Pages

Khamis, 31 Mac 2011

Berani Membuat Perubahan Untuk 2011.

Nampaknya 2011 memberi tamparan yang hebat kepada saya untuk melakukan sesuatu perubahan yang begitu besar dan menuntut saya bekerja lebih keras untuk pergi jauh dalam bidang perniagaan ini. Mungkin dengan semangat yang sedia ada dan sokongan rakan-rakan seperjuangan dapat memberi suatu suntikan yang begitu baik untuk berdepan pelbagai cabaran yang menanti dalam tahun ini. Sememangnya saya tidak boleh leka dan mudah berasa dalam zon selesa dalam bidang ini. Saya rasa perlu keluar dari kepompong yang menyekat saya untuk pergi lebih jauh dalam bidang perniagaan. Bukan mudah seseorang peniaga untuk melangkah lebih jauh tanpa bimbingan rakan-rakan yang lebih berpengalaman dalam bidang ini. Saya rasa perlu membuat sesuatu untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku pada masa akan datang. Dalam dunia yang lebih mencabar dan sentiasa pantas, kita perlu cepat belajar dan mempunyai sifat berdaya saing dengan pesaing-pesaing yang lain.

Menghargai Pelanggan.

Bagus juga premis Maxis, Mersing ini membuat cabutan bertuah dan jamuan untuk para pelanggannya. Sekurang-kurangnya ada aktiviti yang boleh mengeratkan lagi hubungan para pekerja Maxis dengan pelanggan-pelanggannya di sekitar bandar Mersing. Walaupun ada yang tidak menang dalam cabutan bertuah, sekurang-kurangnya mereka dapat menjamu makanan dan minuman disitu. Ada baiknya juga premis-premis perniagaan yang lain boleh mengikut cara Maxis Mersing menghargai pelanggan mereka dengan cara yang berlainan. Memang seronok juga dapat beramah mesra dengan pelanggan-pelanggan yang hadir untuk mengetahui cabutan bertuah tersebut. Kita yang dilahirkan sebagai seorang peniaga boleh membuat pelbagai aktiviti-aktiviti yang boleh mendekatkan diri dengan pelanggan seperti membuat roadshow atau mengambil bahagian di dalam karnival yang dianjurkan oleh majlis perbandaran atau daerah. Sememangnya pengalaman bertemu pelanggan jangan disia-siakan dan perlu lebih proaktif untuk memperkenalkan diri kita kepada masyarakat setempat. Kenapa kita harus malu untuk membuat aktiviti-aktiviti yang lebih memberi manfaat kepada kita dan juga untuk pelanggan yang lebih dihargai. Sudah pasti kita perlu lebih merangka lebih banyak strategi-strategi untuk membuat sesuatu yang lebih bermakna untuk menghargai pelanggan terutama pelanggan tetap yang sentiasa memberi sokongan kepada kita.

Rabu, 30 Mac 2011

Berdepan Dengan Harga Barang Yang Semakin Meningkat.

Memang tidak dinafikan tahun ini harga barang semakin meningkat dengan kenaikan harga petrol semasa dunia. Dengan pergolakkan politik di Asia Barat dan bencana yang menimpa di Jepun memberi kesan mendadak kepada harga barang. Bayangkan baru-baru ini saya terperanjat bila mengetahui ada harga-harga ubat terutama harga pil perancang naik dengan begitu mendadak. Kemungkinan kos pembuatannya dan penghantarannya meningkat dengan kenaikan harga petrol yang menyebabkan harga jual pil tersebut meningkat dan memberi bebanan kepada pelanggan. Mungkin jika kita sebagai peniaga tidak sekali-kali mengambil kesempatan kepada pelanggan dengan alasan harga petrol meningkat secara mendadak di pasaran dunia. Sebagai peniaga, kita perlu cari alternatif lain untuk mengelakkan harga jualan sesuatu barang meningkat dengan begitu pantas.

Isnin, 28 Mac 2011

Keserasian Bersama Rakan Sekerja Semasa Urusniaga Dengan Pelanggan.

Memiliki rakan sekerja yang begitu serasi dan mempunyai chemistry yang bagus membantu untuk meningkatkan jualan di premis jualan. Dengan kerjasama yang begitu baik dari rakan sekerja memberi kesan kerja yang lebih positif, dinamik dan memberi kekuatan kepada saya untuk berurusan dengan pelanggan di tempat saya bekerja. Bukan senang untuk mendapatkan rakan-rakan sekerja yang boleh memberikan semangat berniaga yang begitu tinggi dan serasi bekerja bersama untuk memajukan premis jualan untuk berkembang dengan begitu baik sekali. Memang tidak dinafikan saya pernah berdepan rakan sekerja yang membuat perangai tetapi saya masih mempunyai kekuatan untuk bangkit mengatasi masalah tersebut. Dalam halatuju sesebuah premis jualan yang ingin mendapatkan jualan yang lebih memberansangkan, sudah pasti gandingan yang mantap dari rakan-rakan sekerja dapat membuahkan hasil yang lebih baik lagi. Hubungan baik dengan pelanggan yang sedia ada juga merupakan faktor terpenting untuk meningkatkan jualan di premis jualan. Yang pasti perkhidmatan terbaik yang diberikan oleh rakan-rakan sekerja kepada pelanggan merupakan tarikan utama pelanggan datang ke premis jualan dengan ditambah pula memiliki ilmu pengetahuan tentang banyak produk di dalam premis jualan. (Tumpang seronok bila melihat rakan sekerja dapat menjual barangan yang bernilai tinggi seperti menjual vitamin, alatan sokongan dan peralatan diagnostik yang dapat membantu meningkatkan jualan ditempat kerja)

Selasa, 22 Mac 2011

Bandingkan Harga Sebelum Membeli.

Sekarang banyak persaingan antara premis jualan dengan premis jualan yang lain. Ada sesetengah pengguna yang bijak akan memeriksa harga dan membandingkan harga sebelum membeli barang secara pukal dengan merujuk melalui promosi jualan melalui surat khabar dan pergi dari outlet ke outlet yang lain. Malah ada antara mereka yang suka mencatitkan dalam buku kecil dan yang paling canggihnya ada yang menyimpan segala data harga produk-produk tertentu di dalam telefon pintar seperti Blackberry atau HTC. Sudah pasti dengan kepintaran pengguna dapat memilih produk-produk yang terbaik dengan harga yang berpatutan dari premis-premis jualan yang mengadakan promosi jualan. Bayangkan sekarang semakin ramai pengguna yang bijak dapat memberitahu kepada rakan yang lain yang mana premis yang menawarkan harga terendah dan memberikan perkhidmatan serta barangan terbaik. Malah mereka akan mengecop premis-premis jualan yang mengenakan harga yang sangat mahal dan mengambil kesempatan kepada pengguna-pengguna yang lain. Pengguna sebegini akan menasihati kepada rakan-rakan mereka supaya tidak mengunjungi premis-premis jualan tersebut. Sememangnya dengan adanya laman sosial yang begitu popular di Malaysia dapat mempercepatkan penyebaran maklumat tentang harga yang ditawarkan oleh sesebuah premis jualan.

Isnin, 21 Mac 2011

Persediaan Lebih Awal.

Dalam dunia yang lebih mencabar terutama bagi sesiapa yang terjun dalam bidang perniagaan sudah pastinya masa adalah penting untuk diisi dengan perkara-perkara yang boleh menguntungkan syarikat atau premis jualan. Dengan membuat persediaan lebih awal dapat melicin perjalanan sesuatu urusniaga yang lebih cemerlang. Saya sendiri perlu membuat rancangan terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu urusniaga di tempat kerja. Jika sebelum ini saya melihat tarikh pembayaran kepada pembekal di dalam buku log dapat memastikan aliran tunai menjadi lebih licin lagi dan mengelakkan sebarang faedah dikenakan oleh pembekal. Sekarang sudah pasti rakan sekerja yang mengambil alih tentang pembayaran kepada pembekal. Sebelum memesan barangan kepada pembekal, kita perlu melihat barang yang tiada atau kurang di premis jualan. Jika kita lalai atau leka sudah pasti kita akan mengalami keputusan barang terutama barang wajib di dalam premis jualan. Selain itu mata kita perlu lebih tajam dengan memerhati barang yang akan mencapai tarikh luput dan perlu menjual dan membuat promosi jualan besar-besaran kepada pelanggan supaya barang itu tidak terbuang atau gagal diserahkan kepada pembekal. Dengan cara ini kita dapat mengurangkan kerugian syarikat atau premis jualan. (Paling membimbangkan sudah pasti staf perlu membayar barangan yang sudah hampir tarikh luput dan ini memberi tekanan kepada pekerja dengan menggunakan duit sendiri atau pemotongan gaji)

Jumaat, 11 Mac 2011

Pandai Tawar-Menawar.


Sebagai seorang pelanggan atau pengguna, kita seharusnya menggunakan kelebihan kita untuk tawar-menawar di premis perniagaan untuk mendapatkan harga yang begitu rendah untuk sesuatu barangan. Sekiranya anda berada di Pantai Timur, banyak premis perniagaan yang menarik ramai pelanggan dengan cara tawar-menawar supaya pelanggan tidak lari dan pergi ke premis yang lain. Dengan potongan harga yang munasabah untuk sesuatu barangan dapat membantu para pelanggan berbelanja dengan berhemah dan sudah pasti merancakkan lagi urusniaga di premis tersebut. Walaupun margin keuntungan yang diperolehi oleh peniaga tidak tinggi, namun masih dapat bersaing dengan premis-premis yang berdekatan dan mungkin dapat memberikan kesan yang positif dari segi hubungan peniaga dan pelanggan. Saya masih teringat kawan baik saya yang pergi melancong ke Beijing, China. Di sana dia memberitahu kepada saya bahawa ramai juga pelancong yang tawar-menawar dengan peniaga untuk mendapatkan harga terendah bagi mendapatkan cenderahati untuk sahabat handai mereka. Jika pandai mendapatkan harga terendah dengan cara membeli secara borong, sudah pasti pelanggan itu berasa puas dan akan memberitahu kepada rakan-rakan yang lain untuk membeli barangan disitu. Secara tidak langsung peniagaan di sesuatu premis itu akan maju dan boleh pergi lebih jauh lagi dalam bidang perniagaan.

Rabu, 9 Mac 2011

Berani Mempromosikan Diri.

Baru tahun inilah saya dan klik saya membuat kerja promosi di luar kedai untuk mempromosikan kad member dan faedah-faedah jika menjadi ahli. Dengan cara ini kita dapat merapatkan hubungan dengan pelanggan di luar sana. Memang mencabar juga untuk berjumpa dengan pelbagai klien di luar sana. Dengan mengetahui dan belajar dari orang yang lebih berpengalaman dalam bidang pemasaran, sudah pasti kita rasa teruja untuk mencuba perkara yang baru di dalam perniagaan. Banyak juga kajian yang perlu kita buat sebelum berjumpa prospek kita di luar sana. Dengan keserasian dengan rakan sekerja yang pergi bersama dengan saya, mungkin dapat melicinkan lagi proses berjumpa dengan klien dan dapat menerangkan apa promosi yang kita tawarkan kepada mereka. Rasanya, InsyaAllah saya akan merancang untuk berjumpa klien seterusnya di luar premis perniagaan dan akan merangka lebih luas lagi untuk mendapatkan pelanggan yang lebih ramai lagi pada tahun ini dan seterusnya. (Teringat kata rakan yang belajar di Jabatan Farmasi Universiti Malaya- Diri kita yang sepatutnya berubah jika ingin maju)

Isnin, 7 Mac 2011

Tak Muda Tak Tua.

Rasanya ada beberapa hari lagi saya akan menyambut hari lahir pada tahun ini. Bila sudah meningkat usia, rasanya memang malu untuk memberitahu kepada umum dan ada rakan saya yang begitu berahsia memberitahu umur sebenar mereka sekiranya mereka sudah memiliki anak yang ramai atau anak mereka sudah bersekolah. Tidak salah memberitahu umur kita kepada rakan sekeliling supaya mereka lebih prihatin keadaan diri kita yang sebenar. Rasanya taklah terlalu tua sangat dan taklah terlalu muda sangat jika umur kita menghampiri umur 40 tahun. InsyaAllah manalah tahu rezeki kita lebih mencurah-curah semasa umur kita semakin matang dengan kebolehan yang kita ada. Mungkin pengalaman yang begitu banyak kita tempuhi memberi nilai yang begitu tinggi dalam kehidupan kita yang semakin mencabar pada masa akan datang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...