Pages

Memaparkan catatan dengan label Jepun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jepun. Papar semua catatan

Sabtu, 31 Disember 2011

Tahun 2011 Tahun Yang Perlu Diingati.

Nampaknya ada tinggal sejam lebih kita akan menyambut tahun baru. Memang tidak dapat dinafikan tahun 2011 begitu istimewa untuk diingati kerana banyak peristiwa yang saya lalui. Adakala tuah menyebelahi saya dan adakala nasib yang kurang baik juga saya tempuhi dalam tahun 2011. Kita tak akan lupa kesan bencana yang menimpa di Jepun sehinggakan menjejaskan saya memperolehi barang dari Jepun dan tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan. Tahun ini juga saya mendapat lebih ramai kenalan baru dalam hidup saya dan saya takkan sia-siakan harapan mereka dengan perkhidmatan yang lebih baik lagi pada masa akan datang. Bukan senang kita ingin memuaskan hati semua orang. Adakala keputusan saya dalam tahun ini mengecewakan pihak lain. Mungkin bukan rezeki saya disitu. InsyaAllah pada tahun baru ini, saya akan mencuba perkara-perkara baru dan memberikan yang terbaik kepada semua pihak. Alhamdullillah, selesai sudah cek stok penghujung tahun 2011 dengan jayanya dan mengharapkan pengiraan cek stok lebih baik pada tahun hadapan. Mudah-mudahan tiada lagi masalah dari segi kehilangan stok, masalah rekod, masalah pembayaran di kaunter, masalah binatang perosak dan sebagainya. Tahun 2011 mengajar saya mengetahui selok-belok bagaimana untuk membeli rumah secara lebih jelas lagi, pembelian insuran dan juga cara berunding dengan broker-broker rumah di Mersing. Semoga apa yang saya pelajari dalam tahun 2011 dapat memberikan kekuatan bagi saya untuk menempuh cabaran-cabaran baru dalam tahun 2012.

Ahad, 4 Disember 2011

Mengharapkan Tuah 2012.

Nampaknya ada tinggal 3 minggu lebih kita akan menghampiri tahun yang baru, 2012. Sudah pasti kita mengharapkan tuah pada tahun yang baru ini setelah kita menghadapi banyak cabaran dalam tahun ini yang mematangkan pemikiran kita. Ada rakan-rakan kita yang bercadang untuk berkahwin pada tahun hadapan dan ada rakan-rakan kita yang ingin menjalankan perniagaan untuk memajukan diri sendiri. Pada tahun 2012, sudah pasti ramai yang menanti kemunculan acara sukan yang terbesar, Sukan Olimpik di London. Kita rakyat Malaysia sudah pasti menantikan pingat emas sulung dalam sukan yang begitu berprestij di dunia dan kita mengharapkan sebutir pingat emas terhasil dari acara lumba basikal dan badminton. Dalam tahun 2011 ini, banyak kejadian-kejadian yang luar biasa sebagai contohnya kejadian gempa bumi, tsunami dan kebocoran radioaktif di Jepun yang memberi impak khususnya ekonomi bukan sahaja kepada negara kita tetapi seluruh dunia. Begitu juga pergolakan politik di Asia Barat yang sudah pasti memberi kesan kepada pelajar-pelajar negara kita di sana yang menyebabkan kerajaan Malaysia bertindak pantas untuk mengatasi masalah ini. Kita mengharapkan ekonomi negara kita pada tahun hadapan semakin baik dan lebih stabil disamping kestabilan politik yang terbina.

Selasa, 20 September 2011

Malaysia vs Jepun.

Ramai yang tak sabar untuk menonton Astro esok dengan kehadiran pasukan bolasepak kita yang menjadi wakil dari Asia Tenggara yang layak ke pusingan kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang akan menentang gergasi Asia, Jepan di Stadium Tosu, Fukuoka, Jepun. Kita sudah pasti mengharapkan anak buah Ong Kim Swee dapat memberikan persembahan yang menarik dan dapat menyaingi lawan yang begitu besar. Kemungkinan kita mengharapkan seri yang boleh memberi satu mata untuk memberi suntikan yang lebih padu untuk perlawanan yang berikutnya. Kita berharap dengan corak permainan pasukan Malaysia yang begitu pantas dan sentiasa mengawal pihak lawan sudah pasti memberi tekanan kepada mereka. Bukan senang untuk mengekang pasukan gergasi seperti pasukan Jepun. Dengan berbekalkan pengalaman sebelum ini dengan pertembungan dengan pasukan Singapura dapat membantu meningkatkan rentak yang begitu kemas dan mudah mengetahui taktik lawan dengan mudah. Mungkin pasukan Malaysia sudah mengetahui corak permainan pasukan Jepun melalui tayangan video dan jurulatih, Ong Kim Swee sudah mengatur strategi untuk mendapat keputusan perlawanan yang terbaik esok. Selamat menonton!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...