Jumaat, 4 Januari 2013
Pentingnya Kereta Kedua.
Sebut tentang kereta, ramai rakan kita di luar sana memiliki sehingga dua atau tiga buah kereta mengikut kemampuan masing-masing. Bagi suami isteri yang bekerja sudah semestinya mempunyai sekurang-kurangnya dua kereta. Jadi memudahkan segala urusan kerja khususnya kerja luar tempat kerja. Bagi sesetengah kita yang sudah habis membayar segala ansuran kereta dan hayat keretanya lebih 10 tahun mungkin bercadang untuk menolak kereta lama kepada syarikat penjual kereta untuk dijadikan duit pendahuluan yang tidak dikenakan rebat. Mungkin ada yang melihat duit installmentnya serta kadar interest bank terlalu tinggi jika tiada duit pendahuluan dikenakan dan sudah pasti perbelanjaan bulanan menjadi lebih membebankan dengan insuran kereta yang begitu tinggi. Jika anda masih mempunyai hutang dengan bank berbaki lebih 5 tahun mungkin anda tidak digalakkan menukar kereta anda kepada kereta yang baru kerana mungkin anda akan mengalami lebih kerugian dengan menyusutnya kadar harganya. Ada sesetengah kita mungkin menjadikan kereta utama mereka untuk perjalanan jauh dan kereta keduanya untuk perjalanan dekat dan jimat minyak. Mungkin anda berfikir samaada berbaloi atau tidak untuk membeli kereta kedua yang lebih kecil saiznya (tiada bonet) tetapi kadar pembayaran ansurannya kepada bank menjangkau sehingga 9 tahun. Jadi anda perlulah berfikir bagaimana untuk memilih kereta kedua dengan membuat kiraan bayaran dengan tepat dan mengetahui kelebihan dan kekurangan kereta yang anda pilih.(Kalau kereta second hand yang dalam keadaan tidak meragam dan selamat di jalan raya mungkin berbaloi menjadi kereta kedua dengan kadar harganya bawah RM30K seunit)
Rabu, 2 Januari 2013
Kisah Menarik Dari Pulau-Pinang.
Seronok bercerita dengan rakan yang baru pulang dari Pulau-Pinang dan sesekali teringat kembali memori indah bersama isteri di Bukit Bendera pada tahun sebelumnya. Macam-macam kisah menarik yang boleh dijadikan teladan dan boleh menjadi panduan bagi rakan-rakan yang ingin singgah di pulau mutiara ini. Bila tengok gambar-gambar dirakamkan oleh rakan, ternampak sebuah jambatan yang baru akan siap tidak lama lagi yang menghubungkan Pulau-Pinang dengan negeri Kedah dan mengurangkan lagi kesesakan di jambatan utamanya yang menghubungkan dengan Seberang Perai. Begitulah pesatnya membangunnya negeri tersebut. Rakan saya memberitahu kepada saya yang dia terpaksa mengeluarkan duit hampir RM100 untuk membayar tol dari Ayer Hitam hingga ke Pulau-Pinang. Sememangnya jalan raya di Pulau-Pinang amatlah sibuk ketika waktu puncak dan cara pemanduan kebanyakan pemandu di sana amat berbeza berbanding di Johor yang sentiasa lebih berhemah dan berhati-hati. Mungkin mereka ingin cepat pergi ke tempat kerja walaupun terdapat banyak lampu isyarat di sana. Bila bercerita tentang hotel di sana, harga hotel bajet lebih mahal berbanding di Johor dan Melaka yang menawarkan harga yang berpatutan. Jadi tidak hairanlah kalau harga rumah teres setingkat 3 bilik dan 2 tandas boleh mencapai harga RM500K seunit berbanding harga seunit rumah di Johor yang mempunyai harga pasaran yang antara RM150K hingga RM280K. Jika anda mampu membeli rumah di sana, bolehlah anda membuat aset untuk masa depan anak-anak anda. Bila bercerita tentang makanan di sana, banyak makanan yang lazat-lazat tetapi lebih pedas seperti asam laksa, char koay teow, nasi kandar dan juga rojak. Apa yang menariknya tentang keadaan di Pulau-Pinang ada semangat mereka untuk belajar yang begitu kuat sehinggakan anak-anak mereka sentiasa pergi ke sekolah (tuisyen) tanpa mengambil cuti hujung tahun dan juga rajin berniaga serta rajin bangun pagi. (Senangnya mendapat kerja di Pulau-Pinang terutama di pasaraya, kedai dan kilang)
Hari Pertama Persekolahan.
Pagi-pagi lagi isteri saya berkemas dan bergegas ke sekolah untuk hari pertama persekolahan di sekolahnya pada hari ini. Maklumlah perlu datang awal sebelum pukul 7 pagi dan sudah pasti ramai ibubapa yang hadir di sekolah terutama ibubapa yang menghantar anak mereka untuk memasuki tahun satu. Bagi murid-murid yang naik tahun pula akan masuk ke kelas berdasarkan prestasi peperiksaan tahun lalu. Memang sibuk dan sebelum saya menghantar anak ke pengasuh sempat juga melihat MHI di TV3 yang memaparkan hari pertama persekolahan di Subang Jaya dan di Trengganu. Memang bersemangat sungguh murid-murid yang baru mula menempuh alam persekolahan pada tahun baru ini. (Teringat kembali semasa saya di Kudat, Sabah melihat anak-anak murid berkejar-kejaran semasa waktu rehat)
Selasa, 1 Januari 2013
Buka Buku Baru.
Salam semua pembaca yang budiman dan selamat menempuh cabaran-cabaran di tahun baru 2013. Maklumlah tahun 2012 sudah melabuhkan tirainya semalam dengan kenangan-kenangan manis, pahit dan bermacam-macam yang kita lalui. Nampaknya hari ini saya memulakan kerja pada shift sebelah petang dan mempunyai azam yang baru untuk mencapai target jualan yang ditetapkan. Sebelum memulakan tugas pada hari ini, sempatlah juga saya turun padang ke pasar lelong berdekatan pasaraya Tunas Manja Mersing dan sesekali singgah di deretan kedai disitu untuk membeli barang kelengkapan rumah yang baru diduduki. Rata-rata kebanyakan kita sudah membuat persediaan baru untuk tahun baru ini setelah melunaskan segala azam tahun 2012. Memang menyeronokkan bila azam tahun lepas sudah tercapai dan mendapat bonus yang begitu besar. Semoga tahun 2013 memberi tuah kepada anda semua dan menjalani hidup yang lebih sempurna dengan rezeki yang melimpah ruah. (Sampai saya terlupa bank dan pejabat kerajaan beroperasi seperti biasa pada 1 Januari 2013 di negeri Johor. Jadi senang membayar bil-bil semasa dan insuran melalui bank)
Langgan:
Catatan (Atom)



