Pages

Khamis, 30 Ogos 2012

Janji Ditepati.

Salam dan selamat menjamu selera makan tengahari bersama keluarga dan rakan-rakan sekalian. Esok kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 55 dengan penuh gemilang. Walaupun ada antara kita yang akan beraya di rumah jiran tetangga dan membuat rumah terbuka pada hari esok, kita tetap menyambut Hari Kemerdekaan dengan penuh kesyukuran dengan nikmat keamanan di negara tercinta ini. Tahun ini, sambutan Hari Kemerdekaan akan berlangsung di depan Kluang Mall, Jalan Rambutan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Y.A.B. Dato' Haji Abdul Ghani B. Othman bermula jam 7 pagi esok. Kebanyakan premis-premis perniagaan dan kawasan perumahan mengibarkan bendera Malaysia dan bendera negeri masing-masing sejak bulan lepas. Seharusnya kita lebih bersemangat untuk meraikan bersama dan menghayati kemerdekaan dengan lebih jitu. Dengan slogan Janji Ditepati yang memberikan jaminan yang lebih baik lagi untuk rakyat Malaysia pada masa akan datang. Semoga kita menjadi rakyat Malaysia yang lebih bertanggungjawab dan setia kepada negara dan bangsa Malaysia yang tercinta.

Rabu, 22 Ogos 2012

Menguruskan Kewangan Pada Musim Perayaan.

Salam aidilfitri kepada rakan-rakan Facebook, Myspace, Twitter, Nuffnang, Gengblogger dan Google+. Kita masih lagi dalam musim perayaan, ada yang sudah mula bekerja pada hari ini terutama pekerja-pekerja bank dan ada yang masuk bekerja pada minggu hadapan terutama guru-guru yang masih beraya di kampung halaman. Seronok bukan jumpa rakan-rakan lama dan baru selain bersolat sunat hari raya di masjid. Dalam keseronokan berhari raya, kita adakala terleka dengan banyaknya duit mengalir seperti air dengan memberi duit raya kepada kanak-kanak, membeli-belah kelengkapan raya seperti kueh raya di pasaraya dan penggunaan petrol yang tinggi untuk perjalanan jauh ke rumah sanak-saudara yang sudah pasti menyesakkan perbelanjaan anda di musim perayaan ini. Untuk mengelakkan kehabisan duit semasa musim perayaan ini anda digalakkan membuat perancangan perjalanan anda mengikut kemampuan anda sendiri ibarat anda mengukur baju anda sendiri. Sebelum anda ingin pulang dari kampung, pastikan anda memeriksa kenderaan anda dengan penuh teliti dengan melihat minyak hitamnya, air pada coolant,plug , tayar yang tidak botak dan sesekali anda melihat air brek. Kadang-kadang kenderaan anda mudah meragam di pertengahan perjalanan, jadi sebagi langkah awal anda perlu menghantar ke pusat servis untuk memeriksa kenderaan anda terlebih dahulu sebelum anda pulang dari kampung halaman. Pastikan anda memiliki buku 555 untuk mencatit perbelanjaan anda dalam musim perayaan ini untuk mengetahui pengaliran wang dan dapat mengawal perbelanjaan dengan mudah. Elakkan penggunaan kad kredit kecuali jika anda dalam keadaan yang tidak mengizinkan seperti tertinggal pesawat dan sebagainya. Sudah pasti kad debit memudahkan anda berbelanja tanpa perlu membawa duit yang banyak, jadi anda perlu bijak mengawalnya. Maklumlah wang plastik, sudah pasti anda tidak perasan duit mengalir dengan derasnya. Sebagai seorang suami sudah pasti kita perlu memantau pembelian yang dibuat oleh isteri kita, jadi kita perlu menasihati isteri kita supaya bijak berbelanja dan pandai menguruskan perbelanjaan dengan betul. Sentiasa berbincang dengan isteri untuk menabung selepas musim perayaan dan agihkan duit gaji mengikut keadaan keperluan. Ada sesetengah kita mengamalkan 1/3 duit gaji untuk simpanan, 1/3 lagi untuk membayar hutang seperti hutang perumahan, hutang kereta dan hutang kad kredit dan 1/3 lagi untuk perbelanjaan harian. Selain itu anda boleh mengajar anak anda menabung duit raya ke dalam buku simpanan banknya dan melatihnya membuat buku belanjawan untuk mengelakkan anak-anak anda membeli barang-barang yang tidak berfaedah seperti mercun dan makanan ringan. Jadi segala tip-tip yang saya berikan dalam entry kali ini dapat memberi manfaat berguna kepada rakan-rakan semua.

Rabu, 15 Ogos 2012

Persiapan Menjelang Hari Raya.

Salam dan selamat berpuasa kepada rakan-rakan Facebook, Myspace, Google+, Nuffnang, Twitter, Gengblogger dan mface yang beragama Islam. Lagi beberapa hari lagi kita akan menyambut hari lebaran yang menyatukan kita sekeluarga dan merapatkan hubungan siraturrahim bersama rakan dan sahabat-handai. Memang banyak tempahan-tempahan seperti kueh raya, baju raya yang diperolehi pada minggu terakhir dan ada yang sempat membayar zakat kepada asnaf-asnaf di masjid dan pasaraya yang berhampiran sebelum hari perayaan. Ada rakan-rakan kita yang sudah menerima bonus raya dan duit pendahuluan gaji untuk menukar duit raya yang baru di bank dan membeli-belah barang-barangan raya di pasaraya dan bazaar Ramadan. Yang penting duit yang diterima dapat dibelanjakan dengan betul dan elakkan pembaziran dengan membeli barang-barang yang tidak berfaedah seperti mercun. Setiap hari khususnya pada penghujung bulan Ramadan, kita selalu terbaca mengenai kes yang melibatkan mercun. Jadi kita sebagai ibubapa perlulah menasihati anak-anak kita supaya tidak bermain mercun dan sentiasa memantau anak-anak kita bermain di luar sana. Sebelum balik ke kampung halaman, kita boleh memberitahu kepada jiran untuk melihat rumah kita semasa musim perayaan dan perlulah mengisi borang maklumat di balai polis untuk keselamatan semasa bercuti. Selain itu anda pastikan kenderaan anda diselenggarakan dengan begitu baik dan gantikan mana yang rosak terutama dibahagian enjin, brek dan tayar kereta anda. Yang penting kewangan anda dalam musim perayaan dalam keadaan yang stabil dan elakkan berhutang kecuali menggunakan kad kredit pada waktu kecemasan sahaja. Sebelum mengundurkan diri, saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir dan Batin kepada rakan-rakan yang mengenali diri saya! Jumpa lagi selepas Hari Raya nanti dengan entry-entry menarik.

Jumaat, 10 Ogos 2012

Pandelela Rinong Menceriakan Kem Malaysia.

Akhirnya muncul juga pingat gangsa yang dihadiahkan oleh Pandelela Rinong untuk rakyat Malaysia setelah Datuk Lee Chong Wei memperolehi pingat perak untuk Malaysia dalam sukan Olimpik yang berprestij di London. Setelah penerjun-penerjun pasukan Malaysia berjuang untuk mendapatkan pingat, Pandelela telah menceriakan kem Malaysia pada penghujung edisi kali ini dan menjadikan Malaysia dikedudukan ke 50 bersama kontijen Thailand dan Indonesia dalam pungutan pingat. Dalam acara terjun 10m ini, nampaknya penerjun dari China, Chen Roulin memenangi pingat emas dan diikuti dengan pingat perak yang diraih oleh penerjun Australia. Jadi kita rakyat Malaysia harus berasa berbangga dengan kejayaan diraih oleh penerjun dari Sarawak dan Datuk Lee Chong Wei. Pencapaian di Sukan Musim Panas Olimpik Di London lebih baik berbanding di Beijing sebelumnya dengan Malaysia mengutip 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa. Tahniah diucapkan kepada Pandelela Rinong dan Datuk Lee Chong Wei! Jumpa lagi di Sukan Olimpik Musim Panas di Rio de Janeiro, Brazil 4 tahun dari sekarang.

Sabtu, 4 Ogos 2012

Lee Chong Wei vs Lin Dan.

Salam dan selamat berbuka puasa kepada rakan-rakan Facebook, Myspace, Nuffnang, Twitter, Google+, Gengblogger dan Blogspot. Esok, pertembungan antara Lee Chong Wei dengan Lin Dan dari negara China yang dinantikan oleh semua rakyat Malaysia. Adakah Datuk Lee Chong Wei mampu untuk menjinakkan Lin Dan dan memperolehi pingat emas pertama untuk Malaysia pada hari esok? Sama-sama kita saksikan perlawanan akhir badminton bahagian lelaki yang sudah pasti memberi debaran yang kuat kepada rakyat Malaysia yang menantikan pingat emas yang begitu berprestij dalam sukan Olimpik kali ini di London. Setelah Datuk Lee Chong Wei menewaskan Chen Long di semi final semalam memberikan sinar baru untuk seluruh rakyat Malaysia yang mengharapkan sesuatu keputusan yang lebih baik dari edisi Olimpik sebelumnya. Kita mengharapkan pingat perak akan menjadi pingat emas jika Datuk Lee Chong Wei mengatasi lawannya yang begitu handal dan mengetahui kelemahan lawan dengan sebaik yang mungkin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...