Pages

Isnin, 21 Mac 2011

Persediaan Lebih Awal.

Dalam dunia yang lebih mencabar terutama bagi sesiapa yang terjun dalam bidang perniagaan sudah pastinya masa adalah penting untuk diisi dengan perkara-perkara yang boleh menguntungkan syarikat atau premis jualan. Dengan membuat persediaan lebih awal dapat melicin perjalanan sesuatu urusniaga yang lebih cemerlang. Saya sendiri perlu membuat rancangan terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu urusniaga di tempat kerja. Jika sebelum ini saya melihat tarikh pembayaran kepada pembekal di dalam buku log dapat memastikan aliran tunai menjadi lebih licin lagi dan mengelakkan sebarang faedah dikenakan oleh pembekal. Sekarang sudah pasti rakan sekerja yang mengambil alih tentang pembayaran kepada pembekal. Sebelum memesan barangan kepada pembekal, kita perlu melihat barang yang tiada atau kurang di premis jualan. Jika kita lalai atau leka sudah pasti kita akan mengalami keputusan barang terutama barang wajib di dalam premis jualan. Selain itu mata kita perlu lebih tajam dengan memerhati barang yang akan mencapai tarikh luput dan perlu menjual dan membuat promosi jualan besar-besaran kepada pelanggan supaya barang itu tidak terbuang atau gagal diserahkan kepada pembekal. Dengan cara ini kita dapat mengurangkan kerugian syarikat atau premis jualan. (Paling membimbangkan sudah pasti staf perlu membayar barangan yang sudah hampir tarikh luput dan ini memberi tekanan kepada pekerja dengan menggunakan duit sendiri atau pemotongan gaji)

Jumaat, 11 Mac 2011

Pandai Tawar-Menawar.


Sebagai seorang pelanggan atau pengguna, kita seharusnya menggunakan kelebihan kita untuk tawar-menawar di premis perniagaan untuk mendapatkan harga yang begitu rendah untuk sesuatu barangan. Sekiranya anda berada di Pantai Timur, banyak premis perniagaan yang menarik ramai pelanggan dengan cara tawar-menawar supaya pelanggan tidak lari dan pergi ke premis yang lain. Dengan potongan harga yang munasabah untuk sesuatu barangan dapat membantu para pelanggan berbelanja dengan berhemah dan sudah pasti merancakkan lagi urusniaga di premis tersebut. Walaupun margin keuntungan yang diperolehi oleh peniaga tidak tinggi, namun masih dapat bersaing dengan premis-premis yang berdekatan dan mungkin dapat memberikan kesan yang positif dari segi hubungan peniaga dan pelanggan. Saya masih teringat kawan baik saya yang pergi melancong ke Beijing, China. Di sana dia memberitahu kepada saya bahawa ramai juga pelancong yang tawar-menawar dengan peniaga untuk mendapatkan harga terendah bagi mendapatkan cenderahati untuk sahabat handai mereka. Jika pandai mendapatkan harga terendah dengan cara membeli secara borong, sudah pasti pelanggan itu berasa puas dan akan memberitahu kepada rakan-rakan yang lain untuk membeli barangan disitu. Secara tidak langsung peniagaan di sesuatu premis itu akan maju dan boleh pergi lebih jauh lagi dalam bidang perniagaan.

Rabu, 9 Mac 2011

Berani Mempromosikan Diri.

Baru tahun inilah saya dan klik saya membuat kerja promosi di luar kedai untuk mempromosikan kad member dan faedah-faedah jika menjadi ahli. Dengan cara ini kita dapat merapatkan hubungan dengan pelanggan di luar sana. Memang mencabar juga untuk berjumpa dengan pelbagai klien di luar sana. Dengan mengetahui dan belajar dari orang yang lebih berpengalaman dalam bidang pemasaran, sudah pasti kita rasa teruja untuk mencuba perkara yang baru di dalam perniagaan. Banyak juga kajian yang perlu kita buat sebelum berjumpa prospek kita di luar sana. Dengan keserasian dengan rakan sekerja yang pergi bersama dengan saya, mungkin dapat melicinkan lagi proses berjumpa dengan klien dan dapat menerangkan apa promosi yang kita tawarkan kepada mereka. Rasanya, InsyaAllah saya akan merancang untuk berjumpa klien seterusnya di luar premis perniagaan dan akan merangka lebih luas lagi untuk mendapatkan pelanggan yang lebih ramai lagi pada tahun ini dan seterusnya. (Teringat kata rakan yang belajar di Jabatan Farmasi Universiti Malaya- Diri kita yang sepatutnya berubah jika ingin maju)

Isnin, 7 Mac 2011

Tak Muda Tak Tua.

Rasanya ada beberapa hari lagi saya akan menyambut hari lahir pada tahun ini. Bila sudah meningkat usia, rasanya memang malu untuk memberitahu kepada umum dan ada rakan saya yang begitu berahsia memberitahu umur sebenar mereka sekiranya mereka sudah memiliki anak yang ramai atau anak mereka sudah bersekolah. Tidak salah memberitahu umur kita kepada rakan sekeliling supaya mereka lebih prihatin keadaan diri kita yang sebenar. Rasanya taklah terlalu tua sangat dan taklah terlalu muda sangat jika umur kita menghampiri umur 40 tahun. InsyaAllah manalah tahu rezeki kita lebih mencurah-curah semasa umur kita semakin matang dengan kebolehan yang kita ada. Mungkin pengalaman yang begitu banyak kita tempuhi memberi nilai yang begitu tinggi dalam kehidupan kita yang semakin mencabar pada masa akan datang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...