Pages

Jumaat, 31 Disember 2010

Azam Baru.


Salam untuk pembaca yang budiman. Lagi beberapa jam lagi kita akan melangkah ke tahun baru, 2011 dengan azam yang baru. Dengan azam yang begitu baik pada tahun 2011, InsyaAllah segala apa yang kita rancang akan menjadi kenyataan tanpa niat yang tidak baik kepada sesiapa sahaja. Ada sesetengah orang yang mempunyai azam yang begitu tinggi dengan membina lebih banyak cawangan perniagaan pada tahun 2011 memandangkan ekonomi negara semakin pulih dari sebelumnya. Begitu juga ada yang ingin memperbaiki personaliti dan reputasi untuk menjadikan seorang insan yang cemerlang di dalam masyarakat. Sayapun cuba berazam untuk menjadi yang lebih baik dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang sedia ada sebelum berdepan dengan cabaran-cabaran yang lebih besar pada masa akan datang. Disamping itu saya cuba mendalami ilmu-ilmu yang boleh memberi manfaat untuk diri sendiri dan boleh berkongsi dengan masyarakat setempat. Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada pembaca-pembaca terutama rakan-rakan Facebook dan bina azam yang baru untuk menjadi insan yang gemilang dan terbilang.

Khamis, 30 Disember 2010

Sejarah Tercipta.



Semalam merupakan detik bersejarah pasukan kita, Malaysia dapat menundukkan tuan rumah, Indonesia dengan agregat 4-2 walaupun tewas kepada Indonesia pada final kedua Piala Suzuki AFF di Jakarta, Indonesia. Tahniah diucapkan kepada jurulatih, K. Rajagobal dan anak buahnya terutama Mohd. Safee Mohd. Sali untuk membawa pulang piala yang berprestij untuk rakyat Malaysia. Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi yang menyelamatkan pintu gol terus dibedil oleh pihak lawan. Sememangnya menarik kali ini kerana negara kita, Malaysia pertama kali dalam sejarah memenangi Piala Suzuki AFF 2010 setelah kita menunggu hampir 14 tahun. Walaupun ramai penyokong dari Malaysia yang gagal masuk ke dalam Stadium Gelora Bung Karno namun para pemain Malaysia tetap bersemangat untuk memberikan tentangan sengit kepada lawan selain berdepan dengan penyokong Indonesia yang begitu keterlaluan dan agak kurang ajar semasa lagu Negaraku berkumandang di dalam stadium. Terbukti pasukan bola sepak Malaysia merupakan pasukan yang terbaik di Asia Tenggara. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan tanpa henti kepada pasukan negara Malaysia. Semoga pasukan bola sepak Malaysia akan terus maju dan melangkah ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Rabu, 29 Disember 2010

Pertarungan Bermaruah.


Malam ini sudah pastinya rakyat Malaysia sudah bersiap sedia memberi sokongan padu kepada pasukan Malaysia yang akan memberi tentangan hebat kepada pasukan lawan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia. Rasanya ramai rakyat Malaysia yang sudah menempah tiket Air Asia atau MAS ke Jakarta dan dapat menyuntik semangat para pemain Malaysia di sana. Kita, rakyat Malaysia mengharapkan kejayaan pasukan Malaysia dapat menjinakkan pasukan Indonesia yang sentiasa menunjukkan kegarangan mereka di tempat mereka. Semoga para pemain Malaysia tidak gentar bila berada di sana dan memberikan persembahan hebat untuk mendapatkan Piala Suzuki AFF 2010 untuk pertama kali. Ayuh rakyat Malaysia kita doakan mereka berjaya dan berilah sokongan untuk pemain kita di sana! Malaysia Boleh!

Selasa, 28 Disember 2010

Selamat Tinggal 2010 dan Selamat Datang 2011.


Salam untuk pembaca yang disegani. Ada beberapa hari lagi kita akan meninggalkan tahun 2010 yang memberikan banyak kenangan manis kepada kita semua. Pada tahun inilah banyak acara-acara yang gemilang yang telah dilangsungkan dengan begitu jayanya oleh penduduk dunia. Antara acara yang tidak dapat dilupakan adalah Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan yang memberikan keputusan yang begitu mengejutkan kepada peminat-peminat bola sepak. Acara lain sudah pastinya negara kita Malaysia bertanding dalam Sukan Komanwel di New Delhi, India dan Sukan Asia di Guangzhou, China. Pasukan Malaysia memberikan persembahan hebat dalam kedua-dua acara sukan yang begitu besar di Asia. Antara momen yang menarik dalam tahun 2010 ini, kedatangan Hillary Clinton dan ikon-ikon besar yang bertandang ke Malaysia. Sekaligus memberikan impak yang positif kepada negara kita, Malaysia yang semakin maju ke depan. Mungkin ada pengguna-penguna yang terasa dengan kenaikan harga petrol, gula dan lain-lain lagi pada penghujung tahun ini. Sudah pastilah, dengan mengharapkan kemenangan bergaya oleh pasukan Malaysia di Jakarta esok dapat memberikan kenangan yang terindah untuk rakyat Malaysia pada penghujung tahun 2010. Bagi saya, tahun inilah saya baru menaip blog-blog khas untuk pembaca yang saya hargai. Namun banyak kekurangan yang perlu saya pelajari untuk pergi jauh dalam penulisan blog. Pada tahun 2011, banyak agenda yang menarik yang akan diadakan. Rakyat Malaysia sudah pastinya inginkan sesuatu perubahan yang positif dalam tahun 2011 dan dahagakan sebarang kejayaan untuk negara yang tercinta, Malaysia.

Isnin, 27 Disember 2010

Kebangkitan Pasukan Harimau Malaya.


Nampaknya pasukan negara memberikan persembahan hebat selepas kontroversi penggunaan cahaya laser terhadap penjaga pintu gol Indonesia pada set yang kedua. Dengan gol yang dijaringkan oleh penyerang Mohd. Safee Sali meleburkan impian pasukan negara seberang untuk mencipta kemenangan di luar negara Indonesia. Namun pasukan lawan tidak berputus asa dengan mengasak kubu pertahanan Malaysia terutama Bambang dan Mohd. Arif yang sentiasa menyerang di bahagian pintu gol. Namun penjaga gol, Malaysia, Khairul Fahmi sentiasa berjaga-jaga untuk mengelakkan pintu gol Malaysia dibolosi dengan begitu mudah. Dengan tendangan masuk oleh Ashaari dan tandukan oleh Mohd. Safee Sali ke dalam pintu gol Indonesia menjadikan Malaysia berada di depan dengan 3 gol. Dengan kemenangan ini, pasukan Malaysia berpeluang untuk membawa pulang Piala Suzuki AFF khas untuk rakyat Malaysia jika mereka menang atau seri di gelanggang lawan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada hari Rabu minggu ini. Semoga sokongan padu rakyat Malaysia dapat menyuntik semangat pemain-pemain negara kita untuk memberikan tentangan sengit kepada lawan mereka di sana. (Kelibat Gonzalez hampir tenggelam selepas menjaringkan gol offsaid)

Ahad, 26 Disember 2010

Jom Kita Beri Sokongan Kepada Pasukan Malaysia!




Kepada rakyat Malaysia, berilah sokongan yang padu kepada pasukan Malaysia yang akan menentang pasukan lawan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada jam 8 malam ini. Sokongan anda amat berharga dan dapat menyuntik semangat kepada pahlawan-pahlawan negara kita yang akan berdepan dengan pasukan dari seberang. Laungkan semangat Malaysia Boleh kepada pasukan negara kita. Semoga pasukan Malaysia dapat memberikan persembahan hebat dan memberikan kemenangan bermakna untuk rakyat Malaysia dalam peringkat akhir Piala Suzuki AFF 2010. (Perlawanan akhir ini umpama perlawanan abang dan adik untuk merebut piala yang begitu prestij di nusantara kita)

Ahad, 19 Disember 2010

Piala Suzuki AFF 2010.



Nampaknya usaha pasukan Malaysia untuk ke peringkat akhir dalam Piala Suzuki AFF 2010 menjadi kenyataan dengan menewaskan pasukan juara bertahan, Vietnam dengan 2-0 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan seri di Stadium My Dinh, Vietnam. Pasukan Malaysia layak memasuki peringkat akhir dengan bertemu samaada pasukan dari Indonesia atau Filipina. Ada kemajuan dari segi pencapaian pasukan dari negara kita yang mana dapat memberi tentangan yang hebat di negara sendiri dan bermain secara bertahan di pihak lawan dalam peringkat separuh akhir. Memang agak memalukan pada peringkat kumpulan, pasukan Malaysia kalah secara mengejut kepada pasukan Indonesia, 5-1 dan berdepan dengan ejekan dari penyokong tuan rumah tetapi pasukan Malaysia terus bangkit dengan keputusan yang begitu memberangsangkan. Terima kasih kepada jurulatih K. Rajagobal yang membimbing pasukan Malaysia hingga peringkat akhir. Semoga pasukan kita berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 dan membawa pulang piala tersebut untuk rakyat Malaysia untuk menutup tirai tahun 2010 dengan begitu gemilang. Majulah sukan untuk negara dan Malaysia Boleh!

Khamis, 16 Disember 2010

Berkelah Di Pantai Buatan Manusia.

Salam untuk pembaca yang dihargai. Pada tahun hadapan, InsyaAllah saya merancang membawa keluarga untuk singgah ke pantai buatan manusia yang terbesar di Malaysia, Tiara Beach Resort untuk mencari kelainan dan memberi kepuasan maksima semasa bercuti pada cuti umum. Banyak juga aktiviti yang boleh dilakukan seperti bola tampar pantai, karaoke dan meluncur di relung tiub bersama keluarga tersayang. Dengan kemudahan seperti jakuzi, kedai serbaneka dan cenderahati, restoran dan ciri keselamatan yang ditawarkan oleh pihak resort dapat memberi keselesaan kepada pengunjung terutama dari selatan tanahair. Sememangnya kolam yang direka amat sesuai untuk kanak-kanak dan dilengkapi dengan air terjun, papan gelongsor dan buaian yang memberi keunikan tersendiri di Tiara Beach Resort. Pada sebelah malamnya, para pengunjung akan terhibur dengan hiburan yang disediakan oleh pihak resort. Paling dinantikan oleh para pengunjung pada sebelah malam sudah pastinya segmen 'Staff Talent Comedy Show' yang membuatkan para pengunjung ketawa dan seronok melihat aksi-aksi komedi yang begitu menghiburkan. Sekurang-kurangnya tempat sebegini dapat memberi kesegaran minda dan memberi nilai-nilai harmoni dalam kekeluargaan.

Rabu, 15 Disember 2010

Kenangan Di Teluk Cempedak.



Sambil bercerita dengan rakan sekerja, tiba-tiba terpacul nama pantai yang begitu terkenal di negeri Pahang, Teluk Cempedak. Kebetulan minatnya sama dengan saya iaitu berkelah di Teluk Cempedak. Keindahan pantai yang begitu mendamaikan dan jambatan yang menghiasi pesisiran pantainya memberi tarikan yang begitu menarik kepada para pengunjung. Teringat saya semasa menemani adik perempuan saya ke Kuantan dan tidak melepaskan peluang singgah sekejap di Teluk Cempedak. Tidak disangka jodoh adik perempuan saya dengan orang Kuantan. Sememangnya kenangan itu memberi nilai yang begitu bermakna dalam hidup ini. Dengan adanya hotel dan restoran makanan segera terkenal, Mc Donald memberi kemudahan kepada pengunjung terutama dari Johor, Melaka dan Kuala Lumpur. Para pembaca yang ingin merakamkan detik-detik indah bersama keluarga, bolehlah berkunjung disini terutama pada cuti sekolah dan cuti umum.

Isnin, 13 Disember 2010

Berkelah Di Tepi Pantai.


Salam ceria untuk pembaca yang dihargai. Sememangnya hari hujung minggu adalah hari yang ditunggu-tunggu bersama dengan keluarga yang tercinta. Baru-baru ini sempat juga saya berkelah bersama keluarga di Penyabong dan Air Papan, Mersing. Memang menyeronokkan dan sesuai untuk dibuat hari keluarga pada masa akan datang. Sekurang-kurangnya kita dapat melepaskan tekanan kerja dan menghilangkan kebosanan di rumah. Perjalanan dari bandar Mersing ke Penyabong tidak sampai 45minit dengan kereta. Sempat juga kami singgah di Pantai Teluk Godek dan melihat beberapa pengunjung yang berkelah dan mandi disitu. Sampai di Penyabong, kami segera mencari tempat untuk berkelah dan bersetentang dengan deretan pulau. Anginpun tidaklah kuat disebabkan adanya gugusan pulau yang memberikan panorama yang indah kepada pengunjung. Memang menarik untuk merakam gambar dan video bersama keluarga disitu. Perjalanan dari bandar Mersing ke Air Papan tidak sampai 1/2jam dan kami bertemu sawah padi sebelum sampai ke Air Papan. Sampai di Air Papan banyak kedai yang menjual cenderahati seperti layang-layang, pelampung dan baju untuk dijadikan kenangan. Bila sampai di tempat yang kami ingin tujui, kami terus meletakkan hamparan di bawah pohon kelapa. Ada juga penjual aiskrim yang menjual aiskrim kepada pengunjung dengan harga berpatutan. Sambil mendengar deruan ombak teringat kenangan saya bersama isteri saya di Tanjung Aru, Sabah sambil melihat pesawat MAS Wing terbang di awan biru. Ramai juga pengunjung yang bermain di tepi pantai dan ada yang bermain bola pantai bersama rakan-rakan. Kami sekeluarga menggunakan cuti hujung minggu dengan sebaik mungkin untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Semoga cuti hujung minggu ini, para pembaca dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga tercinta.

Khamis, 9 Disember 2010

Kemahiran Berunding Dengan Pembekal.

Salam sejahtera kepada pembaca yang dihormati. Tidak dinafikan kemahiran mendapatkan pembekal dan boleh berunding untuk mendapatkan harga kos yang begitu rendah dengan pembekal merupakan aspek penting untuk menunjukkan samaada pengusaha itu berjaya atau sebaliknya dalam perniagaan. Pengusaha juga perlu bijak memilih barang yang diperlukan oleh pelanggannya yang dapat memberikan impak yang besar kepada jualan bulanan. Dengan mencari pembekal dengan tepat dan mempunyai hubungan yang begitu baik dengan pembekal terutama pengarahnya boleh memberikan kesan positif dalam urusan jualbeli. Untuk mengelakkan kerugian, pengusaha perlu mengetahui barang itu boleh laku dalam pasaran tempatan dan barang itu boleh dipulangkan kepada pembekal sekiranya rosak dan mencapai tarikh luput. Tambahan pula pengusaha perlu bijak membuat kiraan sebelum berunding dengan pembekal dan peka dengan promosi yang ditawarkan oleh pembekal. Sememangnya pengusaha perlu pandai mencari peluang seperti bonus yang disediakan oleh pembekal dan tempoh pembayaran kredit hutang yang panjang dan fleksibel. Dengan kemahiran berunding dengan pembekal yang begitu baik dapat memberikan survival yang begitu panjang bagi pengusaha dalam perniagaan yang penuh dengan cabaran.

Khamis, 2 Disember 2010

Kepantasan Berfikir.

Salam untuk pembaca yang dihormati. Memang tidak dapat dinafikan cara berfikir dan membuat keputusan yang begitu pantas dan berhati-hati merupakan aspek yang terpenting dalam bidang perniagaan. Dengan merangka strategi yang begitu sistematik dan mengetahui selok belok persaingan di sesuatu tempat dapat memberi tempoh jangka hayat yang panjang dalam bidang perniagaan yang diceburi. Ditambah pula dengan mematahkan serangan-serangan dari pihak pesaing dapat memberikan kekuatan untuk terus lama dalam bidang ini. Kelainan dan kemahiran yang ditonjolkan juga memberi nilai tambah bagi pengusaha atau peniaga dengan memberikan perkhidmatan yang begitu baik kepada pelanggan. Dengan kepantasan berfikir, kita dapat menentukan produk-produk yang diperlukan oleh pelanggan disesuatu tempat dengan harga yang munasabah. Dengan ilmu yang mencukupi, kita boleh menentukan hala tuju perniagaan yang kita bawa dan dapat mengelakkan sebarang penipuan di dalam perniagaan dan taktik kotor dari pesaing.

Rabu, 1 Disember 2010

Kesedaran Membuka Perniagaan Untuk Kemajuan Bersama.

Salam untuk pembaca yang budiman. Sudah lama saya tidak menulis blog disini mungkin kesuntukan masa bersama keluarga pada cuti sekolah hujung tahun ini. Sejak dua menjak ini semakin rancak kedai baru yang dibuka di Bandar Tepian Sungai Mersing, yang terbaru pasaraya, kedai basikal, kedai komputer dan kedai makanan. Yang akan datang kedai makanan segera, Marrybrown yang boleh memberi saingan yang begitu sihat kepada pesaingnya iaitu KFC. Sememangnya dengan pertumbuhan ekonomi yang begitu baik disini dapat memberi peluang kepada peniaga-peniaga yang berminat membuka kedai di Jalan Sulaiman ini. Dengan pembukaan banyak kedai baru disini dapat memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Mersing dan memberi banyak pilihan kepada pengguna disini. Sememangnya kita memerlukan sesuatu perubahan dan perlu berdaya saing untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan juga untuk negara Malaysia.

Rabu, 24 November 2010

Syabas Pemain Hoki Malaysia!


Tahniah diucapkan kepada pemain hoki Malaysia yang memberi tentangan yang hebat menentang India semalam dan berjaya untuk memasuki perlawanan akhir menentang Pakistan pada hari esok. Sememangnya Mohd. Amin Rahim menjadi hero untuk membantu pasukan Malaysia untuk mara ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Dengan kemenangan 4-3 keatas India sehingga memasuki masa kalah mati memberi kegembiraan rakyat Malaysia yang sentiasa menantikan detik-detik kecemerlangan pasukan hoki negara. Dengan keputusan yang begitu menakjubkan, pasukan hoki Malaysia akan berpeluang untuk bermain di peringkat Olimpik di London pada 2012 nanti. Semoga pemain hoki Malaysia berjuang dan memberi semangat melawan yang tinggi kepada pasukan Pakistan pada peringkat akhir dan berpeluang untuk mendapatkan pingat emas untuk negara Malaysia.

Isnin, 15 November 2010

Kehebatan Tuan Rumah.


China selaku sebagai tuah rumah untuk edisi Sukan Asia yang ke-16 ini menunjukkan kehebatannya untuk mengumpul seberapa banyak pingat emas pada hari pertama sehingga ke hari ini. Memang tidak dinafikan dengan kelebihan sebagai tuan rumah dan mempunyai penyokong yang begitu ramai dapat memberi motivasi kepada atlet-atlet negaranya untuk mendapatkan kejayaan yang gemilang. Sewaktu Sukan Olimpik yang berlansung di Beijing dan Hong Kong pada 2008, China juga dapat mengenepikan pesaing yang terhebat, Amerika Syarikat dengan menduduki tempat pertama dengan mengumpulkan lebih 50 pingat emas. Ini merupakan rekod tertinggi dalam kejohanan Sukan Olimpik. Memang ada negara seperti Jepun dan Korea Selatan cuba untuk mengekang penguasaan tuan rumah dalam beberapa acara seperti renang pada Sukan Asia kali ini. Kita sebagai rakyat Malaysia mengharapkan atlet-atlet Malaysia dapat mencontohi semangat atlet-atlet tuan rumah yang sememangnya mempunyai daya juang yang tinggi untuk mendapatkan kejayaan yang mengagumkan.

Ahad, 14 November 2010

Taktik Kotor.

Pada perlawanan bola sepak antara Malaysia dan China memang nampak ada yang tidak kena dalam pengadilan dimana 3 kad merah dilayangkan kepada pemain-pemain dari Malaysia. Nampak pengadil dari Australia ini dibeli dan memberi ruang kepada pemain-pemain tuan rumah menghasilkan gol pada separuh masa kedua dengan mudah. Namun kredit harus diberikan kepada pemain-pemain dari Malaysia kerana mengekang asakan dari pemain-pemain dari China dalam separuh masa pertama dan berjaya melayakkan diri untuk ke peringkat kedua. Begitu juga dalam acara lumba basikal, nampaknya pihak penganjur ingin menyapu bersih pingat emas dengan memberikan jadual yang begitu ketat kepada peserta yang bertanding. Atlet-atlet boling negara kita juga bimbang sekiranya pihak penganjur meletakkan minyak pada laluan bola boling peserta lawannya yang menyebabkan bola akan tersasar ke tempat lain. Ini menyebabkan negara yang berpontensi untuk mendapatkan kemenangan dalam acara boling seperti Malaysia dan Singapura akan terlepas pingat emas. Sekurang-kurangnya kontigen negara sentiasa lebih bersedia apa-apa cabaran untuk mendapatkan apa-apa pingat di Sukan Asia Guangzhou, China.

Sabtu, 13 November 2010

Persaingan Bermula!


Dengan pembukaan Sukan Asia yang ke-16 di Guangzhou, China semalam maka bermulalah pemburuan 28 pingat emas pada hari pertama ini. Setakat ini China mendahului negara lain untuk berada di tangga pertama dalam pungutan pingat. Negara kita mendapat dua pingat gangsa pada hari pertama ini dan mungkin pertambahan pingat pada sebelah malamnya. Rakyat Malaysia juga tertunggu-tunggu dengan kemenangan Malaysia keatas China dalam acara bola sepak pada hari ini. Mereka mengharapkan pasukan bola sepak Malaysia berada dalam 16 pasukan yang layak ke peringkat seterusnya. Bagi mereka yang ingin melihat perlawanan bola sepak antara Malaysia melawan China, bolehlah menonton siaran tertunda pada 10 malam ini di RTM1. Semoga atlet-atlet Malaysia yang bertanding pada hari ini dapat memberikan keputusan yang hebat dan mengharumkan nama Malaysia dipersada Asia dan dunia.

Jumaat, 12 November 2010

Selamat Berjuang!



Hari ini bemulalah upacara pembukaan besar-besaran temasya Sukan Asia yang ke-16 di Guangzhou, China setelah berlangsungnya Sukan Komanwel di New Delhi, India. Dengan kehadiran atlet-atlet terhebat dari 45 negara di benua Asia serta para sukarelawan yang terlibat menyemarakkan lagi kehangatan Sukan Asia yang kedua terpenting selepas Sukan Olimpik. Sebanyak 476 pingat emas dalam 42 acara yang perlu direbut oleh mana-mana atlet yang bersaing dalam temasya yang begitu berprestij di benua Asia. Sememangnya tampak unik degan kehadiran maskot kambing di dalam Sukan Asia pada kali ini. Jadi kepada rakyat Malaysia, jangan lupa menyaksikan upacara pembukaan Sukan Asia 2010 Guangzhou, China pada 8.30 malam ini di RTM1 dan Astro. Selamat menonton!

Rabu, 10 November 2010

Turun Padang.

Salam untuk para pembaca yang dihargai. Jika kita terlibat dalam mana-mana bahagian perniagaan sememangnya perlu turun padang berjumpa dengan masyarakat setempat. Sekurang-kurangnya kita perlu tunjuk muka kita dalam apa-apa majlis seperti majlis kenduri kahwin, gotong-royong membersihkan pembiakan nyamuk aedes, sukaneka, pasar malam, bazaar Ramadhan dan rumah terbuka bagi mana-mana perayaan. Ada juga kakitangan bagi sesebuah syarikat yang pergi dari rumah ke rumah di taman atau di kampung untuk memberitahu tentang promosi jualan. Mereka juga menggunakan van dan pembesar suara untuk menarik perhatian ramai penduduk setempat.Dengan ini ramai pengguna yang mengetahui tentang promosi dan produk dari masa ke semasa. Malah ada pengguna yang menghargai usaha mereka yang memberitahu tentang produk dan perkhidmatan yang terbaru yang disediakan. Dengan aktiviti turun padang secara tidak langsung akan memberi kesan persaingan yang hebat kepada pesaing yang lain untuk menarik ramai pelanggan datang ke premis mereka.

Ahad, 7 November 2010

Sukan Asia Akan Bermula.


Tinggal beberapa hari lagi majlis pembukaan Sukan Asia di Guangzhou, China. Jadi kita sebagai rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada atlet-atlet negara untuk mencapai 9 emas di Guangzhou. Sememangnya kita mengharapkan atlet-atlet negara yang bertanding tidak cepat mengalah dan sentiasa fokus untuk mendapatkan apa-apa pingat dalam temasya Sukan Asia yang berprestij ini. Rakyat Malaysia juga mengharapkan pasukan Malaysia dapat mengalahkan pasukan dari Kyrgyztan dalam acara bola sepak pada hari esok sebelum bertemu dengan pasukan gergasi seperti China dan Jepun. Kepada atlet-atlet yang gagal dalam Sukan Komanwel di Delhi, India, anda boleh memberikan aksi-aksi yang menarik dan berusaha mendapatkan pingat dalam kejohanan sukan yang kedua terbesar di dunia selepas Olimpik. Malaysia Boleh!

Selasa, 2 November 2010

Mencari Juruwang Yang Jujur dan Cekap.

Salam untuk pembaca yang budiman. Sekiranya anda bekerja sebagai pengurus di sesebuah premis jualan, memang sukar untuk mendapatkan juruwang yang lebih jujur untuk mengendalikan bahagian kaunter jualan. Walaupun anda memasang CCTV atau perakam suara mungkin dapat mengesan juruwang yang tidak jujur dan suka mencuri wang di kaunter jualan. Ada juga pengurus cawangan yang terpaksa duduk di bahagian kaunter jualan disebabkan sukar mempercayai kakitangannya sendiri dan pernah mengalami pengalaman wang yang dicuri oleh juruwang. Tambahan pula ada pengurus yang merasakan terbeban dengan pemasangan CCTV dan perakam suara yang memerlukan kos yang begitu tinggi.
Memang biasa berlaku dimana memang ramai juruwang yang berhenti kerja disebabkan duit yang hilang semasa berurusan dengan pelanggan dan ada juruwang yang yang tersalah bagi wang kepada pelanggan. Ini menyebabkan juruwang mengalami tekanan dengan pemotongan gaji sekiranya duit hasil jualan kurang dari yang direkodkan di dalam komputer. Sememangnya amat sukar untuk mendapatkan juruwang yang boleh bekerja lama dan daya ketahanan diri yang kuat di sesuatu premis perniagaan.

Isnin, 1 November 2010

Memiliki Runner Yang Hebat.

Setiap syarikat memang memerlukan seorang runner yang cukup hebat dan berbakat untuk menaikkan jualan dan rating syarikatnya. Dengan adanya runner dapat melicinkan lagi perjalanan sesuatu perniagaan dan dapat membantu untuk mendapatkan ramai pelanggan yang singgah ke premis perniagaannya. Runner umpama gula yang menarik ramai pihak yang ingin berurusan dengannya dan menyebabkan ramai pelanggan yang lebih setia dan sentiasa bersama memberi sokongan padu untuk syarikat jualannya. Mereka juga dapat mencari pembekal dengan mudah dan berkebolehan untuk mendapat harga barang yang begitu murah dari pembekal. Dengan memiliki skil pemasaran yang tinggi dan nilai tambah seperti penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina dapat memberi kelebihan kepada runner untuk memantapkan lagi jualan syarikatnya dan boleh pergi lebih jauh dalam bidang perniagaan. Seorang runner biasanya rajin turun padang dengan meninjau keadaan sekeliling dan lebih peka dengan kehendak pelanggan di luar sana. Malah seorang runner itu tidak kekok membuat aktiviti sampingan bersama lapisan masyarakat dan ini dapat merapatkan lagi hubungan runner dan pelanggan setempat.

Ahad, 31 Oktober 2010

Akhirnya Kita Ada Juara Baru!


Tidak sangka akhirnya Red Warriors dapat mengalahkan juara bertahan, Negeri Sembilan dengan kemenangan 2-1 yang memberikan nafas baru untuk Piala Malaysia pada tahun ini. Memang begitu lama negeri Kelantan ingin bergelar juara dalam Piala Malaysia sejak tahun 1948. Sememangnya peminat-peminat Red Warrior ternanti-nantikan kemenangan tersebut pada malam semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil. Tahniah diucapkan kepada para-para pemain Kelantan yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia kali ini. Dengan adanya Piala Malaysia, ia dapat melahirkan pemain-pemain pelapis yang lebih hebat dan berwibawa pada masa akan datang.

Isnin, 25 Oktober 2010

Jerebu.

Salam sejahtera kepada pembaca yang budiman. Sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu di dalam blog saya ini memandangkan saya baru sembuh dari demam yang disebabkan virus. Itupun mengambil masa yang begitu lama untuk sihat sepenuhnya dan kembali untuk bekerja pada hari keesokkannya. Baru-baru ini jerebu melanda di negeri-negeri selatan tanahair yang mana kadar pencemaran udara yang begitu tinggi dicatatkan di Muar, Johor dan menyebabkan kesemua sekolah di Muar ditutup sementara untuk mengelakkan ramai pelajar yang sakit. Pada minggu lepas, saya melihat sendiri cahaya matahari yang begitu malap pada sebelah pagi di bandar Mersing. Ramai yang mengalami batuk, selesema, demam dan sukar bernafas semasa jerebu berlaku sehingga menjejaskan prestasi kerja. Punca jerebu ini berlaku disebabkan pembakaran yang begitu kerap di negara jiran. Kita yang duduk di selatan tanahair yang menerima akibatnya. Dengan ada usaha pembenihan awan di negara kita dapat mengurangkan kesan jerebu ini.

Selasa, 19 Oktober 2010

Mengeksploitasi Pelajar Sekolah Untuk Mengutip Derma.

Salam untuk pembaca yang budiman. Ingatkan tiada pelajar yang dieksploitasi untuk mengutip derma untuk sekolahnya dan memberi cenderahati kepada pemberi derma berupa kalender, buku kecil atau tisu. Rupanya hari ini saya baru ternampak seorang pelajar perempuan yang menunggu orang yang lalu di depan bank dengan membawa sedikit barangan dengan resitnya sekali. Bila saya bertanya kepada pelajar perempuan itu dia memberitahu kepada saya yang dia bersekolah di utara Semenanjung. Rupa-rupanya kerap juga meletakkan pelajar di depan bank untuk mengutip derma untuk sekolahnya. Bila waktu menunjukkan jam 5 petang barulah pelajar perempuan itu beredar dan mungkin pelajar ini menaiki van atau kereta yang dibawa oleh gurunya. Kemungkinan esoknya pelajar yang serupa diletakkan di depan bank tersebut dan pelajar yang lain diletakkan di depan bank yang lain. Sebelum ini ada juga pelajar lelaki yang memakai songkok, kemungkinan dari sekolah agama yang berkeliaran di depan bank untuk mengutip derma. Sekali-sekala pelajar lelaki ini ada masuk ke dalam kedai untuk membeli sesuatu. Sememangnya tidak sepatutnya seorang guru mengeksploitasi pelajarnya untuk mengutip derma untuk sekolahnya dan membiarkan mereka dengan begitu kerap. Bagi sesetengah orang mungkin beranggapan baik untuk pelajar itu mengutip derma untuk memajukan sekolahnya dan derma itu mungkin untuk membina surau sekolah dan sebagainya.

Ahad, 17 Oktober 2010

Jom Ke Kedai Baru!


Salam untuk pembaca budiman. Semakin hari semakin bertambah kedai baru yang mula beroperasi di tepi Sungai Mersing. Semalam kedai pakaian sukan baru dibuka untuk pelanggannya dan memberikan potongan harga yang istimewa bagi barangan yang terpilih. Banyak juga jenama-jenama yang terkenal seperti Adidas, Lotto, Diadora, Nike, Molten, Ipenema dan sebagainya yang menjadi pilihan ramai pelanggan yang mengunjungi premis yang baru ini. Ada pelanggan yang terlepas untuk memiliki barangan seperti kasut sukan, bag, baju dan sebagainya. Sesekali saya pergi untuk melihat sendiri premis disitu dan berkenalan dengan pekerjanya. Memang tampak menarik dan lebih mesra pelanggan. Dengan pembukaan premis yang baru ini dapat memberikan suasana yang segar di bandar Mersing dan menarik ramai pengunjung datang ke bandar Mersing. Selain itu menggalakkan orang ramai meminati sukan dan rajin beriadah demi menjaga kesihatan diri.

Khamis, 14 Oktober 2010

Penutup Sukan Komanwel di India.


Tahniah kepada para pemain badminton Malaysia yang menyumbangkan empat pingat emas menjadikan negara kita, Malaysia mencapai 12 pingat emas dan melebihi sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan. Secara tidak langsung kontigen Malaysia sudah mencatatkan rekod baru dari segi pencapaian tertinggi mengutip pingat emas di Sukan Komanwel Delhi, India 2010 dan mengatasi kutipan pingat emas di Sukan Komanwel Kuala Lumpur, Malaysia 1998. Dengan menyerlahnya bintang-bintang baru seperti Nursuryani, Nor Ayuni, Pandelela Rinong dan Josiah Ng memberi kekuatan kepada kontigen Malaysia untuk mencapai 12 pingat emas pada hari penutup Sukan Komanwel edisi terbaru ini. Negara kita Malaysia berada di kedudukan yang ke-7 untuk pungutan pingat dan mengatasi negara lain seperti Singapura, Nigeria, Scotland dan New Zealand. Malam ini merupakan penutup Sukan Komanwel di India dan empat tahun lagi kita akan menunggu Sukan Komanwel di Scotland. Majulah Sukan Untuk Negara, Malaysia Boleh!

Selasa, 12 Oktober 2010

Menghampiri Sasaran 10 Pingat Emas.


Nampaknya kontigen Malaysia semakin bersemangat untuk menambah 3 pingat emas pada hari-hari terakhir di Delhi, India untuk mencapai sasaran 10 pingat emas. Dengan pencapaian ini, nampaknya Malaysia boleh memintas negara lain dari segi kedudukan pingat. Dengan berbaki beberapa hari lagi Sukan Komanwel akan berlabuh tirainya, kontigen Malaysia boleh mendapatkan pingat emas bonus sebanyak yang mungkin dan dapat mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Malaysia Boleh!

Khamis, 7 Oktober 2010

AzizulHasni, Jangan Mudah Mengalah!


Memang mengejutkan apabila kemenangan Azizulhasni dalam merebut pingat emas dalam kieren terbatal begitu sahaja disebabkan menghimpit pesaing dari New Zealand. Tetapi nasib menyebelahi Josiah Ng untuk mendapatkan emas pertama negara dalam lumba basikal. Kepada AzizulHasni Awang, anda tetap juara walaupun juri membatalkan kemenangannya dan tahniah kepada Josiah Ng kerana mendapat pingat emas untuk negara. Mungkin rezeki AzizulHasni di tempat lain. Manatahu AzizulHasni boleh mendapat kejayaan di Olimpik London tahun depan. Jadi kita sebagai rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepadanya. Malaysia Boleh!

Rabu, 6 Oktober 2010

Hari Cemerlang Untuk Badang Negara & Lumba Basikal.


Nampaknya pencapaian pada hari kedua dalam temasya Sukan Komanwel di Delhi, India terutama dalam acara angkat berat dan lumba basikal menghadiahkan beberapa pingat kepada rakyat Malaysia. Dengan peningkatan penerimaan beberapa pingat ini, Malaysia berada dalam top 5 dalam senarai negara yang bertanding pada setakat ini dan mengatasi Afrika Selatan dan Singapura sekaligus. Walaupun Rizal Tisin gagal dalam perebutan pingat emas dalam lumba basikal ini, kita seharusnya berbangga pencapaiannya di peringkat antarabangsa. Secara tidak langsung nama Malaysia tetap mekar di mata dunia.

Selasa, 5 Oktober 2010

Tahniah Amirul Hamizan!


Tahniah kepada Amirul Hamizan Ibrahim kerana mendapat emas sulung negara dalam acara angkat berat dalam Sukan Komanwel di Delhi, India semalam. Sekaligus dapat mengulangi kejayaannya di Sukan Komanwel 2002 di Manchester. Semuanya berjalan begitu baik pada hari pertama temasya Sukan Komanwel 2010 terutama skuad hoki wanita negara yang dapat membenam pasukan Kanada dan Nicol David yang menang mudah dalam pusingan pertama dalam squash. Bagi atlet-atlet yang kurang berjaya, mungkin ada peluang dalam temasya sukan yang lain seperti Sukan Asia yang akan berlansung di Guongzhou, China pada penghujung tahun ini. Bagi atlet-atlet Malaysia yang akan bertanding pada hari berikutnya, semoga anda semua ada keyakinan diri dan bersemangat untuk memenangi pingat Sukan Komanwel 2010 untuk rakyat Malaysia.

Isnin, 4 Oktober 2010

Terima Kasih India & Selamat Berjuang Kepada Atlet-Atlet Malaysia!


Kami rakyat Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur Sukan Komanwel Edisi Terbaru, India terutama Mr. Suresh Kalmadi yang bertungkuslumus untuk menyajikan persembahan yang hebat pada malam gemilang pembukaan temasya Sukan Komanwel di stadium Jawaharlal Nehru semalam. Sememangnya meriah dengan sambutan dari penonton seluruh dunia. Dengan kemunculan pasukan dari Malaysia yang masuk ke dalam stadium menambahkan kebanggaan untuk rakyat Malaysia dan rakyat Malaysia menunggu emas sulung dari atlet angkat berat pada hari pertama temasya sukan ini. Selamat berjuang kepada atlet-atlet Malaysia!

Ahad, 3 Oktober 2010

Pemburuan Pingat Emas Bermula Untuk Malaysia.


Dengan majlis pembukaan Sukan Komanwel yang gilang-gemilang di Delhi India pada malam ini, maka bermulalah pemburuan pingat emas oleh pasukan Malaysia. Kita sebagai rakyat Malaysia mengharapkan atlet-atlet Malaysia sudah bersedia dan bersemangat untuk mendapatkan pingat emas yang sulung dalam temasya Sukan Komanwel yang membuka tirainya pada hari ini. Dengan kemenangan oleh atlet-atlet Malaysia dalam mana-mana acara yang dipertandingkan, maka berkumandanglah lagu Negaraku yang menaikkan semangat patriotik kita. Kita mendoakan yang terbaik untuk atlet-atlet kita yang bertanding dalam temasya yang ada tarikannya tersendiri di bumi Asia Selatan. Kepada rakyat Malaysia, selamat menonton temasya Sukan Komanwel di Astro!

Sabtu, 2 Oktober 2010

Sukan Komanwel di Delhi India.



Bermula pada hari esok dengan rasminya Sukan Komanwel yang akan diadakan di Delhi, India. India merupakan tuan rumah Asia yang ke-2 selepas Malaysia. Jadi kita sebagai rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada atlet-atlet Malaysia yang bertanding dalam temasya yang gilang-gemilang ini. Sememangnya kita mengharapkan pasukan atlet Malaysia dapat membawa pulang 10 pingat emas yang menyamai pingat emas pada Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada 1998. Ada yang mengharapkan atlet Malaysia dapat memberikan aksi yang memberangsangkan di dalam temasya ini. Antara tumpuan kita sudah pastilah badminton, skuasy, lumba basikal dan boling padang yang boleh menyumbangkan lebih pingat untuk rakyat Malaysia. Semoga atlet-atlet sentiasa bersemangat, dalam keadaan bertenang dan mematuhi arahan jurulatih untuk mendapatkan keputusan yang terbaik.

Rabu, 8 September 2010

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Dan Batin.


Salam untuk semua pembaca yang budiman. Memandangkan esok saya balik ke kampung saya di Muar, Johor, saya ingin mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin kepada rakan-rakan blogger, facebook (Dayang Norita, Shamsul Kamar, Yusnizam, Mazlinda, Normala, Manzilah, Husziatini, Nik Nurma, Nik Mansur, Khatijah, Juliza, Mohd. Ghazni, Norhisyam, Yanti Sulaiman, Fahrin, Linda, Zam Ali, Hafiz Lidin, Norzulita, Asyraf, Zul Rahim, Shahri, Zulhashim Din dan lain-lain), myspace,friendster, twitter dan rakan sembang yang lain. Semoga kalian selamat balik ke kampung halaman masing-masing. Bagi rakan yang bekerja pada musim perayaan, berilah perkhidmatan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia. Jangan lupa buat segala persiapan sebelum Hari Raya ini dan kita akan bertemu lagi selepas ini. (Jangan lupa bayar zakat fitrah sebelum 1 Syawal)

Selasa, 7 September 2010

Penhujung Ramadhan.


Salam Ramadhan untuk muslimin & muslimat sekalian. Nampaknya kita berada hampir ke penghujung bulan Ramadhan. Ramai yang membuat persediaan untuk membeli-belah di pasaraya disaat akhir dan ada yang merebut peluang untuk menambahkan pahala dalam bulan yang dikenali penghulu bagi semua bulan dalam kalendar Islam. Kita mendapat tahu bahawa keadaan begitu padat dan sesak pada malam-malam terakhir di tanah suci Mekah. Ramai yang mengambil peluang untuk beribadah di Mekah pada malam yang ke-27 dalam bulan Ramadhan baru-baru ini. Sememangnya kita akan meraikan hari kemenangan pada 1 Syawal ini bersama keluarga tersayang.

Isnin, 6 September 2010

Surah Yasin.

Salam Ramadhan untuk semua pembaca budiman. Sememangnya banyak keistimewaan apabila kita mengamalkan pembacaan surah Yasin pada bulan Ramadhan ini dengan menghayati maksudnya. Dengan membaca ayat no. 41, InsyaAllah kita akan selamat apabila menaiki kenderaan. Jika pembaca budiman rajin membaca ayat no. 1 hingga 9, InsyaAllah ia dapat menjaminkan keselamatan diri. Malah Ayat no.29 merupakan jantung kepada surah Yassin. Jika diamalkan ayat no. 29, InsyaAllah dapat mengelakkan diri dari di fitnah dan teraniaya. Ayat 22 hingga 23 pula dapat menjaga akidah kita dari terpesong. Malah dapat memberi hidayah kepada anak kita. Dengan ilmu yang saya dapat ini dapat memberi manfaat kepada pembaca semua. Selamat beramal di bulan yang mulia ini.

Sabtu, 4 September 2010

Hamper Raya.


Salam Ramadhan untuk pembaca budiman. Nampaknya kita berada di penghujung bulan Ramadhan. Jadi rebut-rebutlah pahala yang ada pada penghujung Ramadhan ini. Ditambah pula dengan kehadiran malam lailatul qadr yang membawa banyak keberkatan.Kalau dahulu pemberian kueh raya sangat popular tetapi sejak kebelakangan ini pemberian hamper raya begitu menggalakkan. Ramai orang yang sudah membeli hamper raya dan akan diberikan kepada orang yang memerlukan seperti fakir miskin dan anak yatim. Ada juga yang memberi hamper raya kepada rakan-rakan dan majikan masing-masing. Dengan pemberian hamper raya ini dapat menceriakan kehidupan orang yang susah dan memerlukan, disamping dapat mengeratkan hubungan siratturrahim.

Rabu, 1 September 2010

Anak Yatim.


Apabila Bulan Ramadhan menjelma, pasti golongan anak yatim mendapat bantuan dari syarikat-syarikat yang terkenal. Dengan pemberian wang, baju raya dan makanan dapat mengurangkan bebanan pada anak yatim. Begitu juga sumbangan dari kita kepada anak yatim dalam bulan Ramadhan akan memberikan kita pahala yang berganda berbanding bulan yang lain. Sememangnya anak yatim merupakan golongan yang amat bertuah dalam bulan Ramadhan dimana mereka mendapat duit zakat. Jadi kita sentiasa memberi bantuan kepada anak yatim terutama dari segi pendidikan. Dengan duit yang kita perolehi, bolehlah disumbangkan sebahagiannya kepada sekolah anak yatim.

Selasa, 31 Ogos 2010

Duit Raya.


Salam Ramadhan untuk semua pembaca yang budiman. Nampaknya ramai kakitangan kerajaan dan swasta akan menerima duit raya yang dapat mengurangkan bebanan pada musim perayaan ini. Dengan adanya jualan murah di pasaraya-pasaraya dapat menjimatkan wang dan dapat berbelanja dengan penuh berhemah. Kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi memberi bonus raya kepada kakitangan awam dan dapat meningkatkan kualiti ekonomi negara. Di Hari Raya ini, kanak-kanakpun tidak terkecuali untuk mendapatkan duit raya untuk simpanan mereka. Jadi kita kena bersedia untuk menyediakan duit raya dan mendapatkan sampul duit raya yang begitu menarik dari bank atau pasaraya yang terkenal. (Tidak sangka akhbar kegemaran saya, Kosmo sudah menjangkau usia 6 tahun. Semoga terus sukses dengan perkembangan terbaru)

Isnin, 30 Ogos 2010

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-53.


Salam untuk semua pembaca yang dihormati. Nampaknya kita sudah masuk hari yang ke-20 kita berpuasa dan akan masuk 10 hari yang terakhir dalam bulan Ramadhan. Ditambah pula esok Hari Kemerdekaan yang jatuh dalam bulan puasa. Sememangnya nampak menarik pada tahun ini kita akan bersama-sama menantikan detik jam pukul 12 tengahmalam ini. Semoga anda dapat mengibarkan Jalur Gemilang pada malam ini. Tidak kira anda mengibarkan Jalur Gemilang di kedai, rumah atau pada kenderaan anda sendiri. Marilah kita laungkan Merdeka pada malam ini. (Merdekakan diri dari perkara-perkara yang kita tidak ingini)

Ahad, 29 Ogos 2010

Lagu Hari Raya.


Salam Ramadhan untuk para pembaca budiman. Nampaknya dihujung minggu ini kedengaran lagu-lagu raya yang berkumandang dan menusuk ke kalbu terutama lagu raya dulu-dulu. Lagu dendangan Allahyarham P. Ramlee, Dendang Perantau dan lagu dendangan Fazidah Joned menjadi kemestian untuk diputarkan di corong-corong radio semasa musim perayaan tidak lama lagi. Ditambah dengan kehadiran lagu-lagu baru dari penyampai-penyampai Hot FM dan Suria FM merancakkan lagi sambutan Hari Raya tahun ini. Ramai yang suka mendengar suara merdu Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan ramai artis baru yang mewarnai lagu-lagu Hari Raya sebelumnya. Pada masa sekarang ramai orang yang membeli nada ringtone Hari Raya berbanding membeli kaset atau CD Hari Raya. Sekurang-kurangnya dengan adanya lagu-lagu Hari Raya dapat memberi simbol dari segi mengeratkan hubungan siraturrahim sesama kita di musim perayaan ini.

Sabtu, 28 Ogos 2010

Malam Lailatul Qadar.


Salam Ramadhan kepada para pembaca yang budiman. Sesungguhnya kita tidak sabar menunggu kehadiran malam lailatulkadar yang penuh keberkatan. Kebiasaannya malam lailatulkadar akan hadir dalam 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan terutama malam bernombor ganjil. InsyaAllah doa pada malam itu akan dimakbulkan dan pahala pada malam itu lebih berlipat kali ganda. Keadaan malam tersebut dalam keadaan tenang tanpa salakan bunyi anjing, banyak pokok yang menunduk ke bawah dan langit seakan gelap tanpa bintang yang berkerdipan. Pada keesokan harinya keadaan awan agak putih salju dan cuaca nampak tenang dan redup. Pada malam lailatulkadar, ambillah kesempatan untuk melakukan banyak ibadah, bacaan Al Quran, berzikir dan banyakkan berdoa.

Jumaat, 27 Ogos 2010

Zakat Fitrah.


Sudahkah anda menunaikan zakat fitrah? Sememangnya umat Islam wajib membayar zakat fitrah dalam bulan Ramadhan ini. Kadar zakat fitrah di Johor adalah RM5 bagi yang berpendapatan rendah dan RM7.50 bagi yang berpendapatan sederhana dan tinggi. Bagi yang berkeluarga, suami perlu membayar zakat untuk tanggungannya. Biasanya kita akan membayar zakat pada amil di masjid atau di surau. Di samping itu kita boleh menyumbangkan derma kepada anak yatim dan fakir miskin yang memerlukan. Dengan membayar zakat dan memberi derma kepada golongan yang layak menerima zakat, InsyaAllah ia dapat menyucikan harta kita.

Khamis, 26 Ogos 2010

Mercun Oh Mercun!


Sejak kebelakangan ini kita banyak mendengar kes kematian disebabkan mercun. Yang terbaru kematian seorang budak lelaki yang tersangkut pada dahan pokok. Memang mengerikan sehingga otaknya tersembul keluar. Banyak juga kes kecederaan yang disebabkan mercun terpampang di muka depan media cetak. Di tempat saya, ramai juga budak-budak yang bermain mercun sehingga mengganggu orang lain bersembahyang terawih di surau dan masjid. Mungkin kita kena berbuat sesuatu untuk mengelakkan tragedi disebabkan mercun di dalam bulan yang mulia ini. Apabila sudah terkena padah disebabkan mercun, mungkin kanak-kanak ini akan menyesal seumur hidup. (Sesekali teringat lagu "Jangan Main Mercun")

Rabu, 25 Ogos 2010

Duit Palsu


Pada musim perayaan ini, kes duit palsu sering berlaku terutama ketika berurusniaga antara peniaga dengan pelanggan. Sebelum ini saya juga berdepan dengan situasi begini dimana duit palsu itu berkeadaan keras, mudah pudar dan lebih kecil berbanding yang sebenar. Tambahan pula tiada imej nilai ringgit yang timbul semasa melihat secara melintang. Jadi untuk mengelakkan perkara ini berlaku, anda perlu tahu keadaan duit palsu tersebut. Adakalanya hanya separuh nombor pada hujung duit palsu dan adakalanya tiada gambar bayang Sultan pada permukaan putih. Anda juga boleh menggunakan pengesan duit palsu semasa urusan jual beli. Sekiranya anda menerima duit lusuh dari seseorang, pastikan anda menolak duit itu dan meminta duit yang baru. Biasanya kes duit palsu melibatkan RM50 dan RM100. Jadi diharapkan anda mengambil langkah berjaga-jaga mengenai duit palsu semasa musim perayaan ini.

Adakah Hati Rakyat Malaysia Rasa Tercabar?


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita tindakan segelintir rakyat negara seberang yang begitu emosional dengan melemparkan najis di depan pejabat kedutaan kita. Malah mereka menconteng dan memijak bendera Jalur Gemilang dengan rakusnya. Sememangnya kita rakyat Malaysia berasa tercabar dengan tindakan mereka yang begitu melampau. Memandangkan kita ingin menyambut hari kemerdekaan tidak lama lagi, mereka mengambil kesempatan untuk membuat perkara yang merugikan negara mereka. Jadi saya harap rakyat Malaysia dapat membuat keputusan yang bijak dengan membatalkan percutian atau perjalanan ke negara seberang dalam tempoh terdekat ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Selasa, 24 Ogos 2010

Zaman Berubah Kad Raya Tinggal Kenangan.


Salam Ramadhan kepada semua muslimin dan muslimat. Sementara saya menunggu azan subuh, saya berbicara mengenai kad raya yang semakin hari semakin tidak popular dikalangan pengguna. Pada zaman 70-an sehingga 90-an kad raya merupakan medium yang popular untuk mengucapkan Hari Raya kepada rakan-rakan terutama yang jauh dimata tetapi dekat dihati. Pada zaman itu kad raya memberikan kesan yang begitu mendalam kepada penerima terutama pelajar-pelajar yang berada di perantauan . Dengan kewujudan laman sosial yang begitu popular seperti Facebook, Twitter dan Myspace dan SMS bergambar mengurangkan populariti kad raya yang sedia ada. Tambahan pula harga setem yang meningkat sehingga 60 sen menyebabkan orang ramai hilang minat untuk menghantar kad raya. Ramai juga pengedar kad raya yang mengeluh dengan situasi sebegini. Diharap pengedar kad raya mencari alternatif untuk menarik perhatian umum untuk mengelakkan kerugian pada masa akan datang dengan menyediakan e-kard raya dan mencari kelainan kepada pengguna.

Isnin, 23 Ogos 2010

Berbuka Puasa di Mydin Mall MITC Melaka.


Salam untuk pembaca yang budiman. Saya dan isteri sempat juga berbuka puasa di Mydin Mall, MITC, Melaka bersama anak tersayang. Memang padat dengan pengunjung untuk berbuka puasa disitu. Dengan pelbagai juadah yang enak disitu, sememangnya menjadi satu tarikan Mydin Mall pada bulan Ramadhan ini. Ditambah pula ruang solat yang begitu luas, pelbagai kemudahan yang begitu baik sekali dan tempat meletak kenderaan yang percuma dan banyak memberi keselesaan kepada pengunjung. Memang ramai pengunjung yang membeli baju raya, kueh raya dan kelengkapan lain untuk menyambut Hari Raya tidak lama lagi. Saya harap para pembaca berbelanja dengan lebih berhemah dan elakkan penggunaan kad kredit secara berlebihan semasa bulan Ramadhan ini. Selamat berpuasa!

Jumaat, 20 Ogos 2010

Sata


Pernahkah anda mencuba sata untuk berbuka puasa? Pasti orang yang tidak pernah datang ke Pantai Timur, mungkin tidak tahu apa itu sata. Jika anda singgah ke Mersing atau ke negeri Pantai Timur, anda akan jumpa gerai-gerai yang akan menyediakan sata dimana sata ini dibalut dengan daun pisang dan dibakar diatas para. Sata merupakan makanan tradisi di Pantai Timur dan merupakan campuran isi ikan, bawang, tepung dan cebisan lada hijau. Biasanya sata dicucuk dengan lidi. Sekali anda merasa sata, pasti anda ingin membelinya dan boleh makan secara bersantai ditepi pantai Air Papan, Mersing.

Khamis, 19 Ogos 2010

Akhirnya Pelanggan Aku DiKebumikan Di Perkuburan Orang Islam.

Salam untuk semua pembaca muslimin dan muslimat. Hari ini kita sudah masuk hari kesembilan kita berpuasa. Memang mengejutkan apabila saya mendengar berita semalam. Seorang pelanggan yang tinggal di Endau akhirnya dikebumikan di perkuburan orang Islam. Sebelumnya saya memang berurusan dengan pelanggan ini. Memang banyak kenangan bersama beliau yang tidak dapat saya lupakan. Sememangnya pelanggan ini mengalami penyakit kencing manis yang menyebabkan sebelah kakinya dipotong. Sebelum dia memeluk agama Islam, dia rapat dengan imam di Endau. Selepas 3 hari dia memeluk Islam, akhirnya dia menghembuskan nafas dan dikebumikan di Perkuburan Orang Islam di Endau. Alhamdulillah akhirnya dia sempat juga memeluk agama Islam.

Selasa, 17 Ogos 2010

Gengblogger


Salam untuk semua pembaca. Anda boleh klik pada banner diatas untuk mengetahui perkembangan blogger-blogger lain. Manatahu anda akan mendapat info-info yang berfaedah daripada gengblogger. Selamat berbuka puasa!

Murtabak



Murtabak memang popular semasa bulan Ramadhan. Intinya cebisan-cebisan daging lembu atau daging ayam, telur, bawang dan sayur-sayuran amat sesuai untuk berbuka puasa dan sahur. Murtabak boleh dicicah dengan kuah kari dan bawang yang diperam sehingga menjadi warna sirap merah. Sekiranya anda bersahur dengan murtabak, anda akan berasa kenyang sampai berbuka pada hari keesokkannya. Sememangnya daging didalam murtabak ini lambat dicernakan didalam perut. Jadi perut tidak akan terasa lapar.

Isnin, 16 Ogos 2010

Nasi Kerabu & Solok Lada



Hidangan berbuka puasa yang semakin mendapat tempat di hati orang Mersing ialah Nasi Kerabu. Ditambah pula dengan solok lada, ayam berempah, daging goreng, ikan goreng, ulam-ulam dan telur masin yang mengecurkan air liur pelanggan yang memerhatikannya dalam bulan puasa ini. Sememangnya warnanya yang unik iaitu kebiru-biruan dan adakalanya berwarna ungu yang pasti memberi kepuasan kepada pelanggan yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Bazaar Ramadhan di tepi Sungai Mersing. Pasti anda akan tertawan dengan menu yang menarik di Bazaar Ramadhan dalam bulan Ramadhan ini. Selamat berbuka puasa!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...