Ahad, 8 Disember 2013
Bercuti Di Sabah & Labuan.
Salam dan selamat bercuti rakan-rakan blogger, Facebook, Google+, Nuffnang & Twitter. Seronokkan bercuti! Baru-baru ini sempatlah saya bercuti di Sabah dan Labuan dengan menaiki kapal terbang Malindo Air dan bot laju ke Pulau Labuan. Memang mengujakan bila sampai di Pulau Labuan, rasa-rasanya sudah 2 kali saya singgah di Pulau Labuan dan memang tenteram berada disini. Yang paling menarik di Pulau Labuan sudah tentu banyak barang yang bebas cukai terutama coklat yang pelbagai pilihan. Setelah kami berada di pulau Labuan kami bertolak ke Menumbok yang begitu ramai orang yang ingin pergi ke Kota Kinabalu. Banyak juga deretan bas ekspress yang akan menuju ke Kota Kinabalu.
Di Kota Kinabalu, sempat kami menyaksikan pancutan air berirama dan berjalan-jalan di tengah-tengah bandar Kota Kinabalu. Hampir 4 tahun saya tidak singgah di 1 Borneo yang begitu pesat membangun. 4 tahun dahulu, saya melihat 1 Borneo masih dibangunkan terutama di bahagian tapak dan bawah bangunan.
Selepas itu kami pergi ke Tuaran, Nabalu, kaki Gunung Kinabalu, pekan Kundasang, Ranau dan seterusnya ke Poring. Di Poring, ramai juga pengunjung dari Semenanjung mengambil kesempatan bercuti dihujung tahun. Kebanyakan mereka meredamkan kaki mereka di kolam air panas. Ada yang mandi disitu. Memang menyeronokkan dan tiket masukpun tidaklah mahal, hanya RM3 seorang.
Pada hari berikutnya kami singgah di Tuaran dan Kota Belud. Sempat jugalah kami melihat puncak Gunung Kinabalu yang begitu jelas di Kota Belud. Seterusnya kami terus ke Kudat untuk sampai ke penghujung negeri Sabah, Tip of Borneo@ Simpang Mengayau. Kalau dahulu saya dan isteri saya sampai di Tip of Borneo, kali ini kami membawa anak kami disini. Sempat juga kami berjumpa rakan-rakan kami yang tinggal di Kudat, Sabah.
Sebelum balik ke Semenanjung, sempat juga kami membeli-belah mutiara dan cenderahati untuk rakan-rakan terdekat di pasar Filipina dan makan malam di gerai yang berdekatan disitu. Harga makanan laut disitu sangat berpatutan dan ramai pengunjung dari Semenanjung makan disitu.
Jumaat, 22 November 2013
Selamat Bercuti!
Salam semua rakan blogspot, Google+, Facebook, Twitter dan lain-lain. Tak lupa, Selamat bercuti kepada semua warga Johor pada hari ini. Lama saya tidak singgah dan mencoretkan sesuatu entry disini. Sempena cuti sekolah yang sudah bermula pada minggu sebelumnya, ada ramai rakan kita yang membuat perancangan bercuti bersama keluarga di tempat-tempat menarik seperti membawa anak-anak mereka ke Legoland di Nusajaya dan juga ada yang membawa anak-anak mereka bercuti di luar negara. Seronok bukan, sambil menghabiskan cuti tahunan dan membawa anak-anak berjalan ditambah menambahkan lagi ilmu pengetahuan mereka. Selain itu anda boleh membuat persiapan sebelum pergi bercuti dengan ahli-ahli keluarga yang lain dengan membeli peralatan seperti alatan memancing, khemah dan sebagainya untuk memberi kepuasan yang begitu tidak terhingga dalam musim cuti sekolah ini.
Memandangkan cuti sekolah pada penghujung tahun ini terlalu panjang, anda boleh merancang aktiviti-aktiviti yang tidak membosankan seperti bermain ATV, bermain layang-layang gergasi dan juga menunggang kuda di tepi pantai. Sememangnya aktiviti-aktiviti beriadah dihujung minggu dapat menyihatkan badan anda selain dapat mengeratkan lagi tali siraturrahim dikalangan rakan-rakan dan ahli keluarga. Kepada rakan-rakan di luar sana, Selamat Bercuti! dan selamat menempuh kehidupan baru untuk tahun baru yang akan menyusul tidak lama lagi.
Ahad, 4 Ogos 2013
Salam Lebaran.
Salam kepada rakan-rakan Facebook, Gengblogger, Nuffnanggers, Twitter, Google+ dan lain-lain. Lagi beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, jadi segala persiapan sudah dilakukan seperti menyelenggarakan kendereaan masing, membeli kueh raya, menyediakan duit raya dan sebagainya. Sememangnya banyak duit akan mengalir dengan begitu deras dalam musim perayaan ini, saya mengharapkan rakan-rakan berbelanja dengan penuh berhemah. Bimbang dihujung bulan ini, anda mungkin mengalami kekeringan duit sebelum menerima gaji baru pada penghujung bulan ini. Ada yang sudah bercuti dan ada yang masih lagi bekerja hari ini hingga pada malam sebelum raya. Sebelum balik ke kampung halaman, anda boleh mengisi borang di balai polis demi keselamatan rumah anda. Diharap anda yang ingin balik ke kampung, memandu dengan cermat dan berhemah dan ikut saranan masa yang telah dicadangkan oleh pihak PLUS bagi sesiapa yang menggunakan lebuhraya Utara Selatan. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir dan Batin kepada rakan-rakan yang mengenali saya sekeluarga.
Khamis, 18 Julai 2013
Salam Ramadan.
Salam Ramadan kepada rakan-rakan Facebook, Google+, Nuffnanggers, Gengblogger, Twitter dan lain-lain. Hari ini hari yang ke sembilan kita berpuasa di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, ramai rakan kita sudah membaca beberapa juzuk Al-Quran dengan rakan-rakan yang lain(bertadarus) dan sudah pasti melipatgandakan amal ibadat dengan memperbanyakkan doa untuk kesejahteraan bersama. Pada awal bulan Ramadan ini ada rakan-rakan kita yang sudah menempah kueh raya dengan rakan-rakan dan ada yang membuat baju raya sebelum tarikh tempahan berakhir. Pada 2 minggu terakhir dalam bulan Ramadan, ada pihak bank yang akan menyediakan sampul raya dan duit raya yang baru kepada pelanggan-pelanggan mereka. Yang paling penting sekali sudah tentu ada rakan-rakan yang sudah menyimpan duit untuk raya pada bulan hadapan dan tidaklah rasa putus duit pada pertengahan bulan Ogos nanti. Semoga anda dapat menunaikan ibadah berpuasa dengan sebaik mungkin dan dapat bersembahyang berterawih bersama jemaah dalam bulan yang penuh keberkatan. (Mencari malam Lailatul Qadar pada penghujung bulan Ramadan untuk mendapat pahala berlipat kali ganda)
Langgan:
Catatan (Atom)



