Pages

Selasa, 27 September 2011

Kemudahan Menggunakan Easy Payment.

Salam untuk para pembaca yang dihargai. Rasanya sudah dua hari, saya tidak mengemaskinikan blog saya kali ini disebabkan banyak kerja yang perlu dibereskan dan baru lepas sembuh dari demam misteri. Alhamdulillah sempat juga saya mencuri sedikit masa untuk mencoretkan sesuatu di blog. Ramai rakan-rakan kita sudah tahu menggunakan perkhidmatan Easy Payment untuk membeli barang-barang yang sudah tentu mahal harganya. Mungkin anda rasa terbeban untuk membayar harga yang sudah pasti mahal dan adakala mencecah ribuan ringgit dalam masa sekelip mata. Dengan Easy Payment, mungkin dapat meringankan beban bayaran dan anda hanya perlu membayar kepada bank tersebut secara ansuran dalam tempoh setahun hingga 2tahun dengan membayar perkhidmatan bank tersebut dengan kadar yang berpatutan. Mungkin anda bimbang jika anda dikenakan bunga yang tinggi, anda boleh mencuba perkhidmatan Easy Payment dengan mengikut prosedur-prosedur yang telah disediakan oleh bank tersebut. Sebelum anda ingin membuat Easy Payment, sudah pasti anda mencari premis-premis perniagaan yang menerima pembayaran secara Easy Payment dan anda perlulah berunding dengan jurujual atau peniaga dengan sebaik mungkin jika anda berkenan untuk membeli barang-barang yang sudah pasti mahal. Dengan cara pembayaran Easy Payment ini mungkin aliran duit anda menjadi lebih sistematik dan anda perlu bijak mengawal perbelanjaan anda sebaik yang mungkin tanpa membeli barang-barang yang tidak berfaedah.

Sabtu, 24 September 2011

Kaya Dengan Makanan Dan Minuman.

Salam untuk para pembaca yang dihargai. Alhamdulillah akhirnya sempurna juga majlis jamuan hari raya di kedai tempat saya bekerja ini pada sebelah petang semalam. Tak sangka ramai juga yang datang terutama rakan-rakan dari Jabatan Maritim, Bank Islam dan Maxis. Banyak juga makanan seperti sate, meehon, popiah kering, mee goreng, kueh raya dan banyak lagi. Sampaikan saya tak termakan-makan sebab kekenyangan. Ditambah pula saya menghadiri jamuan yang dianjurkan oleh balai polis Mersing. Memang banyak juga juadah-juadah yang disediakan oleh kakitangan balai polis Mersing. Yang saya tak dapat lupa sudah pasti udang harimau yang dibakar dan juga nasi kerabu beserta ikan aya. Memang sedap dan ramai juga orang yang singgah untuk menghadiri jamuan di balai polis tersebut. Pada hari semalam merupakan hari yang sudah pasti ditunggu-tunggu oleh para pelanggan kami. InsyaAllah tahun hadapan saya dan rakan-rakan akan membuat jamuan Hari Raya yang lebih bermakna untuk para pelanggan yang setia dengan kami.

Khamis, 22 September 2011

Cuba Lagi!

Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tanpa jemu menyokong pasukan Malaysia, Harimau Malaya yang kalah kepada pasukan gergasi Asia, Japan (2-0). Kita sudah mengetahui juara Piala Asia, Jepun mudah sahaja merembatkan gol terutama gol yang kedua walaupun kita memiliki penjaga gol yang berkualiti, Khairul Fahmi. Mungkin disebabkan kurangnya serangan di pintu lawan, banyak bertahan dan rapuhnya benteng pertahanan pasukan Malaysia menyebabkan pintu gol Malaysia mudah dibolosi oleh lawan yang begitu bagus. Kalau dilihat pada perlawanan kedua, nampak macam langit dan bumi dari segi persembahan pasukan Malaysia berbanding lawannya. Mungkin pendedahan kali kedua ini dapat menyedarkan pasukan Malaysia untuk berlatih dengan begitu gigih lagi untuk memperbaiki ranking dalam FIFA. Kita, sebagai rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada pasukan kita yang akan menentang Australia dalam waktu yang terdekat ini. Dari segi keputusan semalam, memang sepatutnya keputusannya berpihak kepada pasukan Jepun yang mempunyai skil-skil yang bagus dan mempunyai ketajaman mata dan otak untuk menguasai dan membaca keadaan permainan pasukan Harimau Malaya yang mungkin nampak kepenatan dan teragak-agak memberi bola kepada rakan-rakan yang lain.

Selasa, 20 September 2011

Kebersihan Yang Perlu Dijaga.

Sebelum kita singgah di rumah rakan-rakan kita, sudah pasti kita ingin melihat tandasnya dahulu. Bila kita tengok tandasnya memang bersih, memang kita cop dia sebagai seorang yang pembersih. Kalau sebaliknya, mungkin macam-macam andaian negatif kita kepada rakan-rakan kita. Tetapi adakala kita tidak mahu merosakkan hubungan yang terjalin dengan rakan-rakan kita selama ini, sudah pasti kita ambil jalan selamat untuk menyedarkan kebersihan itu amat dituntut dalam agama Islam. Memang tempat kerja yang bersih sudah pasti memberi kesan yang begitu positif dengan meningkatkan prestasi dan produktiviti syarikat. Sesekali kita kenalah peka dan rajin untuk membersihkan tempat kerja tanpa mengharap bantuan rakan-rakan sekerja. Jika kita di bahagian front dalam bisnes sudah pasti kebersihan diri dan tempat kerja diambilkira dan memainkan peranan yang besar untuk menarik ramai pelanggan berurusan dengan kita. Kebersihan itu sebahagian dari iman kita dan sudah pasti kita berusaha untuk menjadi orang yang peka dengan kebersihan. Malah hati kita perlu bersih tanpa rasa hasad dengki dan perasaan yang negatif yang melingkari dalam diri kita. Sesekali kita rajin membaca Al Quran, bertasbih, istigfar, berselawat keatas nabi dan mengerjakan solat untuk membersihkan hati yang kotor. Dengan kita membaca Al Quran sekerap yang mungkin dapat membersih dan melembutkan hati yang keras. Kita yang beragama Islam sudah pasti mengambilberat tentang kebersihan. Tak kiralah ditempat kerja, rumah dan yang penting hati kita perlu lebih bersih lagi tanpa sebarang sifat-sifat negatif yang bersarang dihati.

Panggilan Haji.

Salam untuk para pembaca yang dihargai. Memandangkan tidak lama lagi ramai jemaah haji termasuk ibubapa saya bakal menunaikan fardhu haji di Mekah dan Madinah. Sebelum ini memang sudah lama ibubapa saya menunggu untuk mendapat kebenaran dari Tabung Haji dan akhirnya termakbul juga doa mereka. Sebelum pergi kesana, sudah pasti banyak kursus haji yang perlu dipelajari oleh bakal-bakal haji pada setiap hujung minggu dan yang terbaru ibubapa saya sempat mengikuti latihan di Universiti Teknologi Mara Skudai, Johor. InsyaAllah dalam waktu yang terdekat ini, ibubapa saya akan berlepas ke sana dan mudah-mudahan mereka mendapat haji mabrur. Sayapun sempat juga melihat begitu ramai bakal-bakal jemaah haji yang berkumpul di Tabung Haji, Muar baru-baru ini. Ramai antara mereka yang begitu bersemangat untuk menunaikan fardhu yang kelima ini dan banyaklah persediaan termasuk ilmu-ilmu mengenai haji dan pakaian-pakaian ihram yang perlu sebelum bertolak ke sana. Memang banyak urusan dengan Tabung Haji yang perlu dilalui oleh bakal-bakal haji. Sebagai anak, sudah pasti kita akan mengiringi ibubapa yang akan menunaikan haji di Mekah dan Madinah dan sesekali kita hulurkan sedikit wang dan persediaan seperti krim pelembap, ubat-ubatan dan sebagainya untuk ibubapa kita. Kita mendoakan bakal-bakal haji dari Malaysia dapat pergi kesana dan pulang ke Malaysia dalam keadaan selamat dan mendapatkan haji mabrur.

Malaysia vs Jepun.

Ramai yang tak sabar untuk menonton Astro esok dengan kehadiran pasukan bolasepak kita yang menjadi wakil dari Asia Tenggara yang layak ke pusingan kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang akan menentang gergasi Asia, Jepan di Stadium Tosu, Fukuoka, Jepun. Kita sudah pasti mengharapkan anak buah Ong Kim Swee dapat memberikan persembahan yang menarik dan dapat menyaingi lawan yang begitu besar. Kemungkinan kita mengharapkan seri yang boleh memberi satu mata untuk memberi suntikan yang lebih padu untuk perlawanan yang berikutnya. Kita berharap dengan corak permainan pasukan Malaysia yang begitu pantas dan sentiasa mengawal pihak lawan sudah pasti memberi tekanan kepada mereka. Bukan senang untuk mengekang pasukan gergasi seperti pasukan Jepun. Dengan berbekalkan pengalaman sebelum ini dengan pertembungan dengan pasukan Singapura dapat membantu meningkatkan rentak yang begitu kemas dan mudah mengetahui taktik lawan dengan mudah. Mungkin pasukan Malaysia sudah mengetahui corak permainan pasukan Jepun melalui tayangan video dan jurulatih, Ong Kim Swee sudah mengatur strategi untuk mendapat keputusan perlawanan yang terbaik esok. Selamat menonton!

Isnin, 19 September 2011

Jamuan Hari Raya Di Tempat Kerja.

Salam untuk para pembaca yang dihormati. Memandangkan syawal akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi, jadi InsyaAllah dalam minggu ini saya bersama rakan-rakan sekerja akan menjemput pelanggan-pelanggan datang ke jamuan hari raya di kedai farmasi. Kalau raya tahun lepas kami menyajikan para pelanggan kami dengan roti jala, mee goreng dan kueh raya. Pada tahun ini, InsyaAllah lebih istimewa sedikit dengan menyediakan sate kepada pelanggan yang sentiasa memberi sokongan kepada kami selama ini. Memang seronok bersama pelanggan yang menghadiri jamuan hari raya di kedai kami pada tahun lepas. Pada minggu ini juga rakan-rakan saya yang bekerja sebagai polis juga mengajak kami menghadiri jamuan hari raya di bahagian hadapan balai polis. Sudah pasti meriah macam tahun lepas. Cuma saya terlepas peluang menghadiri jamuan hari raya di balai polis Mersing pada tahun lepas. Kalau tahun ini sempat juga saya singgah Maybank, Mersing yang menyediakan jamuan hari raya untuk pelanggan mereka. Memang sedap makanan dan minuman yang mereka sediakan dan diharap mereka dapat mengadakan jamuan hari raya yang lebih meriah pada tahun depan. Saya mengharapkan jamuan hari raya di kedai farmasi pada tahun ini membuahkan hasil kejayaan yang lebih bermakna dengan bantuan dan sokongan kerjasama yang begitu padu dari rakan-rakan sekerja.

Ahad, 18 September 2011

Kenduri Kahwin Dalam Bulan Syawal.

Salam kepada para pembaca yang dihargai. Semoga hujung minggu ini, anda semua dapat hidup dengan lebih ceria dengan keluarga dan rakan-rakan. Dalam bulan Syawal ini, banyak juga pelanggan yang memberi kad jemputan kahwin. Hari ini sahaja, saya sempat singgah di Taman Seri Bayu, Mersing. Tak sangka mertua rakan saya ini menerima orang baru dan saya tidak sempat melihat mempelai kerana saya perlu meneruskan kerja saya di kedai. Memang meriah dan banyak juga makanan dan minuman yang disajikan untuk tetamu yang hadir. Minggu depan pula ada beberapa kenduri kahwin di Mersing, kemungkinan saya dapat singgah di Taman Wawasan, Mersing sahaja. Sekurang-kurangnya dapatlah juga mengenali keluarga pengantin dengan lebih dekat lagi dan secara tidak langsung kita sudah berada dalam masyarakat taman yang lebih harmoni. Memang sesekali kita kena rajinlah mengunjungi rumah pengantin jika kita sudah menerima kad jemputan daripada mereka. Jika tidak singgah, bimbang juga hubungan dengan mereka menjadi tidak akrab lagi. Sekurang-kurangnya kita menunjukkan muka kita di majlis perkahwinan mereka dan mereka sudah pasti gembira dengan kehadiran kita disana. Ramai yang ingin membuat kenduri kahwin dalam bulan Syawal kerana mereka merasakan bulan Syawal merupakan bulan yang istimewa bagi umat Islam. Mereka mengharapkan mendapat zuriat yang lebih baik lagi dalam kehidupan mereka.

Sabtu, 17 September 2011

Merebut peluang pekerjaan dan perniagaan di Malaysia.

Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah mudahnya kita mendapat peluang pekerjaan dan juga membina perniagaan di Malaysia jika tahu caranya dan tahu tempatnya yang boleh mendatangkan rezeki yang lebih. Yang kita tidak mahu sudah tentu ada rakan-rakan di luar sana yang terlalu memilih pekerjaan sedangkan peluang pekerjaan di Malaysia begitu banyak. Sampaikan kita dengar ada rakan-rakan kita yang membuat dua hingga tiga kerja semata-mata untuk mendapat duit lebih untuk menyara keluarga terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau-Pinang. Dari segi perniagaan, sudah pasti negara kita menggalakkan graduan-graduan yang berminat dalam peniagaan menjadi usahawan-usahawan yang gemilang dan lebih proaktif. Kerajaan Malaysia juga memberi kemudahan-kemudahan dari segi pinjaman kewangan dan tunjuk ajar kepada graduan-graduan yang berminat dalam perniagaan. Yang penting minat yang begitu mendalam dalam bidang perniagaan boleh membuahkan hasil yang lebih positif dengan usaha yang lebih tanpa ada perasaan putus asa. Sememangnya apabila terjun dalam bidang perniagaan di Malaysia tidaklah sesenang yang kita sangka dengan adanya persaingan yang begitu sengit dan memerlukan lebih pengalaman untuk menjadi usahawan yang berjaya. Jadi ada semangat ingin mencuba dalam perniagaan dan setiap kegagalan itu memberi suntikan untuk lebih maju dalam perniagaan. (Ilmu perniagaan belum mencukupi jika tidak banyak pengalaman berniaga dilalui jika ingin menjadi usahawan yang berjaya)

Jumaat, 16 September 2011

Beruntungnya Di Negara Sendiri!

Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Memanglah seronok merantau di negara orang tetapi keselesaan di negara sendiri tidak boleh dipertikaikan. Kita beruntung menjadi rakyat Malaysia yang begitu majmuk yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Jadi kita sebagai rakyat Malaysia berasa bersyukur tinggal di bumi yang yang bertuah ini. Macam-macam ada di Malaysia! Bila sebut pasal makanan, pasti anda terbayang makanan-makanan yang lazat dan mudah untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan. Ditambah kita memiliki pelbagai kaum di Malaysia dan sudah pasti kita meraikan pelbagai perayaan di Malaysia. Seronok bukan bila kita berkumpul bersama-sama dengan rakan-rakan yang pelbagai bangsa dan meraikan bersama dalam musim perayaan di Malaysia. Negara kita, Malaysia memang unik dan tidak sama keadaan dengan negara-negara lain. Kita sepatutnya menjaga hubungan kita dengan orang lain dan tidak mencari perkara-perkara yang kita tidak ingini. Selain itu kita beruntung berada di negara ini kerana kestabilan politik, ekonomi dan sebagainya. Bukan mudah untuk mencapai keamanan dan kestabilan di dalam negara ini melainkan dengan hati rakyat Malaysia sentiasa bersatu. Selamat Hari Malaysia kepada rakyat-rakyat Malaysia!

Selasa, 13 September 2011

Mengapa Gagal Menjual Barang Kepada Pelanggan?

Salam untuk para pembaca yang dihargai. Sesetengah peniaga atau jurujual adakalanya gagal menjual barang terutama yang harganya mahal dan begitu komplek. Salah satu faktor yang menyebabkan pelanggan tidak mahu membeli barang yang kita tawarkan adalah salah dari segi teknik menjual. Adakala kita gagal memberi penerangan yang lebih jelas dan padat kepada pelanggan. Tidaklah kita memberi penerangan yang berjela-jela sehingga pelanggan menjadi bosan dan terus beredar dari kedai. Mungkin kita perlu belajar dari orang yang begitu berpengalaman yang begitu mudah menjual kepada pelanggannya tanpa berurusan begitu lama sekali. Selain itu barang yang kita jual itu tidak memenuhi kehendak pelanggan. Pelanggan tersebut ingin membeli produk tersebut tetapi kita mencadangkan barang lain dan menyebabkan pelanggan tidak jadi membeli dan pergi ke kedai lain yang boleh menyediakan barang yang diperlukan oleh pelanggan. Memang banyak faktor menyebabkan penolakan dari pelanggan terutama dari segi harga yang ditawarkan, kualiti barang, layanan dan kecekapan atau bakat menjual yang dimiliki oleh peniaga atau jurujual. Adakala memang sukar untuk menjual barangan yang begitu mahal yang mungkin pelanggan berasa sayang untuk mengeluarkan duit semata-mata untuk membeli barang tersebut. Jika barang yang mahal tersebut terbukti keberkesanannya, sudah pasti pelanggan tidak ragu-ragu dan tidak berkira untuk membayarnya walaupun harganya mahal.

Khamis, 8 September 2011

Pentingnya Solat Dalam Kehidupan.

Salam untuk para pembaca yang dihargai. Adakala hati kita diburu resah dan tidak tenang bila ditimpa perkara-perkara yang kita tidak ingini. Sudah pasti kita mencari jalan penyelesaiannya selain kita membaca Al Quran iaitu dengan mengerjakan solat. Dengan solat yang kita lakukan dapat menhindarkan diri kita membuat perkara-perkara yang tidak elok dan hati kita akan menjadi bertambah tenang. Dalam kehidupan seharian kita diwajibkan mengerjakan 5 kali solat fardhu disamping kita menunaikan solat-solat sunat yang boleh menampal solat fardhu yang mungkin ada kekurangannya. Kita sudah tentu tahu bahawa di akhirat pula, solat merupakan perkara utama dahulu akan ditanya dan sudah pasti kita insan yang terpilih akan cuba sedaya upaya menjaga solat dengan begitu baik sekali. Umpama kita bermunajat dengan Allah dan sentiasa mendapatkan keredaannya. Baru-baru ini saya tertarik dengan sebuah buku yang menitikberatkan tentang kyusuk dalam solat dan bagaimana untuk memperbaiki solat terutama solat fardhu supaya amalan yang penting ini dapat diterima oleh Allah. Dalam kita mengerjakan solat fardhu, kita digalakkan mengerjakan solat secara berjemaah selepas masuknya waktu solat. Apabila kita mengerjakan solat berjemaah, sudah pasti hati kita akan bersatu dengan jemaah lain. Sememangnya banyak pahala yang kita dapat dengan solat berjemaah. Selain itu dengan meperbanyakkan solat-solat sunat seperti solat tahajud, solat taubat dan solat hajat pada sebelah tengahmalam dan solat dhuha pada sebelah pagi dapat membentuk hati kita lebih baik dan hubungan kita dengan Allah semakin hampir. Memang dalam kehidupan seharian kita akan rasa tidak lengkap dengan tidak mengerjakan solat disamping kita perlu berlumba-lumba untuk mendapatkan ilmu dunia dan akhirat. Selamat beramal!

Rabu, 7 September 2011

Mengenali Lebih Rapat Dengan Masyarakat Setempat.

Salam kepada para pembaca yang dihargai. Pada malam ini bermulalah marhaban di tempat saya di Taman Wawasan, Mersing. Jadi dikesempatan ini saya meluangkan masa bersama penduduk-penduduk taman untuk menjayakan marhaban dan setelah selesai, kami akan menikmati jamuan di balairaya bersama penduduk-penduduk setempat disitu. Marhaban kali ini berpecah kepada dua kumpulan iaitu marhaban bahagian lelaki dan marhaban bahagian perempuan. Memang tidak sabar juga saya ingin bersama dengan mereka untuk membuat marhaban bersama-sama dari rumah ke rumah yang mengambil bahagian. Jadi dengan duit sumbangan marhaban yang dihulurkan oleh penduduk-penduduk disitu dapat menyalurkan untuk program-program kemasyarakatan disitu. Selain itu kita dapat bersuamuka dengan jiran-jiran yang berhampiran dan berdoa supaya mereka mendapat keberkatan dalam kehidupan yang lebih sempurna lagi. Sayapun mengharapkan marhaban kali ini lebih ramai yang mengambil bahagian disamping menyempurnakan majlis kunjung-mengunjung dari rumah ke rumah yang dapat menyatukan lagi hubungan kami. InsyaAllah marhaban ini akan diteruskan pada hari yang berikutnya di tempat yang lain pula. Semoga hubungan kami di Taman Wawasan, Mersing menjadi lebih akrab lagi dengan adanya marhaban yang dibuat setiap tahun.

Selasa, 6 September 2011

Nikmat Kesihatan Yang Perlu Dijaga Dengan Baik.

Salam untuk rakan-rakan di luar sana dan semoga anda dirahmati Allah. Nikmat yang paling besar yang kita miliki, sudah tentulah kesihatan tubuh badan kita dan otak yang cerdas. Dalam kita menempuhi cabaran-cabaran yang begitu besar seperti berdepan dengan pelbagai saingan, sudah pasti kita sentiasa menitik-beratkan pengambilan makanan dan minuman yang bersih lagi halal yang dapat membentuk hati yang lebih bersih lagi. Dengan kita makan makanan yang kita tidak ketahui atau syubhah sudah pasti memberi kesan yang buruk kepada hati kita. Sudah pasti banyak penyakit-penyakit hati yang timbul seperti hasad dengki, dendam dan sebagainya. Dengan kita berfikiran secara positif sudah pasti terbitnya kasih sayang antara kita dengan orang yang kita sayangi dan sentiasa bersangka baik kepada orang lain. Dengan tubuh badan kita yang sihat sudah pasti kita dapat menjalankan tugas atau kerja-kerja berat dengan begitu lancar disamping kita mendapat rehat dan tidur yang cukup. Jika kita selalu mengalami demam, pening dan sebagainya sudah pasti banyak kerja akan terbengkalai dan menyebabkan kita akan mengambil surat sakit atau mc dari doktor. Ini mungkin menyebabkan prestasi kerja kita menurun dan memberi kesan hubungan kita dengan majikan sekiranya kita kerap jatuh sakit atau mendapatkan mc dari doktor. Kita perlulah sentiasa memeriksa kesihatan kita dengan berjumpa lebih kerap lagi dengan doktor apabila usia semakin meningkat. Jadi hargailah nikmat kesihatan yang kita miliki dan jagalah kesihatan dengan aktiviti-aktiviti seperti beriadah bersama keluarga yang boleh memberikan hasil yang lebih produktif.

Isnin, 5 September 2011

Rumah Terbuka.

Setelah ramai antara kita yang sudah balik dari kampung, sudah pasti merancang untuk membuat rumah terbuka untuk meraikan hari raya bersama-sama rakan yang lain. Memang tidak dapat dinafikan kesan dari membuat rumah terbuka ini memberi kesan dari segi hubungan kita dengan jiran tetangga. Tidak salah kalau kita mengambil pendekatan yang lebih tradisional dengan berkunjung ke rumah jiran-jiran yang berhampiran. Mungkin konsep rumah terbuka lebih menjimatkan masa, wang bagi sesetengah orang. Namun kesan kemesraan dan ikatan yang begitu kuat tidak begitu menonjol dengan membuat rumah terbuka. Anda mungkin ingin membuat kelainan dengan membuat rumah terbuka dengan mengedarkan kad-kad jemputan yang eksklusif untuk rakan-rakan anda yang begitu istimewa. Tidak salah juga mengajak rakan-rakan baru untuk berkenalan dengan anda secara lebih dekat lagi. Mungkin anda ada idea-idea yang begitu menarik dengan membuat perkongsian dengan jiran-jiran anda yang begitu rapat dengan anda dengan mengeluarkan belanja bersama dan membuat khemah di tempat anda. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan beban anda untuk menguruskan rumah terbuka khas untuk kenalan-kenalan rapat anda. Memang seronok jika membuat rumah terbuka bersama dengan jiran-jiran yang berhampiran dan sudah pasti meriah dengan adanya ramai pengunjung-pengunjung yang datang ke rumah terbuka anda. Sesekali anda dan jiran-jiran anda berpakat menyediakan juadah-juadah hari raya yang begitu menarik dan lain dari yang lain yang boleh memberikan kenangan yang bermakna dengan mengadakan rumah terbuka. Sebelum membuat rumah terbuka, perlulah merancang dengan teliti supaya kita tidak mengalami pembaziran makanan yang begitu banyak.

Menabung Selepas Raya.

Salam kepada rakan-rakan yang sudah kembali bertugas pada minggu ini. Masing-masing sudah sibuk membuat tugasan yang sudah lama ditinggalkan dan ada yang memulakan puasa sunat 6 dalam bulan Syawal kali ini. Dalam musim perayaan kali ini, mungkin ada rakan-rakan kita terpaksa mengeluarkan lebih duit untuk perjalanan jauh, membaiki dan membeli peralatan kereta baru, membeli pakaian-pakaian hari raya yang baru dan memberi duit raya yang lebih kepada anak-anak buah dan kanak-kanak. Memang tidak dapat dinafikan perbelanjaan dalam bulan Syawal ini memberi impak yang besar dan sukar kita ingin menabung dalam ASB, ASN, Unit Trust dan sebagainya. Jadi untuk yang sudah berkeluarga sudah pasti membuat kiraan dahulu sebelum berbelanja dalam musim perayaan dan membuat tabungan yang lebih setelah bulan Syawal berlalu pergi. Dengan menyimpan sebahagian gaji dalam ASB, ASB dan sebagainya, mungkin duit yang disimpan boleh dikeluarkan pada hari raya tahun hadapan. Mungkin dengan menabung dengan begitu awal tidak terasa beban pada musim perayaan pada tahun hadapan dan mungkin kita tidak menggaru kepala untuk mencari lebihan-lebihan duit tanpa mengebas duit raya anak kita. Memang tidak patutlah sebagai ibubapa menggunakan anak-anak untuk mendapatkan duit raya dan menggunakan sesuka hati duit raya anak-anak mereka. Seharusnya mereka mengajar anak-anak mereka menabung duit raya yang mereka dapat dan membuat buku akaun untuk masa hadapan mereka. Dengan langkah yang begitu bijak dengan mendidik anak-anak kita menguruskan kewangan tanpa membeli barang-barang tidak berfaedah seperti mercun, gula getah, PSP dan sebagainya. Kita akan berasa tenang dengan membuat persediaan awal dengan menabung sebelum musim perayaan nanti dan lebihan duit itu kita simpan dalam ASB, ASN, Unit Trust dan sebagainya.

Uniknya Marhaban Di Johor.

Salam Aidilfitri kepada rakan-rakan dari Facebook, Twitter, Myspace, Nuffnang, Tagged & Gengblogger. Wah! semakin meriah raya kali ini dengan hari pertama di bulan Syawal, sudah ada marhaban belah lelaki di kampung saya di Pagoh. Memang seronok dapat bertandang dari rumah ke rumah. Saya tidak sempat pula untuk menyertai Marhaban di kampung saya, memandangkan saya meluangkan masa mengunjungi pusara orang yang tersayang. Memang setiap rumah sudah menyediakan juadah-juadah seperti ketupat, nasi impit, lemang, rendang daging dan kueh raya untuk ahli-ahli yang menyertai marhaban di kampung. Bukan itu sahaja, di taman-taman contohnya Taman Wawasan, Mersing memang aktif membuat marhaban di setiap baris-baris rumah disitu pada setiap tahun. Memang seronok mengunjungi rumah-rumah jiran yang menyertai marhaban dan sesekali mereka menyediakan duit raya untuk kanak-kanak yang mengikuti marhaban. Pada tahun lepas, sempat juga saya menyertai marhaban bahagian lelaki setelah marhaban bahagian perempuan telah selesai. Sekurang-kurangnya kita mengeluarkan duit sedikit dan membayar kepada ahli yang begitu aktif dalam marhaban untuk menyediakan jamuan setelah habisnya marhaban pada malam tersebut. Dengan duit marhaban tersebut, mungkin duit tersebut digunakan untuk majlis-majlis keramaian dan juga disumbangkan kepada orang-oarng yang memerlukan bantuan. Dengan adanya marhaban boleh mengeratkan hubungan antara penduduk kampung atau taman dan menjadikan keadaan tempat tinggal kita lebih harmoni lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...