilai seseorang yang baru dikenali dengan melihat cara dia menulis, cara dan lenggok dia bercakap dengan melihat gerak matanya (samaada ikhlas ataupun tidak) dan cara tingkah lakunya samada dia lebih serasi ataupun tidak. Malah dengan melihat body language seseorang yang baru dikenali dapat memberi gambaran yang dia selesa berkerjasama ataupun tidak. Ada sesetengah orang yang sukar memahami karekter seseorang yang baru dikenali (mungkin misteri) dan mengambil masa untuk mengetahui apa muslihat didalam hatinya. Bukan senang kita mencari kawan yang boleh menangis bersama dan ketawa bersama. Begitu juga kalau kita sukar untuk mencari pekerja baru yang betul-betul memberi komitmen yang begitu tinggi dan mempunyai minat yang mendalam dalam jurusan yang diceburi. Adakala kita perlu mengetahui latar belakang keluarganya, keturunan dan juga sejarahnya untuk menerimanya sebagai kenalan baru. Jika anda ditempatkan ke tempat yang belum anda pergi, mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan diri dan perlu mengenali orang-orang yang baru anda temui. Mungkin ini suatu cabaran bagi graduan-graduan yang ditempatkan di tempat baru dan terpaksa menguruskan cawangan premis-premis perniagaan. Sememangnya graduan-graduan yang baru ditugaskan memerlukan seorang penasihat atau mentor untuk memberi tunjuk ajar dan mengetahui selok belok perniagaan disitu. Mereka sudah pasti ingin mengetahui keadaan pelanggan-pelanggan yang baru dikenali dan mereka harus pintar mengetahui hati budi seseorang pelanggan dan pengedar di tempat mereka. (Bukan sehari dua kita mengenali kawan, adakalanya mengambil bertahun-tahun mengetahui hati budi samaada dia ikhlas berkawan dengan kita ataupun tidak)

Menyertai Roadshow.

Elok juga anda terlibat dengan roadshow yang dianjurkan oleh syarikat anda untuk mempromosi sebarang produk-produk dan perkhidmatan kepada pelanggan anda di luar premis jualan anda di tempat tumpuan orang ramai seperti di pasaraya-pasaraya terkenal. Dengan adanya roadshow ini, anda boleh mengambil kesempatan untuk mengenali lebih dekat pelanggan-pelanggan anda di luar sana. Banyak manfaat jika anda sendiri memberanikan diri anda untuk mengambil bahagian dalam roadshow ini. Secara tidak langsung hubungan yang lebih erat atau lebih chemistry dengan rakan-rakan seperjuangan anda. Mungkin anda boleh menonjolkan kreativiti anda untuk menarik minat para pengunjung untuk mencuba produk-produk atau perkhidmatan yang ingin anda perkenalkan. Jangan malu apabila bertemu ramai orang. Anda perlu sentiasa lebih peka dari segi peralatan di situ dan juga promosi yang anda berikan kepada pelanggan anda. Dengan komitmen anda yang tinggi dalam roadshow tersebut, InsyaAllah segala objektif akan tercapai.

Jumaat, 15 April 2011

Mencapai Sasaran Jualan.


Salam untuk para pembaca yang dihormati. Saya tertarik cara penjualan dari jurujual yang mempromosikan barangan di premis jualan di tempat saya bekerja. Dengan kepetahannya bercakap mengenai produk yang ingin dijual kepada pelanggan memberikannya bonus untuk mencapai sasaran jualannya dan secara tidak langsung akan menambah komisyennya untuk meraih pendapatan yang tertinggi sekiranya penjual tersebut dapat menghabiskan produk yang diberikan oleh syarikatnya. Mungkin juga ada backup yang turut serta dapat memberi keyakinan pada dirinya untuk bertemu dengan pelanggan. Memang saya memuji cara dia mendekati pelanggan dan cara berunding tanpa rasa kekok sekali. Mungkin jurujual ini sudah berlatih bercakap di depan cermin dan kurang minum teh yang boleh menyebabkan seseorang itu sentiasa tersasul bercakap dengan pelanggan. Saya memang suka memerhati jurujual dari jarak jauh dan belajar bagaimana mereka dapat menjual produk yang sudah pasti bernilai tinggi seperti penjualan mesin, makanan kesihatan, telefon bimbit atau peranti-peranti yang begitu terkini kepada pelanggan mereka. Adakala mereka ada membuat kajian ke atas pelanggan yang selalu menolak produk mereka disebabkan mereka tidak mudah terpengaruh atau rasa tertipu jika sudah membeli produk mereka. Kebiasaannya jurujual ini tahu selok-belok untuk meyakinkan pelanggan mereka membeli produk mereka. Bukan sesuatu yang mudah untuk mencapai sasaran jualan jika kita tidak berusaha untuk mempelajari teknik-teknik terbaru serta minat yang mendalam dalam bidang perniagaan.

Rabu, 13 April 2011

Berfikiran Positif.

Salam untuk pembaca yang dihargai. Memang sudah lama saya tidak mencoret sesuatu di dalam blog ini disebabkan kesibukan dan saya banyak memberi tumpuan kepada keluarga saya. Sebelum ini banyak tempat saya singgah dan banyak pembaharuan di sesuatu tempat khususnya di Melaka dan Kluang, Johor. Sememang jika kita bersama-sama dengan rakan seperjuangan dalam bidang bisnes ini, perlu berfikiran positif dan cuba mengelakkan sebarang prasangka yang lebih negatif kepada rakan sekerja. Adakala kita perlu lebih banyak berfikir dan menilai lebih dalam lagi apabila berdepan dengan tindakan rakan seperjuangan dalam bisnes. Mungkin kita rasa tidak selesa atau tidak serasi jika tindakannya di luar jangkaan kita. Baru-baru ini mungkin saya berasa hairan mengapa ada polis bantuan yang perlu berkawal di luar premis jualan di tempat saya bekerja dan rakan saya dipanggil untuk membantu perkara-perkara yang perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin di luar premis ini. Mungkin ada perkara-perkara yang memberikan keadaan yang lebih positif dan dapat meningkatkan keselamatan di dalam premis jualan tempat saya bekerja ini. Sebelum ini memang banyak perkara-perkara yang negatif yang berlegar-legar dalam pemikiran saya. Setelah perbincangan dengan rakan sekerja, barulah saya faham keadaan yang sebenar. Sememangnya kita perlu lebih berfikiran positif dan perlu buang sifat-sifat yang negatif dalam diri kita apabila kita berada dalam bidang perniagaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...